Bintang Tottenham Son Heung-min menyatakan pendiriannya tidak berminat untuk berhijrah menyertau mana-mana kelab Saudi Pro League termasuk Al-Ittihad pada ketika ini.
Juara Arab Saudi musim lalu itu sebelum ini dilaporkan telah menyediakan dana sebanyak £51 juta (RM302 juta) untuk membawa bintang Korea Selatan itu ke negara itu.
Al-Ittihad sebelum ini berjaya memancing Karim Benzema daripada Real Madrid dan kini turut hampir berjaya mengikat pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante.
Kelab Arab Saudi itu turut dilaporkan sudah menghubungi Son Heung-min dan bersedia menawarkan kontrak berdurasi 4 tahun dengan bayaran £26 juta semusim.
Son Heung-min appears to rule out a move to Saudi Arabia…🇸🇦❌ pic.twitter.com/1T0PTWxTWN
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) June 20, 2023
Di sebalik tawaran mewah tersebut, Son menegaskan dirinya masih mahu kekal di London bersama Tottenham.
Sejak berhijrah ke Premier League pada 2015 daripada Bayer Leverkusen, pemain antarabangsa Korea Selatan itu telah melakukan 372 penampilan dan menghasilkan 145 gol untuk Tottenham.
Menjelaskan pendiriannya kepada media, Son dipetik sebagai berkata: “Ada banyak perkara lagi saya mahu lakukan di Premier League.
“Wang tidak penting buat saya pada masa ini. Begitu juga kebanggaan kerana bermain bola sepak, dan memiliki peluang bermain di liga kegemaran saya adalah perkara terpenting.
Son berkata demikian dalam jawapan kepada wartawan dalam sidang media ketika tugasan antarabangsa bersama pasukan negaranya.
“Saya akan mempersiapkan diri dengan baik apabila kembali ke Spurs,” tambah Son lagi.
Pada awal bulan ini pemain itu mengakui beliau bergelut dengan prestasi sepanjang musim kerana terpaksa beraksi dengan kecederaan selama 9 bulan.
🇰🇷🗣️ Son Heung-min says ‘money doesn’t matter to me now’ following recent reports of a Saudi Arabia transfer. pic.twitter.com/FRtSBPCCfv
— EuroFoot (@eurofootcom) June 20, 2023
Pemain antarabangsa Korea Selatan itu adalah pemenang Anugerah Kasut Emas pada musim lalu, dan sepanjang musim 2022/23 beliau menjaringkan 13 gol kurang berbanding musim sebelumnya.
Pergelutan Son Heung-min dengan prestasi akibat kecederaan turut memberi kesan kepada Tottenham yang menamatkan saingan Premier League pada musim lalu di kedudukan ke-8.
Sekiranya perpindahan pemain itu ke Al-Ittihad menjadi realiti, ini bermakna dia akan bergandingan semula dengan bekas pengurus Tottenham, Nuno Espirito Santo yang berjaya membawa kelab itu muncul juara Arab Saudi pada musim lalu.
Pada awal bulan ini Saudi Investment Fund mengambil alih 75% pegangan di dalam empat kelab paling berjaya Arab Saudi – Al-Ittihad, Al-Nassr, Al-Ahli, dan Al-Hilal – dengan sasaran memancing bakat-bakat terbaik bola sepak Eropah ke negara itu.
Bintang Wolves, Ruben Neves dijangka akan melengkapkan perpindahan ke Al-Hilal dengan nilai perpindahan £47 juta.
Beberapa nama lain seperti Hakim Ziyech, Romelu Lukaku, Pierre-Emerick Aubameyang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Saudi Pro League.