MUNICH, Jerman – Penyerang Bayern Munich, Thomas Muller menyifatkan laporan mengenai Manchester United sedang menyiapkan dana sebanyak €100 juta (RM468 juta) untuk mendapatkannya sebagai suatu yang ‘gila’.
United cuba menandatangani bintang Jerman itu sejak musim lalu dan pengurusnya, Louis van Gaal dikatakan masih berminat untuk menyambar pemain tersebut yang pernah dipupuk bakatnya ketika di Bayern suatu ketika dahulu.
Akhbar Bild di Jerman menyiarkan laporan bahawa United telah membuat tawaran sebanyak £60 (RM392 juta) untuk pemain berusia 25 tahun itu dalam usaha menambah sengat di bahagian serangan pasukan itu.
“Secara dasarnya ia adalah suatu yang gila kerana ia melibatkan jumlah wang yang banyak dan ia bukan sekadar sukan tetapi perniagaan.
“Di Dresden (Jerman) saya pernah terdengar ada yang memanggil saya dengan pembesar suara ‘Hai, lelaki bernilai €100 juta, betulkah itu nilai kamu?’ Ia membuatkan saya tersenyum,” katanya.
Eksekutif Sukan Bayern, Matthias Sammer yakin ‘ayam tambatan’ itu akan terus kekal di Allianz Arena selepas berjaya meledak dua gol ketika membantu Bayern menewaskan Hamburg minggu lalu.
“Persembahannya menyebabkan berlaku kekalutan ini (diburu United). Kita tidak boleh menyalahkannya. Saya fikir Presiden kelab ini (Karl Heinz Rummeningge) adalah betul kerana dia tidak meletakkan sebarang harga untuk Thomas,” ujarnya.
– Agensi