Siapa Bakal Pengarah Sukan Arsenal? 5 Calon Dalam Pertimbangan

Arsenal merancang untuk melantik pengarah sukan baru pada bulan Mac dan sekarang mereka sedang dalam proses memilih calon terbaik sebelum membuat keputusan muktamad.

Jawatan ini telah kosong sejak Edu Gaspar meletakkan jawatan pada 4 November dan timbalannya, Jason Ayto mengambil alih jawatan secara sementara. Ayto masih berpeluang untuk mendapat jawatan tetap tetapi Arsenal juga mempertimbangkan beberapa calon lain seperti Dan Ashworth, Andrea Berta, Roberto Olabe dan Thiago Scuro.

Pada peringkat awal, Arsenal mendapatkan khidmat sebuah firma pengambilan untuk menyaring calon. Kini, proses tersebut telah masuk ke fasa temuduga dengan pihak pengurusan kelab. Pemilik kelab, Kroenke Sports & Entertainment (KSE) turut terlibat secara langsung dalam pemilihan ini dan keputusan akhir tidak akan dibuat tanpa persetujuan mereka.

Walaupun perbincangan masih berlangsung, Arsenal belum menawarkan jawatan ini kepada mana-mana calon. Selain itu, penasihat bola sepak Paris Saint-Germain, Luis Campos yang dikaitkan dengan jawatan ini tidak berada dalam senarai pilihan.

Perjalanan Edu di Arsenal

Edu, yang merupakan sebahagian daripada skuad “Invincibles” Arsenal pada musim 2003-04, dilantik sebagai pengarah teknikal pertama kelab pada tahun 2019. Dia memainkan peranan penting dalam melantik Mikel Arteta sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun tersebut. Pada September 2020 Arteta dinaiktaraf menjadi pengurus.

Dua tahun kemudian, Edu dinaikkan pangkat sebagai pengarah sukan pertama Arsenal pada November 2022.

Ketika ditanya mengenai kelewatan dalam pelantikan pengarah sukan baru, Arteta mempertahankan pendekatan kelab.

“Kelab sedang menjalankan proses yang kami percaya adalah terbaik untuk mencari individu paling sesuai dengan situasi Arsenal ketika ini,” katanya sebelum perlawanan menentang Nottingham Forest.

Siapa Calon Pengarah Sukan Arsenal?

  • Dan Ashworth

Sebagai salah seorang pengarah sukan paling berpengalaman di England, nama Dan Ashworth terus dikaitkan dengan jawatan ini sejak pemergian Edu. Namun, perjalanan kariernya dalam 12 bulan terakhir agak bergelora.

Selepas rundingan panjang, Manchester United bersetuju membayar pampasan kepada Newcastle United untuk membawa Ashworth ke Old Trafford bagi mengetuai era baru di bawah INEOS. Newcastle sebenarnya mahu mengekalkannya kerana dia baru sahaja 2 tahun di sana dan telah memainkan peranan penting dalam kejayaan mereka mendapatkan pemain seperti Alexander Isak dan Anthony Gordon. Kedua-dua pemain ini membantu kelab layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 20 tahun.

Namun, tempoh Ashworth di Manchester hanya bertahan 5 bulan. Perbezaan pendapat mengenai pemilihan pengganti Erik ten Hag dikatakan menjadi punca utama perpisahan mereka. United membayar sekitar £4 juta untuk menamatkan kontraknya. Ashworth kini boleh berbincang denganans-mana kelab lain.

Sebelum ini, Ashworth pernah berkhidmat sebagai pengarah teknikal di West Bromwich Albion, di mana dia mengenali Richard Garlick yang kini merupakan pengarah urusan Arsenal. Selepas itu, dia menyertai Persatuan Bola Sepak England (FA) dan memainkan peranan penting dalam mencipta program pembangunan pemain “England DNA”.

Dia kembali ke bola sepak kelab pada 2019 sebagai pengarah teknikal Brighton & Hove Albion. Dia membantu kelab itu masuk ke kelompok 10 terbaik Liga Perdana sebelum berpindah ke Newcastle pada 2022. Selepas pengalaman pahit di Manchester United, Ashworth mungkin akan lebih berhati-hati dalam memilih kelab seterusnya.

  • Jason Ayto

Ayto telah bersama Arsenal selama 10 tahun. Bermula sebagai pencari bakat (scout), dia dinaikkan pangkat sehingga menjadi orang kanan Edu dan membantu dalam pembaharuan sistem pengambilan pemain. Ketika Edu dilantik sebagai pengarah sukan, Ayto turut dinaikkan pangkat menjadi penolong pengarah sukan.

