Stamford Bridge Bakal Bertukar Jadi Allianz Bridge

Syarikat insurans terkemuka, Allianz dilaporkan berminat untuk melakukan tajaan jangka masa panjang dengan Chelesa – termasuk stadium baharu kelab itu sekiranya direalisasikan – untuk menjadi sebahagian daripada ‘keluarga stadium’ mereka.

Syarikat dari Jerman itu sebelum ini dilaporkan berminat untuk menaja jersi Chelsea musim hadapan selepas perjanjian bersama syarikat telekomunikas Three tamat pada penghujung musim lalu.

Namun demikian rancangan itu tidak dapat direalisasikan kerana Chelsea sudah menjalin kerjasama dengan syarikat judi berasaskan matawang kripto, Stake.com.

Keputusan Chelsea bekerjasama dengan Stake.com turut dikatakan menyebabkan ramai penyokong The Blues tidak senang kerana tidak selesa dengan penajaan daripada syarikat judi.

Apatah lagi laman sesawang Stake di britain dijana oleh firma Isle of Man TGP yang sebelum ini dikawal oleh jutawan China, Alvin Chau.

Alvin pernah dikaitkan dengan pelbagai kesalahan jenayah membabitkan kumpulan samseng.

Dia dipenjarakan 18 tahun pada awal tahun ini selepas didapati bersalah atas 100 tuduhan membabitkan jenayah terancang, termasuk perjudian haram yang menjadi struktur utama kewangan TGP.

Allianz kini tidak mempunyai pilihan dan hanya boleh meletakkan tajaan mereka pada lengan jersi Chelsea.

Chelsea kemudiannya turut dicadangkan untuk potensi kerjasama menjual penamaan stadium, apabila stadium baharu Stamford Bridge siap.

Ini kerana Allianz serius untuk membina hubungan dengan Chelsea.

Jurucakap Allianz bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai potensi tajaan tersebut.

Sebelum ini Allianz telah membeli hak penamaan 7 stadium di seluruh dunia iaitu di Munich, Sydney, Minnesota, Nice, Vienna, Turin dan Sao Paulo.

Bagaimanapun sehingga kini syarikat itu masih gagal menembusi pasaran England dan Sepanyol.

Buat masa ini nama ‘Allianz Bridge’ adalah potensi besar untuk menjadin realiti. Untung Chelsea.

BACA:  Premier League 2020/21: Chelsea 0-0 Manchester United