34 Minit Sudah Cukup Untuk Arsenal Aibkan Spurs

Arsenal hanya memerlukan 45 minit untuk menghantar segelintir penyokong Spurs keluar dari stadium kerana tidak sanggup melihat pasukan kesayangan mereka dibelasah.

Tottenham Hotspur sudah ketinggalan dengan tiga gol dibelakang pada aksi babak pertama permainan ketika bertemu Arsenal di Emirates Stadium malam semalam.

Aksi London derby berjalan dengan tidak seperti yang dibayangkan selepas Arsenal dilihat terlalu hebat untuk ditandingi oleh Spurs dalam perlawanan ini.

Emile Smith-Rowe, Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka kesemuanya muncul sebagai penjaring gol Arsenal dengan The Gunners berjaya memperoleh tiga gol hanya dari 34 minit aksi permainan sahaja.

Tidak dinafikan ia merupakan aksi babak pertama paling teruk pernah dihadapi oleh Tottenham Hotspur dalam saingan Premier League musim ini.

Skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu jelas tiada arah ketika memiliki bola dengan Harry Kane dilihat langsung tidak berfungsi dalam perlawanan ini.

Ketiga-tiga gol Arsenal bermula dari gerakan serangan balas dengan Spurs dilihat tidak mampu mengikuti tempo permainan anak-anak buah Mikel Arteta dalam perlawanan ini.

Spurs mencatatkan kekalahan 3-0 di tangan Crystal Palace beberapa minggu lalu dan mereka turut ditewaskan dengan keputusan sama di tangan Chelsea di halaman mereka sendiri minggu lalu.

Dan mereka bolos tiga lagi gol dalam perlawanan ini hanya dari 45 minit pertama permainan sahaja.

Arsenal dilihat sangat garang dan berjaya mendominasi permainan dengan sangat sempurna walau semua tahu mereka memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat teruk.

Smith Rowe menjaringkan gol pembukaan untuk Arsenal pada minit ke-12 permainan, sebelum beliau mencatatkan assists untuk gol kedua Arsenal hasil jaringan Aubameyang pada minit ke-27 permainan.

Kedua-dua mereka bermain satu dua dari kawasan mereka dengan pemain No.10 Arsenal itu berjaya melorongkan bola yang cukup cantik mencari Aubameyang untuk gol kedua Gunners.

Arsenal meneruskan rentak cemerlang mereka dalam perlawanan ini, selepas Bukayo Saka muncul sebagai penjaring gol ketiga untuk Gunners pada minit ke-34 permainan.

Ketika wisel penamat untuk aksi babak pertama dibunyikan, para penyokong Spurs dilihat sudah mula meninggalkan stadium dan sepertinya mereka tidak sanggup melihat kelab kesayangan mereka menjadi mangsa kebangkitan Gunners.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu kemudiannya memperlahankan tempo permainan mereka, dan tidak begitu bernafsu lagi untuk merobek gawang Spurs pada aksi babak kedua permainan.

Pada minit ke-79 permainan, Son Heung Min meledak gol pembukaan untuk Tottenham Hotspur, namun sayangnya gol tersebut gagal untuk menyalakan api kebangkitan Spurs.

Wisel penamat dibunyikan, Arsenal berjaya menewaskan Tottenham Hotspur dengan keputusan 3-1, seterusnya membawa mereka ke kedudukan ke-10 dalam carta liga.

Ia merupakan satu peningkatan yang sangat mendadak ditunjukkan oleh anak-anak buah Mikel Arteta itu, dengan mereka sebelum ini sempat berada di kedudukan ke-20 dalam carta liga.

Selepas laungan #ArtetaOut berkumandang, beliau berjaya menaikkan semangat anak-anak buahnya, seterusnya mencatatkan tiga kemenangan secara berturut-turut dalam saingan Premier League.

Spurs pula sementara itu berada di kedudukan ke-11 dalam carta liga, dengan mereka telah mencatatkan tiga kekalahan secara berturut-turut dalam saingan Premier League musim ini.

Seperti yang Arteta janjikan sebelum ini, beliau sememangnya mempunyai perancangan tersendiri untuk membawa Arsenal kembali ke tempat yang selayaknya.

Tidak dinafikan lagi, beliau jelas sedang berada di landasan terbaik untuk capai hasratnya itu, dan sepertinya beliau juga sudah mula mendapat kepercayaan dari para peminat.

Saksikanlah kehebatan Arsenal membenam Spurs.

Arsenal: Ramsdale, Tomiyasu, White, Gabriel, Tierney, Thomas, Smith-Rowe, Odegaard, Xhaka, Saka, Aubameyang.

Subs: Leno, Lacazette, Maitland-Niles, Holding, Cedric, Pepe, Tavares, Sambi Lokonga, Martinelli.

Tottenham Hotspur: Lloris, Tanganga, Sanchez, Dier, Reguilon, Ndombele, Hojbjerg, Alli, Lucas Moura, Kane, Son.

Subs: Romero, Gil Salvatierra, Emerson, Rodon, Lo Celso, Gollini, Skipp, Davies, Scarlett.

Referee: Craig Pawson

BACA:  Tadic: Ajax Tidak Patut Tersingkir Dari Liga Juara-Juara Eropah