TERKINI: PSG Sedia Jual Mbappe Kerana Enggan Lanjutkan Kontrak

Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk menjual Kylian Mbappe pada jendela perpindahan musim panas ini selepas pemain itu dikatakan enggan mengaktifkan klausa tempoh lanjutan sehingga 2025 yang terkandung di dalam kontrak bersama kelab itu.

Ini bermakna Mbappe boleh didapati oleh mana-mana kelab secara percuma pada musim panas akan datang – situasi yang mahu dielakkan oleh PSG.

Perkembangan terbaru ini pasti membuatkan Real Madrid mengikuti rapat perkembangan pemain itu.

Bagaimanapun media Perancis, L’Equipe melaporkan PSG tidak akan membenarkan Mbappe pergi sebagai ejen bebas. Ini bermakna kelab itu harus menjual pemain berusia 24 tahun itu pada musim panas ini.

Mbappe sudah pun menyatakan komitmen kepada kelab Ligue 1 itu dengan sambungan kontrak setelah turut diintai Real Madrid sebelum ini.

Namun klausa pengaktifan lanjutan setahun di dalam kontrak di antara Mbape dan PSG tidak akan diaktifkan dan penyerang antarabangsa Perancis itu dilaporkan akan menghantar surat rasmi kepada pihak pengurusan kelab untuk menyatakan niatnya itu.

Setelah berjaya mendapatkan Mbappe pada nilai £155 juta pada 2018, PSG sudah pasti mahu mendapatkan pulangan sekurang-kurangnya separuh daripada nilai pelaburan yang pernah mereka lakukan sebelum ini.

Perkhabaran Mbappe enggan kekal di PSG pasti menggembirakan Real Madrid. Juara Eropah 14 kali itu baru-baru ini telah melepaskan penyerang veteran, Karim Benzema.

Benzema meninggalkan Real Madrid selepas 14 tahun bersama kelab itu sebelum memilih untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Los Blancos sememangnya sedang memburu seorang penyerang di jendela perpindahan musim panas ini. Sehingga kini, gergasi Sepanyol itu dilaporkan sudah menghubungi Chelsea untuk mendapatkan Kai Havertz.

Walaupun demikian peluang untuk mendapatkan Mbappe pasti menjadi peluang keeemasan yang enggan dilepaskan oleh Real Madrid pada jendela perpindahan akan datang.

Bagi PSG, pendirian mereka mudah dan tegas. Kelab itu mahukan Mbappe mengaktifkan lanjutan kontrak setahun, duduk melakukan rundingan baharu, atau meletakkan pemain itu ke dalam senarai pemain untuk dijual – kerana enggan Mbappe pergi secara percuma.

Pada masa yang sama Real Madrid mungkin tidak bersedia untuk berbelanja besar untuk pemain antarabangsa Perancis itu walaupun pemain itu masih memiliki baki kontrak selama setahun bersama PSG.

Perbincangan lanjut di antara ketiga-tiga pihak pasti akan dimulakan pada minggu-minggu yang mendatang, dan ia juga boleh menjadi saga perpindahan di jendela musim panas ini.

BACA:  Ronaldo Tunjukkan Sifat Pemurah Apabila Tinggalkan Tip Yang Tinggi Ketika Bercuti Di Greece