Premier League 2021/22: Manchester United 0-2 Manchester City

Skuad kendalian Pep Guardiola berkunjung ke bumi Old Trafford untuk beraksi bertemu Manchester United dalam aksi saingan Premier League.

Perseteruan dua pasukan dari bandar Manchester iaitu Manchester City dan Manchester United ini digelar Manchester derby dan ia merupakan derby paling mahal dalam sejarah dunia bola sepak.

Kedua-dua pasukan ini senantiasa mahu mengatasi antara satu sama lain untuk menjadi pasukan terkuat di bandar Manchester.

Perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu sudah pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia termasuklah Kodiang dan Kuala Krai dan bakal menjadi perlawanan paling banyak tontonan dalam sejarah Premier League.

Perlawanan ini boleh ditonton sebanyak 1 bilion buah rumah merentasi seluruh dunia dan tidak termasuk streaming haram. Siaran ini juga dapat ditonton oleh 189 daripada 193 negara yang berdaftar dengan United Nations (UN).

Namun terdapat 4 buah negara dalam dunia ini yang tidak dapat menonton perlawanan ini iaitu Korea Utara, Saint Kitts, Nevis dan Moldova. Kesian.

Manchester United pada ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi namun mereka sudah berjaya menemui rentak kemenangan dalam saingan Premier League selepas menewaskan Tottenham Hotspur 3-0 pada minggu lalu.

Sementara Manchester City pula, mereka pada minggu lalu telah diaibkan oleh Crystal Palace dengan skuad kendalian Pep Guardiola itu dikejutkan dengan kekalahan 2-0.

Kedua-dua pasukan mahu memburu kemenangan dalam perlawanan ini, dengan mereka selain mahu mencabar kedudukan dalam saingan liga, mereka juga akan bermati-matian untuk mengelak kalah dalam derby panas ini.

Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terbaik mereka, dengan United sedikit terganggu dengan masalah kecederaan para pemain.

Ole Gunnar Solskjaer menggunakan formula 3-5-2 sementara Manchester City bermain dengan sistem 4-3-3 dalam pertembungan pada malam ini.

Lima minit pertama, Manchester City lebih dominan dalam penguasaan bola dan lebih kerap merencana serangan ke kubu United.

Pada minit ke-5, Harry Maguire hampir merobek gawang gol Ederson selepas beliau menanduk padu bola sepakan percuma hantaran dari Luke Shaw.

Namun sayangnya, bola tandukan Maguire tersasar melepasi gawang gol City dan sepakan gol diberikan kepada anak-anak buah Pep Guardiola.

Seminit selepas itu, Manchester City berjaya melancarkan serangan ke kubu United dan mereka hampir memperoleh gol pendahuluan, namun bola berjaya dikeluarkan oleh Lindelof.

Malang untuk United, bola yang dikeluarkan oleh Lindelof berjaya dikawal semula oleh Man City, dengan mereka terus melancarkan serangan.

Manchester City membuka tirai jaringan pada minit ke-7 permainan selepas bola hantaran lintang dari Cancelo ditampan ke gawang sendiri oleh Eric Bailly.

15 minit pertama, perlawanan jelas sekali didominasi oleh Manchester City yang kerap kali berjaya melepasi barisan tengah United untuk masuk ke kotak penalti.

United gagal untuk melancarkan serangan ke kubu City dengan kesemua gerakan mereka berjaya dipatahkan oleh pemain midfield dan pertahanan The Citizens.

25 pertama Manchester City masih lagi mendominasi sepenuhnya penguasaan bola dalam perlawanan ini dengan mereka turut cemerlang merencana beberapa serangan ke kubu United.

Pada minit ke-26, Cristiano Ronaldo hampir sahaja menggegar gawang gol City selepas beliau melepaskan volley padu hasil umpanan cantik dari Luke Shaw.

Bola rembatan padu Ronaldo ditepis oleh Ederson dan terbias tepat ke kaki Greenwood, namun sayangnya pemain muda United itu gagal menyempurnakan peluang yang ada dengan bola rembatan beliau tersasar melepasi gawang gol.

