Spurs Akhiri Rekod Tiga Kekalahan Berturut-turut Dengan Meleburkan Rekod Tanpa Kalah Man City

Tottenham Hotspur berjaya menewaskan Manchester City 3-2 awal pagi tadi, seterusnya menghidupkan peluang Liverpool untuk terus mencabar kejuaraan Premier League musim ini.

Spurs tiba ke Etihad Stadium dengan rekod yang agak mendukacitakan dengan mereka sebelum ini tewas tiga perlawanan secara berturut-turut.

Skuad kendalian Antonio Conte itu berjaya membuka tirai jaringan seawal minit keempat permainan, untuk memastikan mereka mendahului aksi perlawanan yang dilangsungkan di halaman lawan itu.

Kane menghantar bola cantik mencari Son Heung-min di kawasan Manchester City untuk melancarkan serangan awal mereka.

Son membawa masuk bola ke kotak penalti dan beliau bijak menunggu hingga Ederson keluar sebelum melorongkan bola mencari Dejan Kulusevski.

Penandatanganan terbaru kelab itu kemudiannya tenang menolak bola masuk ke gawang gol Manchester City dengan Ederson ketika itu sudah terpedaya dengan helah dari Son Heung-min.

City kemudiannya berjaya mengawal semula permainan dan mendominasi perlawanan sebelum IIkay Gundogan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-33 permainan.

Raheem Sterling menghantar bola cantik ke dalam kotak penalti, dengan Hugo LIoris kemudiannya berjaya mengeluarkan bola tersebut selepas diasak oleh Kevin De Bruyne.

Malang untuk Spurs, bola tersebut kemudiannya bergolek di hadapan Gundogan yang kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk mengikat Spurs 1-1.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan Manchester City nampak sangat dominan pada awal aksi babak kedua permainan.

Walau Man City lebih dominan, namun Tottenham Hotspur yang berjaya memperoleh gol pendahuluan dalam perlawanan ini dengan Harry Kane cemerlang meledak gol kedua untuk Spurs pada minit ke-59 permainan.

Son sekali lagi menjadi masalah kepada barisan pertahanan The Citizens dengan beliau cemerlang menghantar bola yang cukup cantik mencari Kane seterusnya memastikan Spurs mendahului perlawanan 2-1.

Ia jelas sekali satu kejutan untuk pasukan tuan rumah, dengan Kane yang sebelum ini hangat dikaitkan dengan Man City itu kemudiannya meledak satu lagi gol sebelum dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana beliau berada di kedudukan offside.

Manchester City kemudiannya terus berusaha memburu gol penyamaan dan hasilnya mereka berjaya memenangi sepakan penalti selepas bola didakwa terkena tangan Cristian Romero.

Riyad Mahrez tampil menyempurnakan sepakan penalti tersebut, seterusnya memastikan Man City mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Man City sudah hampir menarik nafas lega kerana merasakan mereka akan setidak-tidaknya mencuri satu mata dari perlawanan ini dengan Mahrez sendiri menjaringkan gol pada masa kecederaan permainan.

Walau bagaimanapun Harry Kane berjaya meledak gol kemenangan untuk Tottenham Hotspur pada minit ke-95 permainan, seterusnya mengesahkan tiga mata berharga untuk pasukan pelawat.

Perlawanan klasik EPL dengan aksi kejar mengejar dan dua gol pada masa kecederaan yang mengubah sepenuhnya keputusan perlawanan.

Spurs secara tak langsung dua kali menewaskan Manchester City pada musim ini dan membantu mereka untuk berada di kedudukan ketujuh dalam carta saingan liga.

Selepas terlalu selesa di puncak sebelum ini, Man City kini hanya mendahului Liverpool dengan kelebihan enam mata sahaja, dan anak-anak buah Jurgen Klopp itu mempunyai kelebihan satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Liverpool malam semalam baru sahaja menewaskan Norwich City 3-1 dengan mereka kini sedang melalui rekod lapan perlawanan tanpa kalah.

Melihat kepada persembahan semasa anak-anak buah Jurgen Klopp itu, tak mustahil untuk mereka memintas Man City seterusnya menjulang gelaran Premier League kedua mereka di bawah kendalian pengurus dari Jerman itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sanchez: Manchester United Adalah Kelab Terbesar Di England