Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya sekiranya United berjaya bangkit dari ketinggalan dan menyingkirkan Barcelona di Nou Camp minggu depan, ia bakal menjadi pencapaian lebih hebat dari apa yang mereka lakukan ketika menumpaskan Paris Saint-Germain tidak lama dahulu.
Sebelum ini pada peringkat 16 pasukan terbaik, skuad bimbingan Solskjaer mencipta suatu keajaiban apabila menyingkirkan PSG di tempat lawan walaupun sebelum itu tewas 2-0 di Old Trafford.
Kejayaan tersebut membolehkan United layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dimana mereka diundi bertemu gergasi Sepanyol, Barcelona.
Dalam perlawanan pertama di Old Trafford awal pagi tadi, United gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tewas 1-0 hasil jaringan sendiri Luke Shaw pada awal permainan.
Walau bagaimanapun, United masih lagi mempunyai peluang untuk layak ke peringkat separuh akhir sekiranya mereka mengulangi persembahan di Parc des Princes beberapa minggu yang lalu dalam perlawanan timbal balik nanti.
“Persembahan kami di tempat lawaan ketika menentang PSG memberi sedikit harapan dan kepercayaan yang kami mampu bangkit.” Beritahu Solskjaer kepada sidang media selepas tamat perlawanan.
“Tetapi kami tahu kami sedang berhadapan dengan pasukan yang dianggap pilihan untuk menjuarai pertandingan ini [Liga Juara-Juara Eropah].”
“Berkunjung ke Nou Camp bakal menjadi satu cabaran yang sukar buat kami. Sekiranya kami berjaya bangkit, ia adalah pencapaian yang lebih hebat daripada sebelum ini.”
“Melihat pada sejarah Barcelona, mereka tidak biasa kalah di halaman sendiri. Tetapi tanpa ragu-ragu, kami mampu melakukannya.”
“Ketika bermain di tempat lawan, kami sudah menewaskan pasukan seperti Juventus dan PSG dan sekarang kami perlu pergi ke Barcelona pula. Kami tahu kami masih mempunyai peluang dalam pertembungan ini.”
Kunjungan ke Nou Camp pada minggu hadapan akan menghadirkan memori manis buat Solskjaer yang pernah menjaringkan gol kemenangan pada waktu kecederaan ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 1999 yang berlangsung di stadium tersebut.
Solskjaer sedar sekiranya mereka memasang niat untuk layak ke separuh akhir, pasukannya perlu lebih efektif di bahagian serangan. Dalam perlawanan malam tadi, United gagal membuat sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Barcelona.
“Kami tahu kami mempunyai pemain yang mampu memberi ancaman gol. Sesiapa sahaja yang bermain di bahagian serangan nanti, kami perlu memberi lebih banyak pertolongan kepada mereka.”
“Kami perlu lebih efektif dan tidak membazirkan peluang ketika bermain di sana kerana kami tidak akan mencipta banyak peluang. Kami perlu menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin.”