Sepanjang tempoh itu, Ayto terlibat dalam pelbagai aspek bola sepak di Arsenal termasuk pasukan lelaki, wanita dan akademi. Dia juga memainkan peranan penting dalam pengambilan pemain dan rundingan kontrak. Pada musim panas 2024, Ayto terlibat secara langsung dalam usaha mendapatkan Riccardo Calafiori dan Mikel Merino.

Sejak Edu meninggalkan kelab pada November 2024, Ayto mengambil alih tugas sebagai pengarah sukan sementara. Dia telah mengetuai rundingan untuk mendapatkan Martin Zubimendi dari Real Sociedad serta memimpin usaha Arsenal mencari penyerang baharu pada Januari. Pada akhirnya kelab memilih untuk tidak membeli pemain pada bulan tersebut. Ayto telah membentangkan pelan jangka panjangnya kepada kelab dan kini menunggu keputusan sama ada dia akan dilantik secara tetap.

  • Andrea Berta

Bekas pengarah sukan Atletico Madrid, Andrea Berta meninggalkan kelab Sepanyol itu pada Januari 2025 selepas 12 tahun berkhidmat.

Berta, yang berasal dari Itali telah menghabiskan masa di London untuk belajar bahasa Inggeris sebagai persediaan menyertai kelab Liga Perdana Inggeris.

Dia menyertai Atletico pada 2013 sebagai pengarah teknikal sebelum dinaikkan pangkat sebagai pengarah sukan pada 2017. Sepanjang tempoh itu, dia membantu Diego Simeone membentuk pasukan yang mampu bersaing dengan Real Madrid dan Barcelona. Mereka memenangi 2 kejuaraan La Liga, Liga Europa dan 2 kali mara ke final Liga Juara-Juara.

Pengalamannya dalam urusan perpindahan pemain juga luas. Dia bertanggungjawab membawa masuk dan menjual pemain seperti Antoine Griezmann dan Rodri dengan harga tinggi serta menandatangani pemain utama seperti Jan Oblak yang menjadi tonggak pasukan.

Dengan Arsenal memerlukan sentuhan terakhir untuk melengkapkan skuad mereka, pengalaman Berta dalam menguruskan pasaran perpindahan peringkat tertinggi mungkin menjadi faktor penting.

  • Roberto Olabe

Pada November 2024, dilaporkan bahawa Roberto Olabe, 57 tahun akan meninggalkan jawatannya sebagai pengarah sukan Real Sociedad pada musim panas ini.

Sejak beberapa tahun terakhir Olabe telah menjalin hubungan erat dengan Arsenal, termasuk dalam rundingan untuk pemain seperti Kieran Tierney, Martin Zubimendi, dan Nacho Monreal.

Di bawah kepimpinannya, Real Sociedad memenangi Copa del Rey 2021, trofi utama pertama mereka sejak lebih 30 tahun dan secara konsisten menduduki kelompok 6 teratas La Liga. Dia juga terkenal dalam pengambilan pemain berbakat seperti Mikel Merino, Alexander Isak, Martin Odegaard dan David Silva.

Namun, Olabe telah berjanji untuk terus fokus kepada Real Sociedad sehingga musim tamat, jadi buat masa ini dia mungkin tidak akan menerima jawatan baharu.

  • Thiago Scuro

Jika Arsenal ingin meneruskan kesinambungan dengan pengarah sukan dari Brazil, Thiago Scuro boleh menjadi pilihan.

Scuro kini merupakan CEO AS Monaco, kelab yang disertainya pada Julai 2023 selepas menggantikan Paul Mitchell. Hanya 3 bulan kemudian dia dinaikkan pangkat sebagai CEO sepenuh masa dan kini mengendalikan aspek bola sepak dan perniagaan kelab.

Di bawah kepimpinannya, Monaco menduduki tempat ke-2 di Ligue 1 untuk kali pertama sejak 2018 dan hampir layak ke Liga Juara-Juara. Scuro juga menerapkan strategi meremajakan skuad dan berhasrat menjadikan separuh daripada pasukan utama terdiri daripada pemain lulusan akademi kelab.

Sebelum ini Scuro bekerja dalam kumpulan Red Bull di mana dia membantu kelab RB Bragantino naik dari divisyen ke-2 Brazil ke final Copa Sudamericana 2021.

Arsenal telah menyatakan minat untuk memiliki beberapa kelab di bawah satu pemilik dan pengalaman Scuro dalam struktur ini mungkin menjadi kelebihan jika kelab ingin mengembangkan model operasi mereka di masa depan.

BACA:  Giroud Dedah Cara Bagaimana Arsenal Mahu Kembali Berada Di Kelompok Empat Teratas