Spurs lawan Man United: Amorim Jelaskan Keputusannya Tidak Melakukan Pertukaran Pemain

Ruben Amorim menjawab kenapa dia hanya membuat satu pertukaran pemain ketika Manchester United kalah kepada Tottenham Hotspur. Ketika itu dia merasakan pasukannya sedang berusaha untuk menjaringkan gol penyamaan. Dia tidak mahu tergesa-gesa menggunakan pemain muda di bangku simpanan.

Sebelum itu Amorim terpaksa memanggil beberapa pemain akademi kerana ramai pemain seniornya sakit dan mengalami kecederaan. Dalam kekalahan 1-0 pada hari Ahad di Stadium Tottenham Hotspur, Victor Lindelof adalah satu-satunya pemain yang berada di bangku simpanan yang pernah bermain di peringkat senior.

Amorim memilih untuk mengekalkan sebelas pemain utama sepanjang perlawanan. Mereka cuba untuk menyamakan kedudukan selepas James Maddison menjaringkan gol pendahuluan perlawanan pada separuh masa pertama. Pertukaran hanya dibuat pada minit ke-91 apabila Amorim membawa masuk Chido Obi untuk menggantikan Casemiro.

“Liga Perdana adalah liga paling sukar di dunia,” kata Amorim kepada BBC Match of the Day. “Saya cuba berhati-hati dengan pemain muda ini. Saya rasa pasukan sedang berusaha untuk mendapatkan gol, jadi saya tidak mahu mengubahnya. Tetapi mereka akan bermain nanti.

“Kita cuba membaca perlawanan, memahami apa yang kita lihat dalam latihan. Pasukan sedang menekan lawan untuk menjaringkan gol, jadi saya rasa tiada keperluan untuk membuat pertukaran.”

Manchester United kini sedang berdepan krisis kecederaan apabila beberapa pemain utamanya seperti Amad, Kobbie Mainoo, Manuel Ugarte, Toby Collyer, Lisandro Martinez, Luke Shaw, Jonny Evans dan Mason Mount tidak dapat bermain.

Selain Chido, pemain muda lain seperti Tyler Fredricson, Jack Fletcher, Elyh Harrison, Jack Moorhouse, Sekou Kone, Harry Amass dan Ayden Heaven turut berada di bangku simpanan United. Amorim menegaskan bahawa mereka akan mendapat peluang bermain pada musim ini.

“Mereka akan bermain musim ini,” katanya kepada Sky Sports. “Kita ada perlawanan di pertandingan piala domestik dan Eropah, jadi mereka akan mendapat peluang. Saya dapat rasakannya, semua orang boleh merasakannya. Kita hampir menjaringkan gol, jadi saya tidak mahu mengubah pasukan ketika kita hampir mencapainya.”

Kekalahan ini meletakkan United di tangga ke-15 Liga Perdana, 14 mata daripada zon kelayakan Eropah dan 12 mata di atas zon penyingkiran. Walaupun mengalami 3 kekalahan dalam 4 perlawanan terakhir liga, Amorim menegaskan dia tidak bimbang tentang kedudukannya sebagai pengurus.

“Saya tidak risau,” katanya kepada Match of the Day. “Saya faham perasaan peminat dan apa yang media fikirkan. Saya benci kekalahan, ia adalah perasaan paling teruk.”

“Selain itu, saya tidak memikirkannya. Saya di sini untuk membantu pemain saya. Saya faham situasi saya, kerja saya dan saya yakin dengan usaha saya. Saya hanya mahu menang.”

“Kedudukan pasukan dalam liga adalah kebimbangan saya, tetapi saya tidak risau tentang diri saya.”

BACA:  Dakwa VAR Tak Pernah Betul, Liverpool Mahu Rayu Kad Merah Curtis Jones