Skuad Newcastle Semakin Rapuh, Mampukah Mereka Bertahan?

Newcastle United di Persimpangan: Impian atau Beban?

Newcastle United berada di satu titik genting. Mereka berpeluang kembali ke Liga Juara-Juara dan memenangi Piala Carabao. Jika mereka menang Piala Carabao ia bakal menjadi trofi pertama sejak 70 tahun. Namun pada masa yang sama mereka juga berada di ambang keletihan.

Ia mungkin kedengaran pelik kerana Newcastle telah memenangi 12 daripada 14 perlawanan terakhirnya dalam semua pertandingan. Kemenangan terbarunya dicapai walaupun Eddie Howe melakukan 9 perubahan dalam kesebelasan utama selepas mengalahkan Arsenal. Mereka ketinggalan dalam 45 saat pertama menentang Birmingham City tetapi tetap berjaya bangkit dan menang di St Andrew’s yang digegarkan oleh penyokong tuan rumah.

Namun kejayaan ini datang dengan harga. Beban fizikal dan mental yang tinggi telah menyebabkan beberapa pemain utama mengalami kecederaan. Sven Botman dan Anthony Gordon terpaksa diketepikan kerana kecederaan lutut dan paha. Dan Burn pula mengalami masalah pangkal paha selepas terpaksa bermain kerana kekurangan pilihan pemain di bahagian bek-tengah.

Terdapat harapan bahawa beberapa pemain ini akan kembali menjelang perlawanan menentang Manchester City pada minggu depan. Tetapi dengan Joelinton dan Harvey Barnes juga diragui kecergasannya, skuad Newcastle kini kelihatan rapuh untuk tempoh 5 minggu penting yang boleh menentukan musim mereka.

Cabaran Skuad Kecil dan Kesan Terhadap Prestasi

Howe mengakui skuadnya menjadi terlalu kecil untuk menampung jadual padat. Dia terpaksa memberi tumpuan kepada kepulangan pemain yang cedera untuk mengekalkan kekuatan pasukan.

Callum Wilson misalnya, akhirnya membuat penampilan pertamanya dalam Piala FA untuk Newcastle. Penyerang berusia 32 tahun itu menjaringkan gol pertamanya sejak Mei lalu selepas bergelut dengan kecederaan berulang. Namun kebimbangan utama Newcastle adalah ketahanan fizikalnya, kerana sejarah menunjukkan dia kerap tercedera.

Selain Wilson, Joe Willock juga mula menunjukkan peningkatan prestasi. Pemain tengah berusia 25 tahun itu menjaringkan 2 gol ketika menentang Birmingham selepas melalui musim yang terganggu oleh kecederaan. Dengan ketiadaan Joelinton, tenaga dan kreativiti Willock menjadi aset penting untuk Newcastle.

Seorang lagi pemain yang semakin menyerlah ialah William Osula. Pemain berusia 21 tahun itu mungkin belum cukup matang untuk menjadi penyerang utama di Liga Perdana tetapi kelajuan dan keupayaannya mengucar-ngacirkan pertahanan lawan menjadikannya pilihan menarik di bahagian sayap. Dalam perlawanan menentang Birmingham, Osula menyumbang 2 bantuan yang membantu Newcastle meraih kemenangan.

Kesan Menjual Pemain Kerana PSR

Newcastle terpaksa menjual pemain (Lloyd Kelly dan Miguel Almirón) untuk memastikan kelab tidak melanggar peraturan kewangan Liga Perdana (PSR). Ia menyebabkan skuad semakin tipis dengan hanya 24 daripada 25 slot pemain diisi. Dari 24 pemain itu mereka adalah 5 penjaga gol.

Howe mengakui bahawa para pemainnya kini berada di puncak tekanan mental dan fizikal. Dalam tempoh seminggu, Newcastle tewas kepada Fulham, mengatasi Arsenal dan kemudian bekerja keras untuk mengalahkan Birmingham.

Newcastle kini berada di ambang kejayaan tetapi mereka juga di ambang kejatuhan. Mampukah mereka mengukir sejarah atau adakah mereka akan kehabisan tenaga pada saat-saat genting? Jawapannya hanya akan terungkai dalam beberapa minggu akan datang.

BACA:  Arsenal Kalahkan Manchester City 5-1: Lewis-Skelly Dan Havertz Bersinar