Pada minit ke-26 Gabriel Jesus hampir menggandakan kedudukan untuk City dalam perlawanan ini, namun bola rembatan padu beliau berjaya diselamatkan oleh De Gea.

Penjaga gol United itu berjaya melakukan aksi penyelamatan berkelas dunia untuk menyelamatkan gawang gol beliau dari sekali lagi dibolosi.

Minit ke-32, Manchester United hampir sahaja untuk sedekah satu lagi gol percuma kepada Man City, selepas Maguire tertampan bola ke gawang golnya sendiri.

Mujur saja De Gea berjaya menyelamatkan bola tersebut dan mengelak dari skuadnya mencatat rekod baru menjaringkan dua gol sendiri dalam perlawanan ini.

David De Gea patut di beri gelaran Dato selepas mempamerkan aksi sangat cemerlang dalam perlawanan ini, dengan beliau cemerlang menyelamatkan dua percubaan bahaya dari City pada minit ke-33 permainan.

40 minit perlawanan berlangsung, Man Utd dilihat mula mendapat rentak persembahan terbaik mereka dengan mampu untuk beberapa kali menguji gawang gol City.

Manchester City juga masih kekal dominan dan kerap melancarkan serangan bahaya ke kubu Man Utd dalam usaha mereka untuk memburu gol kedua.

Seminit sebelum tamat aksi babak pertama, Bernardo Silva berjaya menggandakan kedudukan untuk City mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0.

Bernardo bijak mencari ruang dengan meminta Cancelo menghantar bola ke dalam kotak penalti, dan beliau bersedia untuk melakukan larian dari belakang Shaw dan Maguire.

Shaw dan Maguire bekerjasama membantu Silva untuk beri ruang seluas-luasnya kepada bintang Portugal itu untuk menolak bola masuk ke gawang gol United.

Aksi babak pertama tamat dengan Manchester City mudah mendominasi permainan serta selesa mendahului pasukan tuan rumah dengan keputusan 2-0.

10 minit pertama aksi babak kedua permainan, kedua-dua pasukan menunjukkan persembahan seimbang dengan saling berbalas serangan.

Manchester City masih dominan namun serangan mereka sudah mampu dipatahkan oleh barisan pemain tengah dan pertahanan Manchester United.

Selepas 65 minit perlawanan berlangsung, Manchester United masih gagal untuk mendapatkan gol pertama mereka, dengan City jelas masih menguasai permainan.

Sehingga minit ke-80, Manchester United masih gagal untuk mencari gol pertama mereka, dengan City yang lebih kerap menguji gawang gol pasukan tuan rumah.

Man City terus menerus mendominasi permainan dengan United seolah-olah sudah tidak sabar untuk menunggu wisel penamat dibunyikan.

Pada minit ke-85, Manchester City meminta sepakan penalti dari pengadil perlawanan selepas Gabriel Jesus dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Alex Telles.

Permintaan City ditolak dengan pengadil memberikan sepakan sudut sahaja kepada anak-anak buah Pep Guardiola.

Perlawanan tamat dengan Manchester City berjaya menewaskan Manchester United dengan keputusan 2-0, dan mereka turut cemerlang mendominasi sepenuhnya aksi dalam perlawanan ini.

Kemenangan ini melonjakkan City ke kedudukan kedua dalam carta liga dengan mengumpul 23 mata, satu mata mengatasi Liverpool yang masih belum turun beraksi pada minggu ini.

Sementara United pula kekal di kedudukan kelima dengan mengumpul 17 mata, namun mereka berpotensi untuk turun sehingga ke kedudukan ke-10 selepas tamat aksi semua perlawanan minggu ini.

Man United team:Β De Gea, Lindelof, Bailly (Sancho), Maguire, Wan-Bissaka, Fernandes, McTominay, Fred (Van de Beek), Shaw (Telles), Greenwood (Rashford), Ronaldo

Man City team:Β Β Ederson, Walker, Stones, Dias, Joao Cancelo, Gundogan, Rodri, Bernardo Silva, Gabriel Jesus, De Bruyne, Foden

Sumber video: Stadium Astro

BACA:Β  Depay: Tinggalkan Manchester United Jadikan Saya Pemain Yang Lebih Baik