Luke Shaw menghentam persembahan Manchester United ketika tumpas 3-1 di tangan West Ham hujung minggu lalu sambil menyifatkan kekalahan tersebut sebagai sesuatu yang ‘mengerikan’.
Walaupun demikian, Shaw enggan menuding jari kepada Jose Mourinho kerana pemain yang sebenarnya perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut.
Selepas mengalami tiga kekalahan dari 7 perlawanan Liga Perdana Inggeris, Red Devils kini ketinggalan 9 mata di belakang Manchester City dan Liverpool. Situasi sukar yang dihadapi Manchester United dalam liga sekarang telah meletakkan tekanan setinggi gunung ke atas Mourinho yang berpotensi untuk dipecat jika keadaan tidak berubah dalam waktu terdekat ini.
Bekas pemain Southampton itu hanya mampu memohon keampunan dari peminat United yang hadir ke Olympic Stadium Sabtu lalu dan turut memberikan pendapat jujurnya terhadap persembahan Manchester United dalam perlawanan tersebut.
“Jika anda mahu mengetahui perkara sebenar, ia merupakan persembahan yang amat mengerikan dari kami.”
“Kami tidak kelihatan seperti sebuah pasukan yang mampu menewaskan West Ham. Dari segi individu dan pasukan, kami sangat mengecewakan.”
“Persembahan kami tidak cukup bagus. Kekalahan tersebut sukar untuk diterima dan kami hanya mampu meminta maaf kepada para peminat atas apa yang mereka lihat pada hari tersebut. Persembahan yang kami pamerkan tidak cukup bagus bagi Manchester United memandangkan bakat yang kami miliki dalam pasukan.”
Shaw turut mengesahkan Mourinho ada memberikan ‘syarahan’ ketika waktu rehat dalam bilik persalinan untuk menaikkan semangat anak buahnya. Shaw juga mendakwa pemain perlu bertanggungjawab atas kekalahan tersebut, bukannya Mourinho.
“Sudah tentu pada rehat separuh masa, Mourinho ada memberikan sedikit syarahan dalam bilik persalinan. Ia merupakan perkara yang kami perlukan pada ketika itu.”
“Beliau cuba menyedarkan kami dengan ucapannya. Mourinho mahu kami lebih banyak bergerak, menumpukan lebih banyak perhatian, meminta bola lebih banyak, dan paling utama bermain bola. Tetapi itu semua tidak berlaku. Ia merupakan perlawanan yang sangat mengecewakan buat seluruh pasukan dan hari yang buruk buat kami.”
“Kami harus menilai diri sendiri sebagai seorang pemain. Kami yang turun bermain di atas padang. Pengurus tidak bermain di atas padang kan ?”
“Tugas Mourinho adalah untuk menurunkan pasukan yang dirasakannya mampu memenangi perlawanan tersebut. Anda lihat pada skuad yang kami turunkan dalam perlawanan tersebut dan ia merupakan skuad yang cukup kuat.”
“Kami tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak memenangi perlawanan itu. Sebagai pemain, kami sebenarnya tidak cukup bagus.”