Final Piala Carabao 2025 menyaksikan Newcastle United menewaskan Liverpool 2-1 di Stadium Wembley, sekaligus merangkul trofi domestik pertamanya sejak Piala FA 1955. Gol daripada Dan Burn dan Alexander Isak memberikan Newcastle kelebihan sebelum Federico Chiesa menjaringkan gol sagu hati buat Liverpool pada waktu kecederaan.
Sebelum ini, Newcastle pernah mara ke final Piala Carabao 2 tahun lalu tetapi tewas kepada Manchester United. Liverpool pula menjuarai kejohanan itu pada tahun 2022 dan 2024 dan kali ini giliran mereka untuk merasai kekecewaan.
Selepas perlawanan, timbul dakwaan bahawa Newcastle lebih “lapar” untuk menang berbanding Liverpool. Ketika sidang media, pengurus Liverpool, Arne Slot menolak dakwaan tersebut.
Slot: Semua Pemain Mahu Menang, Bukan Sekadar Penyokong
“Tidak, saya tidak setuju,” kata Slot. “Mungkin sudah 70 tahun sejak mereka kali terakhir menang trofi, tetapi itu lebih kepada penyokong mereka.”
“Sebagai pemain, anda hanya ada sekitar 15 tahun dalam karier bola sepak. Semua pemain mahu menang setiap kali mereka bertanding. Begitu juga dengan kami.”
Slot mengakui bahawa perlawanan berjalan mengikut rentak Newcastle.
“Mereka mendapat tenaga tambahan dengan gol sebelum separuh masa. Saya rasa mereka memang layak mendahului selepas 45 minit pertama kerana mereka lebih mengancam berbanding kami.”
“Tetapi bukan sebab mereka lebih lapar untuk menang. Perlawanan ini memang berpihak kepada mereka. Mereka lebih kuat dalam aspek tersebut dan itulah sebabnya mereka berjaya menewaskan kami.”
Musim Liverpool Kini Hanya Tinggal Liga Perdana
Kekalahan ini bermakna Liverpool kini hanya tinggal satu peluang untuk memenangi trofi musim ini iaitu Liga Perdana Inggeris. Mereka sebelum ini tersingkir daripada Piala FA selepas tewas kepada Plymouth Argyle dan pada minggu ini Paris Saint-Germain menyingkirkan mereka daripada Liga Juara-Juara menerusi penentuan penalti di Anfield.
Walaupun hanya mempunyai beberapa hari untuk pulih dari kekecewaan menentang PSG, Slot menafikan bahawa pasukannya mengalami keletihan fizikal.
“Kalau anda lihat aksi kami pada Selasa lalu (menentang PSG), ia adalah persembahan fizikal terbaik pasukan sejak saya di sini. Saya tak pernah lihat pasukan ini berlari dan menekan lawan sebegitu agresif.”
“Tetapi hari ini, ia bukan tentang larian. Ia lebih kepada pertarungan fizikal dalam perebutan bola. Secara mental, memang sukar untuk kalah di final. Apatah lagi apabila anda bermain untuk Liverpool dan tersingkir daripada kejohanan Eropah.”
Slot juga menegaskan bahawa kekalahan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Dalam bola sepak, anda boleh kalah apabila bertemu pasukan kuat. Kalau boleh, memang kita mahu menang sepanjang musim. Tapi selepas 8 bulan bermain, kadang-kadang anda boleh kalah 2 kali berturut-turut jika lawannya adalah PSG dan Newcastle.”
Fokus Liga Perdana, Derby Merseyside Menanti
Walaupun kecewa, Liverpool masih berada di landasan terbaik untuk menjuarai Liga Perdana. Mereka kini mendahului Arsenal dengan kelebihan 12 mata di puncak liga. Pasukan Slot akan kembali beraksi pada 2 April dengan perlawanan seteru setempat menentang Everton di Anfield.
Kini, hanya satu soalan yang tinggal—adakah Liverpool mampu bangkit dan menamatkan musim ini dengan kejayaan?