Siri Jelajah Liverpool; Serangan Hebat Namun Pertahanan Dalam Kebimbangan

Ketika banyak kelab dari Liga Perdana Inggeris melakukan siri jelajah pra-musim di Amerika Syarikat, Liverpool terbang ke arah sebaliknya. Mereka melakukan siri jelajah di Asia Tenggara dan mengharungi dua perlawanan disana.

Pada hari Khamis (3 Ogos) Liverpool telah kembali ke England. Pasukan ini telah menghabiskan tenaga dalam perjalanan 22,000 kilometer untuk menghiburkan 80,000 peminat di Singapura. Dalam dua perlawanan tersebut Liverpool menewaskan Leicester City 4-0 dan diikuti kekalahan 3-4 ditangan gergasi Bundesliga iaitu Bayern Munich.

Liverpool bakal mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan sebelum tirai Liga Perdana dibuka, mereka akan menentang pendatang baru Bundesliga, Darmstardt di Preston. Selepas itu pasukan bimbingan Jurgen Klopp akan berhadapan Chelsea dalam perlawanan pertamanya.

Selepas siri jelajah di Singapura, apakah yang kita boleh bayangkan dengan pasukan Liverpool. Dimana tahap persediaan mereka, apa perkara positif yang telah ditunjukkan dan apa kelemahan yang perlu mereka perbaiki.

Semua pemain bebas dari kecederaan

Pada musim lepas Liverpool memulakan kempen liga dengan agak tempang apabila Ibrahima Konate dan Diego Jota berada dalam senarai kecederaan. Selepas hanya satu perlawanan senarai itu meningkat apabila Joel Matip, Thiago Alcantara dan Naby Kieta pula cedera. Semua nama diatas merupakan pemain utama pasukan.

Caoimhim Kelleher, Tsimikas Kanstantinos, Curtis Jones, Alex Oxlade Chamberlain malah Arthur juga berada dalam senarai tersebut. Itu belum dicampur dengan penggantungan 3 perlawanan yang dihadapi oleh Darwin Nunez selepas hanya dua perlawanan.  Dengan masalah kecederaan besar ini Liverpool hanya mencatatkan 2 kemenangan dalam 7 perlawanan pertamanya.

Pada musim ini Liverpool boleh menarik nafas lega kerana pada ketika ini kesemua pemainnya bebas dari kecederaan. Atas permintaan Klopp, susunan latihan pra musim kali sedikit berbeza apabila mereka memulakan latihan di Jerman dan pada hujung jadual mereka terbang ke lokasi lebih jauh untuk menguji taktikal berbanding membina kecergasan.

Terdapat sedikit keraguan dengan kecederaan yang dialami oleh Alexis MacAllister dalam perlawanan menentang Bayern namun dia telah dikeluarkan secepat mungkin, Klopp telah menegaskan tiada kebimbangan mengenainya dan pemenang Piala Dunia itu boleh terus bermain.

Unit serangan cukup hebat

Dalam mencari perkara paling positif yang berlaku di Singapura, unit serangan Liverpool telah meningkat ke tahap yang diinginkan oleh semua pihak. Pasukan handalan Eropah dari England ini telah mencetak 7 gol dalam 2 perlawanan iaitu 4 ketika menentang Leicester dan 3 lagi dalam pertemuan dengan Bayern. Nunez, Jota, Cody Gakpo dan Luis Diaz telah memberi persembahan ngeri kepada pasukan lawan.

Mohamed Salah telah menjadi bintang tumpuan sepanjang berada disana, setiap kali dia mendapat bola sorakan di stadium meningkat dengan hebat. Walaupun pemain kebangsaan Mesir itu tidak menjaringkan gol namun dia telah menyumbang 3 bantuan gol dari 7 jaringan yang dihasilkan.

Prestasi dan kecergasan Jota dan Diaz berada di tahap terbaik selepas menjalani sesi pra musim yang lancar berbanding musim sebelumnya. Kuintet (5 pemain) ini akan menjadi senjata bahaya sepanjang kempen kali ini. Awas kepada semua pasukan terutamanya Manchester United yang dikalahkan 0-7 pada musim lalu.

Unit pertahanan dalam kebimbangan

Secara keseluruhan Liverpool telah melalui 4 perlawanan persahabatan termasuk 2 di Singapura. Mereka telah menjaringkan 15 gol tetapi dalam tempoh sama bolos 10 kali. Ia bukan lah satu gambaran baik untuk unit pertahanannya.

Ketiadaan specialist NO6 untuk melindungi barisan pertahanan pasukan menjadi antara faktor perkara itu berlaku. Sistem 3-box-3 Liverpool juga telah dimanipulasi dengan baik oleh Bayern.

Pasukan bimbingan Thomas Tuchel berjaya mengekploitasi ruang yang ditinggal oleh Trent Alexander-Arnold yang bergerak ke tengah untuk membina sistem tersebut. Allison dibiarkan terlalu terdedah dengan serangan lawan walaupun dia kerap melakukan aksi penyelamat.

Ibrahima Konate tidak mendapat rentak selari dengan Joel Matip dan keadaan itu dimanfaat sepenuhnya oleh Serge Gnabry. Namun Klopp menegaskan masalah itu berlaku kerana kurang tumpuan akibat keletihan bukan masalah formasi atau taktikal.

Banyak perkara baik dan ada beberapa perkara yang saya tidak suka. Kami tidak akan letih ketika musim berlangsung seperti hari ini. Ini merupakan sebahagian pengalaman pra-musim. Berikan saya satu jam dan saya akan melihatnya satu pelajaran baik dan saya akan lebih gembira ia berlaku pada hari ini, bukannya berlaku dalam 10 hari nanti.

Fabinho perlu digantikan dengan segera

Ketika Liverpool turun pada hari pertama sesi latihan, pasukan ini kelihatan sudah siap sepenuhnya sehinggalah kelab dari Arab Saudi berminat untuk membeli Jordan Henderson dan Fabinho. Fabinho mendapat tawaran sebanyak £40 juta dari Al Ahli dan ia merupakan satu peluang baik kepada Liverpool untuk meraih wang bagi tujuan menyegarkan semula pasukannya.

Namun ia juga datang dengan satu masalah. Walaupun Fabinho tidak begitu berprestasi pada musim lepas namun dia lah satu-satunya specialist NO6 yang Liverpool miliki. Kehilangannya perlu digantikan dengan segera.

Apa yang kurang jelas disini Liverpool tidak terlalu berusaha untuk mencari pengganti secepat mungkin. Sebarang kelewatan mencari pengganti Fabinho boleh mengganggu perjalanan dan potensi pasukan ini.

Liverpool cuba membeli Romeo Lavia yang berusia 19 tahun dari Southampton. Tawaran sebanyak £37 juta telah ditolak, begitu juga dengan tawaran kedua yang bernilai £41 juta. Liverpool memilih untuk tidak mahu memenuhi harga £50 juta yang diminta oleh Southampton. Isu disini adalah masa.

Liverpool hanya mempunyai Thiago dan Stefan Bajcetic. Kedua-dua pemain ini masih dalam proses pemulihan untuk mendapatkan semula kecergasan terbaiknya. Dalam siri jelajah di Singapura, Liverpool telah menggunakan Curtis Jones dan James McConnell dalam peranan NO6. Kedua-dua pemain ini bukan penyelesaian khusus kepada permasalah itu.

Liverpool perlu membeli pemain NO6 secara agresif sebelum kempen baharu membuka tirai.

BACA:  Premier League 2022/23:利物浦 7 曼联 0