Mourinho Mengaku Kalah, United Perlu Tamatkan Musim Di Kedudukan Ke-2

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata pasukannya tidak lagi mampu mengejar kedudukan Manchester City dalam persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggers.

Mourinho mengakui fokus United sekarang adalah untuk menamatkan musim di kedudukan ke-2 liga, kerana persaingan untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara semakin sengit dengan perlawanan hanya berbaki 13 sahaja lagi.

City terlalu jauh, tak terkejar kami

United kini berada di kedudukan ke-2 liga, ditinggalkan 15 mata oleh pendahulu, Manchester City. Mereka hanya dipisahkan 3 mata sahaja dengan penghuni tangga ketiga dan juga musuh ketat, Liverpool. Chelsea berada di kedudukan ke-4, berkongsi mata dengan Liverpool.

Prestasi semasa City yang tidak menunjukkan penurunan membuatkan Mourinho mengangkat bendera putih musim ini. Skuad Pep Guardiola hanya tewas sekali sahaja sepanjang musim 2017/2018, iaitu kekalahan di tangan Liverpool beberapa minggu yang lalu. Manakala United mengalami 4 kekalahan disamping 5 keputusan seri.

“Kami perlukan mata untuk menjadi yang pertama dalam kalangan pasukan bawahan [bawah City]. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menghabiskan musim di kedudukan ke-2.”

“Kami berada di kedudukan ke-2 sepanjang musim. Mungkin untuk beberapa minggu yang awal, kami berada di kedudukan tertatas. Tetapi selepas itu, kami selalu menghuni tangga kedua.”

“Persaingan merebut kedudukan kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam dilihat sangat terbuka tetapi bagi kedudukan tertatas, ianya sudah tertutup.”

Next year is our year, ujar Mourinho. GGMY

Mourinho turut menambah permainan pasukannya semakin bertambah baik sejak penghujung musim lalu dan mereka masih lagi fokus untuk memenangi piala musim ini dalam pertandingan lain.

“Kami bermain lebih baik berbanding musim lepas. Amat penting buat pasukan ini untuk menampilkan persembahan yang lebih baik dari apa yang dipamerkan musim lepas.”

“Kami sedang berusaha untuk memenangi sesuatu musim ini. Jika tidak dapat, kami akan cuba untuk menjadi lebih kuat musim hadapan.”

United akan menyambung aksi Liga Perdana Inggeris dengan melayan kunjungan Huddersfield di Old Trafford hujung minggu ini manakala pendahulu liga, Manchester City akan berhadapan pasukan meningkat naik, Burnley di gelanggang lawan.

BACA:  Anthony Martial Bakal ke Real Madrid?