‘Stake’ Berundur dari UK. Tajaan Everton terjejas?

Penaja jersi Everton, Stake telah keluar dari pasaran UK selepas Suruhanjaya Perjudian UK (GC) memulakan siasatan terhadap kaedah pengiklanannya. Walaupun Stake masih beroperasi di peringkat antarabangsa tetapi pelanggan di UK sudah tidak boleh mengakses laman webnya.

GC mendedahkan bahawa TGP Europe Limited (syarikat yang mengendalikan operasi Stake di UK) telah menghentikan pendaftaran pengguna baharu dan memutuskan pautan dari laman utama Stake. Ini berlaku selepas siasatan terhadap iklan Stake yang menampilkan seorang pelakon filem lucah.

GC juga akan menghubungi Everton, Nottingham Forest dan Leicester City (kelab yang turut mempunyai penaja utama daripada syarikat perjudian) untuk memberi amaran mengenai risiko mempromosikan laman perjudian tanpa lesen.

Siapa Stake dan Mengapa Ia Kontroversi?

Stake adalah syarikat perjudian Australia yang ditubuhkan pada 2017 dan menawarkan pertaruhan menggunakan mata wang kripto. Mereka memasuki pasaran UK pada 2021 melalui TGP Europe, syarikat yang berpangkalan di Isle of Man.

Stake sebelum ini telah menaja Watford dan kini merupakan penaja utama Everton. Namun syarikat ini telah mencetuskan kontroversi apabila logonya banyak muncul dalam video viral termasuk kandungan yang tidak sesuai.

Pada tahun lepas GC melancarkan siasatan selepas logo Stake muncul dalam satu video melibatkan pelakon filem lucah, Bonnie Blue yang dirakam di luar Universiti Nottingham Trent.

Pada tahun 2023 TGP Europe yang mengendalikan operasi Stake di UK, pernah didenda £316,500 kerana kegagalan dalam pematuhan undang-undang berkaitan pengubahan wang haram dan tanggungjawab sosial.

Apa Hubungan Stake dengan Everton?

Bermula musim 2022-23, Stake menjadi penaja utama Everton melalui perjanjian bernilai sekitar £10 juta semusim. Logo Stake bukan sahaja muncul pada jersi pasukan lelaki dan wanita Everton tetapi juga di Goodison Park, pusat latihan Finch Farm dan platform digital kelab.

Keputusan ini mendapat kritikan kerana pada tahun 2020, bekas CEO Everton, Denise Barrett-Baxendale pernah menyatakan bahawa dalam “dunia ideal,” kelab tidak mahu bekerjasama dengan syarikat perjudian. Everton sebelum ini telah menamatkan kontrak dengan syarikat pertaruhan Kenya, Sportpesa 2 tahun lebih awal daripada perjanjian asal.

Namun selepas perang Rusia-Ukraine pada 2022, Everton kehilangan tajaan bernilai £20 juta daripada usahawan Uzbekistan, Alisher Usmanov. Ia menyebabkan mereka terpaksa mencari penaja baharu dan Stake menjadi pilihan utama.

Apa Tindakan Suruhanjaya Perjudian UK?

Stake menyatakan bahawa keputusan mereka untuk keluar dari pasaran UK adalah strategi perniagaan. Namun, sebelum siasatan GC selesai TGP Europe telah menghentikan operasi Stake di UK sepenuhnya.

GC juga memberi amaran kepada Everton bahawa pegawai kelab boleh dikenakan tindakan undang-undang jika mereka mempromosikan syarikat perjudian yang tidak berlesen. Jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan denda, hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.

Seorang jurucakap Stake berkata bahawa syarikat itu kini mahu mendapatkan lesen tempatan secara langsung dan menumpukan kepada pasaran seperti Itali dan Brazil.

Apa Implikasi untuk Everton?

Masih terlalu awal untuk mengetahui kesannya kepada Everton tetapi buat masa ini kelab tidak menunjukkan tanda-tanda mahu menamatkan perjanjian dengan Stake. Everton menegaskan bahawa mereka tidak pernah secara aktif mempromosikan platform UK Stake.

Dengan Stake telah keluar dari pasaran UK, fokus Everton kini adalah memastikan mereka mematuhi peraturan GC dan mengelakkan sebarang pelanggaran undang-undang.

Bagaimana dengan Kelab Lain?

Selain Everton, Nottingham Forest dan Leicester City juga dalam perhatian GC kerana mereka turut mempunyai penajaan daripada syarikat perjudian luar negara.

Forest ditaja oleh Kaiyun Sports sejak 18 bulan lalu manakala Leicester pula bekerjasama dengan BC.Game sejak musim panas lepas. Kedua-dua syarikat ini tidak mempunyai lesen di UK.

GC telah memberi amaran bahawa kelab yang gagal memastikan laman web penaja mereka tidak boleh diakses oleh pengguna UK boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Kenapa UK Mahu Mengubah Peraturan Tajaan Perjudian?

Pada April 2023, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris bersetuju untuk mengharamkan penajaan syarikat perjudian di bahagian depan jersi bermula musim 2026-27.

Keputusan ini dibuat selepas tekanan daripada kerajaan UK tetapi kelab masih dibenarkan menampilkan logo syarikat perjudian di lengan jersi dan papan iklan stadium.

Pada masa ini, 9 kelab Liga Perdana mempunyai penaja utama daripada industri perjudian. Namun kempen seperti The Big Step terus mendesak agar semua bentuk pengiklanan perjudian dalam bola sepak dihentikan.

Apa Akan Berlaku Seterusnya?

Keputusan Stake untuk keluar dari UK akan terus menimbulkan persoalan mengenai tajaan mereka dengan Everton.

Dengan pemilik baharu kelab, The Friedkin Group (TFG) dijangka menyemak semula semua perjanjian komersial, tidak mustahil Everton akan mempertimbangkan untuk mencari penaja baharu, lebih-lebih lagi dengan perpindahan mereka ke stadium baharu tidak lama lagi.

BACA:  Ethan Nwaneri: Bintang Muda Arsenal yang Semakin Bersinar