Solskjaer: Manchester United Masih Mampu Tarik Pemain Ternama

Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya kelabnya masih mampu menarik minat pemain sasaran mereka pada jendela perpindahan musim panas nanti walaupun jika United gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Hajat Manchester United untuk menamatkan musim ini dalam kedudukan ke-4 teratas dilihat semakin tipis selepas sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang pencabar utama, Chelsea di gelanggang sendiri minggu lalu.

Tanpa Liga Juara-Juara, United masih menjadi destinasi utama pemain profesional. Asal gaji besorrr

Dengan Liga Perdana Inggeris hanya berbaki 2 perlawanan sahaja lagi, Manchester United kini sekadar berada di tempat ke-6 dan perlu berharap pasukan di atas mereka kehilangan mata jika mahu berada dalam kelompok 4 teratas.

Seperti kebiasaan, Liga Juara-Juara Eropah bukan sahaja menjadi lubuk duit kepada kelab yang bertanding tetapi juga boleh menjadi tarikan kepada pemain profesional.

Pemain ternama kebiasaannya akan memilih kelab yang layak beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan ia menjadi sebab utama mengapa kelab-kelab Inggeris berlumba-lumba untuk meraih slot dalam pertandingan terulung di Eropah itu.

Walau bagaimanapun, Solskjaer meluahkan keyakinannya yang Manchester United tetap mampu mendapatkan pemain yang dikehendaki mereka walaupun jika mereka gagal meraih slot ke pertandingan itu musim hadapan.

Rio Ferdinand dicanang bakal menjadi direktor sukan baru Red Devils

Solskjaer juga menambah peminat mungkin akan terkejut jika mereka mengetahui senarai nama yang ditawarkan kepada United dari ejen-ejen pemain di luar sana.

“Kami mungkin akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah tahun hadapan, kerana kami masih lagi mempunyai peluang. Tetapi mungkin juga kami tidak dapat layak.”

“Anda mungkin akan terkejut berapa ramai ejen yang memberitahu kami yang pemain di bawah mereka mahu menyertai Manchester United pada masa hadapan.”

“Inilah tarikan utama Manchester United kerana mereka sedar dengan potensi yang ada pada kelab ini dan saiz kelab ini. Tetapi yang paling penting adalah kami untuk kembali ke zaman kegemilangan seperti dulu.”

“Betul, memang kami melalui fasa yang sukar ketika ini. Kami melalui beberapa musim dimana kami gagal mencapai standard yang dikehendaki. Tetapi itu akan menjadi tanggungjawab saya dan kelab ini untuk mengubahnya dengan secepat yang mungkin.”

Jadon Sancho dilaporkan menjadi sasaran utama Setan Merah musim panas nanti

“Mungkin musim hadapan akan menjadi musim tanpa Liga Juara-Juara Eropah buat Manchester United. Siapa tahu ? Tetapi pemain di luar sana masih mahu menyertai kelab ini dan anda mungkin akan terkejut dengan nama-nama yang pernah ditawarkan kepada kami.”

Jendela perpindahan musim panas nanti bakal menjadi satu jendela yang cukup sibuk buat Solskjaer kerana sekurang-kurangnya 6 pemain senior akan meninggalkan kelab tersebut atas pelbagai sebab.

Bek kanan United, Antonio Valencia sah akan meninggalkan Old Trafford dan pemain senior seperti Juan Mata dan Ander Herrera juga dilaporkan bakal mengikut jejak langkah Valencia.

BACA:  Peminat Manchester United Persoal Kenapa Bruno Kapten Dan Ambil Penalti Berbanding CR7