Smith Rowe Tidak Akan Pernah Meninggalkan Arsenal

Emile Smith Rowe membuktikan yang beliau layak dianggap sebagai masa depan Arsenal, selepas mempamerkan aksi persembahan cukup menakjubkan bertemu Aston Villa awal pagi tadi.

Smith Rowe berjaya menjaringkan satu gol dan turut mencatatkan satu assists dalam membantu Arsenal menewaskan Aston Villa 3-1 di Emirates, dalam saingan Premier League.

Beliau telah dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan yang boleh dianggap terhebat untuk Arsenal sepanjang musim ini.

Bintang berusia 21 tahun itu juga merupakan peminat Arsenal sejak kecil dan kerana itulah beliau mempunyai semangat yang sangat berkobar-kobar untuk kelab.

Aksi hebat yang beliau persembahkan sudah cukup untuk membuktikan mengapa Aston Villa sanggup menawarkan £30 juta kepada Arsenal untuk mendapatkan khidmatnya pada musim panas lalu.

Smith Rowe berjaya menenggelamkan Emi Buendia, pemain yang menolak tawaran untuk menyertai Arsenal kerana memilih untuk menyertai Aston Villa pada musim panas baru-baru ini.

Smith Rowe mencipta lebih banyak peluang berbanding semua pemain dalam perlawanan ini, dan beliau juga turut mencatatkan statistik yang mengagumkan.

Beliau berjaya melakukan 66 sentuhan, 17 hantaran tepat di final third, 4 kali mencipta peluang, empat sentuhan dalam kotak, 4 ball recoveries, memenangi empat duels, melakukan 3 take-ons, 3 hantaran, 2 percubaan, 2 pintasan, menjaringkan satu gol dan mencatatkan satu assists.

Beliau berjaya menjaringkan gol pada aksi babak kedua permainan, dan turut meraikan gol dengan penuh kegembiraan di hadapan penyokongnya sendiri.

Melihat kepada persembahan dan semangat Smith Rowe, ramai yang percaya beliau tidak akan meninggalkan Gunners dan akan terus menjadi pemain kesayangan peminat.

Bercakap sebelum perlawanan, Smith Rowe menyatakan bahawa:

“Jika Arsenal mahukan khidmat saya sepanjang karier saya, maka saya akan kekal di sini selamanya. Ia memang agak sukar untuk kekal bersama satu kelab sepanjang karier kamu, tapi bagi saya, secara peribadinya, saya gembira untuk kekal di sini selamanya.”

Kenyataan beliau itu sepertinya bakal memberi kegembiraan kepada peminat yang senantiasa kagum dan bangga melihat aksi persembahan beliau di atas padang.

Gandingan Smith Rowe dengan Bukayo Saka jelas sekali antara gandingan masa hadapan yang bakal membantu Arsenal untuk kembali menjadi kuasa besar dalam dunia bola sepak.

Melihat persembahan mantap Smith Rowe, legenda Liverpool, Jamie Carragher turut memujinya dan menyatakan yang beliau sangat terhibur menonton aksi pemain muda Arsenal itu.

Carragher turut menegaskan yang Smith Rowe merupakan pemain terhebat dalam saingan Premier League ketika beliau memiliki bola di kakinya.

Bercakap kepada Carragher dan Gary Neville selepas tamat perlawanan, Smith Rowe menyatakan bahawa:

“Saya sangat bekerja keras ketika sesi latihan. Saya tak rasa mereka akan berikan ia kepada saya, tapi apa yang paling penting hari ini adalah kami mendapat tiga mata.”

“Saya gembira, bukan hanya dengan gol itu, tetapi juga dengan hantaran saya. Saya selalu berlatih membuat set pieces. Saya juga berlatih untuk memantapkan hantaran saya dengan kami di sini tak ramai pemain berkaki kanan yang mampu buat set piece.”

Smith Rowe bermain di sebelah kiri dalam sistem front four Arsenal, namun beliau tidak begitu kisah di mana Arteta mahu beliau bermain.

“Saya tak begitu kisah. Bermain di sebelah kiri juga bagus untuk saya, saya boleh masuk ke tengah dan menggelecek untuk maju.”

“Ia merupakan satu kebanggaan untuk bermain dengan skuad ini bersama semua pemain lain. Tidak kira di mana pengurus mahu saya bermain, saya akan main.”

Persembahan mantap Smith Rowe tentunya memberi harapan kepada Arteta yang beliau ketika ini sedang berada di landasan terbaik untuk terus membawa Arsenal lebih jauh.

Gunners ketika ini telah berjaya melalui enam perlawanan tanpa kalah dengan kedudukan mereka juga sudah semakin bertambah baik.

Arsenal kini berjaya mengikat Manchester United dari segi pungutan mata, namun setan merah mempunyai kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Sumber: talkSPORT

BACA:  34 Minit Sudah Cukup Untuk Arsenal Aibkan Spurs