Tottenham Kalah Lagi, Aston Villa ke Pusingan Kelima Piala FA

Aston Villa berjaya mara ke pusingan kelima Piala FA buat pertama kali dalam tempoh 10 tahun selepas menewaskan Tottenham Hotspur. Ia merupakan kekalahan kedua Tottenham dalam tempoh 3 hari selepas mereka tersingkir dari Piala Carabao selepas dibelasah oleh Liverpool. Kini, satu-satunya peluang Tottenham untuk memenangi trofi musim ini adalah melalui pertandingan Liga Europa.

Permulaan Baik untuk Villa

Villa membuka jaringan seawal minit pertama selepas kesilapan penjaga gol Tottenham, Antonin Kinsky. Morgan Rogers membantu Jacob Ramsey melakukan percubaan yang sepatutnya mudah diselamatkan tetapi bola terlepas dari tangan Kinsky dan masuk ke gawang.

Walaupun selepas itu Kinsky melakukan beberapa aksi menyelamat, dia tidak dapat menghalang Rogers daripada menjaringkan gol kedua Villa. Tottenham cuba bangkit apabila Mathys Tel merapatkan jurang dengan gol lewat permainan tetapi ia sudah terlambat untuk mengubah keputusan perlawanan.

Debut Menarik Marcus Rashford

Peminat Aston Villa sangat teruja melihat Marcus Rashford yang membuat penampilan pertama disana. Dia menerima sorakan kuat sebelum perlawanan dan ketika memanaskan badan.

Apabila masuk sebagai pemain gantian, Rashford menunjukkan pergerakan yang baik, menang dalam perebutan bola dan memainkan hantaran bijak untuk membantu Rogers mencipta peluang kepada Ramsey. Emery nampaknya mahu Rashford bermain di posisi yang lebih bebas seperti yang pernah dilakukan di United.

Marco Asensio, Donyell Malen dan Andres Garcia juga menunjukkan prestasi yang menjanjikan dalam sistem Villa.

Tottenham Terus Gagal

Kekalahan ini memberi tekanan besar kepada pengurus Tottenham, Ange Postecoglou. Minggu ini sangat penting untuk Spurs dan mereka gagal dalam kedua-dua kejohanan domestik iaitu Piala Carabao dan Piala FA.

Lebih membimbangkan, prestasi Tottenham telah merosot teruk. Mereka tidak membuat sebarang percubaan tepat ketika kalah 4-0 kepada Liverpool dan tidak cukup tajam ketika menentang Villa. Son Heung-min juga mensia-siakan peluang terbaiknya.

Spurs kini kelihatan takut untuk mengambil risiko. Mereka banyak melakukan hantaran ke belakang dan menggunakan hantaran jauh yang tidak berkesan. Dejan Kulusevski, yang cemerlang sebelum Krismas, kini kelihatan keletihan manakala pemain baru seperti Danso dan Bergvall masih cuba menyesuaikan diri.

Kekecewaan (koyak) jelas kelihatan dalam pasukan. Pedro Porro menendang Rashford selepas dikekang olehnya sementara Bergvall dan Bentancur dilayangkan kad kuning akibat kerana melakukan kekasaran.

Dengan kedudukan semasa di liga yang semakin tidak menentu, harapan Tottenham kini terletak pada kejayaannya dalam Liga Europa. Namun, masih belum pasti sama ada Postecoglou akan terus mengendalikan pasukan menjelang pusingan 16 nanti.

Masalah Pertahanan Aston Villa

Villa mengalami masalah di bahagian bek tengah musim ini. Mereka telah meminjam Axel Disasi dari Chelsea tetapi masih kekurangan pilihan di posisi itu kerana Pau Torres sedang mengalami kecederaan, Tyrone Mings masih belum pulih dan Diego Carlos telah berpindah ke Fenerbahce.

Ketika menentang Tottenham, Boubacar Kamara terpaksa bermain di bek-tengah bersama Ezri Konsa. Namun, Konsa pula mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-27.

Lamare Bogarde yang biasanya bermain sebagai pemain-tengah atau bek-kanan, masuk menggantikan Konsa. Walaupun ia bukan posisinya, pemain berusia 21 tahun itu berjaya mengawal situasi dengan baik dan menghalang pergerakan Son Heung-min.

Debut Mathys Tel: Permulaan yang Menjanjikan

Tottenham terpaksa memberikan peluang kepada Mathys Tel selepas Richarlison dan Dominic Solanke cedera. Pemain pinjaman dari Bayern Munich itu sebelum ini hanya beraksi sekejap menentang Liverpool.

Ramai menjangkakan Tel akan bermain sebagai penyerang utama tetapi Son mengambil peranan itu dan Tel bermain di bahagian sayap. Dia menunjukkan beberapa kemahiran menarik tetapi masih belum cukup tajam dalam penyudahnya.

Namun Tel tidak pernah hilang keyakinan. Dia sentiasa meminta bola dan cuba mencipta peluang. Pada penghujung perlawanan dia berpindah ke posisi penyerang dan berjaya menjaringkan gol selepas menerima hantaran Kulusevski.

Walaupun berjaya mencetak gol Tottenham tetap gagal untuk membuat kebangkitan. Tel mempamerkan potensi besar tetapi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris.

BACA:  Mourinho: Frank De Boer Pengurus Paling Teruk Dalam Sejarah Liga Perdana Inggeris