Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata beliau tidak akan berpuas hati sekiranya Red Devils hanya mampu menamatkan kempen musim ini dengan menduduki kedudukan empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris.
Sebaliknya, pengurus berasal dari Norway itu mahu Manchester United mencabar kejuaraan liga walaupun mereka ketinggalan 16 mata di belakang pendahulu, Liverpool dengan musim berbaki 15 perlawanan sahaja lagi.
Sebelum Solskjaer mengambil alih tampuk pengurusan dari Jose Mourinho, United ketinggalan 11 mata di belakang penghuni slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Namun selepas mengambil alih dan memenangi 8 perlawanan berturut-turut, Red Devils hanya ketinggalan 3 mata di belakang penghuni tangga ke-4 liga, iaitu Chelsea.
Selain itu, United juga berjaya mara ke pusingan ke-5 Piala FA selepas mudah menewaskan Arsenal di tempat lawan dan bakal bertemu Chelsea dalam pusingan berikutnya.
Dalam masa dua minggu dari sekarang, Solskjaer akan membimbing pasukannya untuk menghadapi Paris Saint-Germain dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah, dengan perlawanan pertama bakal diadakan di Old Trafford.
Walaupun menyedari United bakal menghadapi beberapa perlawanan sukar dalam masa terdekat, Solskjaer menggesa pemainnya untuk terus berjuang bagi membolot kesemua piala yang ada, disamping mengesahkan tempat mereka dalam kejohanan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
“Ini bukan mimpi lagi untuk menduduki empat teratas. Bagi kelab seperti Manchester United, kami perlu sentiasa mensasarkan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris.”
“Kami tidak dapat melakukannya tahun ini, tetapi kami perlu kembali memberi cabaran. Sekarang kami mempunyai Liga Juara-Juara Eropah, Piala FA, tetapi sekarang saya tidak boleh cakap yang kami akan memperolehi slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.”
“Kami perlu lihat sama ada kami mampu memenangi sesuatu musim ini. Seperti yang saya cakap, saya mengharungi setiap perlawanan selaku pengurus United dengan memikirkan kami akan menang perlawanan tersebut.”
Walaupun Solskjaer mengakui peluang untuk mencabar Liverpool amat tipis, beliau mencabar pemainnya untuk cuba mengejar Tottenham yang kini berada di tempat ke-3, dan 7 mata sahaja di hadapan United.
“Sekarang kami berada di tempat ke-6, jadi kami masih jauh lagi dari pasukan atasan yang lain. Sekarang kami sedang berusaha untuk berada di kedudukan 3 teratas. Saya rasa tidak realistik buat kami untuk mencabar dua pasukan teratas sekarang ini.”
“Saya sangat gembira dengan para pemain keranan menunjukkan semangat dan semangat berpasukan yang tinggi.”
“Kami perlu menggunakan beberapa bulan yang tinggal dalam musim ini untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi cabaran tahun depan.”
“Kami menamatkan kempen di tempat ke-2 tahun lepas, kami mahu mencabar kejuaraan liga musim ini tetapi ia tidak berlaku.”
“Sekarang segalanya adalah untuk menyusun kembali pasukan dan bersedia untuk menghadapi cabaran tahun depan dan mendapatkan lebih banyak mata.”