Transformasi Data di Manchester United: Mampukah Mereka Mengejar Selepas Jauh Ketinggalan?

Bahagian 1: Pendekatan Baharu Manchester United dalam Penggunaan Data

Apabila perpindahan Patrick Dorgu (€30 juta) dari Lecce ke Manchester United disahkan pada bulan lalu, terdapat sesuatu yang berbeza dalam pengumuman rasmi kelab itu. Kali ini, United menyertakan sedikit statistik dalam kenyataan mereka.

Pemain baharu di posisi bek sayap kiri itu telah “memenangi jumlah duel kedua terbanyak” dan “cubaan menggelecek keempat terbanyak dalam kalangan pemain pertahanan” di Serie A. Begitu lah kenyataannya.

Perkara yang sama berlaku pada Ogos lalu ketika United mengumumkan ketibaan Manuel Ugarte. Mereka menyatakan bahawa pemain itu mempunyai “purata jumlah terjahan kedua tertinggi per 90 minit di liga utama Eropah” sepanjang 2 musim sebelumnya.

Walaupun tambahan kenyataan itu kecil, ia memberi gambaran bahawa United sedang cuba menunjukkan keputusan pengambilan pemain mereka berdasarkan analisis data. Ia berbeza dengan tuduhan sebelum ini bahawa kelab sering membuat pembelian pemain secara impulsif tanpa pertimbangan yang kukuh.

Sejak Sir Jim Ratcliffe dan pasukan INEOS mengambil alih operasi kelab tahun lalu, semua aspek perniagaan United telah dikaji dengan teliti. Salah satu bahagian yang mendapat perhatian khusus adalah analisis data.

Pada Disember lalu, dalam satu temu bual bersama United We Stand, Ratcliffe secara terbuka mengkritik pendekatan kelab terhadap penggunaan data:

“Kami perlu mempunyai sistem pengambilan terbaik di dunia. Analisis data adalah sebahagian daripadanya. Tetapi di sini? Ia hampir tidak wujud. Kami masih berada dalam era lama dalam analisis data.”

United sememangnya agak lambat dalam menerapkan revolusi data dalam bola sepak dan kini mereka cuba mengejar kelab-kelab lain yang sudah jauh terkehadapan. Walaupun komen Ratcliffe mungkin keterlaluan, ia mencerminkan realiti bahawa United masih ketinggalan dalam aspek ini berbanding pesaing mereka di Liga Perdana Inggeris.

Lebih memburukkan keadaan, kenyataan tersebut dibuat ketika bahagian analisis data United sedang mengalami perubahan besar selepas pemergian pengarah sains data mereka, Dominic Jordan.

Bahagian 2: Permulaan Bahagian Analisis Data Manchester United

Manchester United masih belum melantik pengganti Dominic Jordan. Jordan memainkan peranan penting dalam membina sistem analisis data kelab. Sepanjang 2 setengah tahun di Old Trafford, Jordan telah mencapai kemajuan yang besar. Namun, pemergiannya menyebabkan bahagian ini kehilangan hala tuju dan kepimpinan ketika masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

Pada Oktober 2021, United mengumumkan pelantikan Jordan sebagai pengarah sains data tetapi beliau hanya mula bertugas pada musim bunga berikutnya. Beliau bukan sahaja individu pertama yang memegang jawatan itu di United malah merupakan pekerja pertama dalam bidang data yang diambil bekerja oleh kelab. Ini berbeza dengan kelab-kelab lain yang sudah lama memanfaatkan data dalam keputusan bola sepak mereka.

Sebelum menyertai United, Jordan berkhidmat di syarikat peruncitan online, N Brown Group sebagai pengarah sains data dan analitik. Beliau juga pernah bekerja selama 8 tahun sebagai ketua saintis data di firma analitik pengangkutan, Inrix.

Apabila Jordan menyertai United, pengarah bola sepak ketika itu, John Murtough berkata kelab sudah pun menggunakan data secara meluas dalam analisis perlawanan dan pengambilan pemain. Namun, beliau mengakui bahawa United perlu memperkukuhkan keupayaannya dan membina sistem yang lebih bersepadu.

Sumber dalaman mendedahkan bahawa walaupun data sudah digunakan dalam beberapa aspek kelab terutamanya dalam sains sukan sejak era Sir Alex Ferguson pada 2007, ia masih tidak memainkan peranan utama dalam proses membuat keputusan di peringkat tertinggi.

Keputusan penting sering dibuat secara individu oleh pegawai kelab tanpa proses formal yang melibatkan analisis data. Lebih membimbangkan, United tidak melanggan data swasta seperti StatsBomb atau Opta. Syarikat ini menyediakan metrik terperinci untuk setiap aksi di atas padang seperti hantaran, percubaan dan terjahan.

Selepas penubuhan bahagian analisis data, United mula menilai pembekal data dan mencari cara terbaik untuk menggunakannya.

Salah satu tugas pertamanya adalah menilai calon pengurus untuk menggantikan Ralf Rangnick. Berdasarkan analisis data, Erik ten Hag muncul sebagai pilihan utama dan keputusan itu digunakan untuk menyokong keputusan Murtough. Ten Hag kemudiannya dilantik menjadi pengurus pasukan.

United juga merancang strategi jangka panjang untuk mempercepatkan perkembangan bahagian analisis datanya. Ia termasuk memperkenalkan proses strategi skuad, di mana data digunakan untuk mengenal pasti kelemahan dalam pasukan utama dan membantu perancangan perpindahan pemain.

Bagi memastikan usaha ini berjaya, sokongan di peringkat pengurusan eksekutif adalah sangat penting. Murtough menjadi penyokong utama projek ini dan menyedari bahawa pembangunan bahagian data memerlukan masa serta pelaburan yang berterusan.

Bahagian 3: Pengembangan Bahagian Analisis Data di Manchester United

Selepas penubuhan bahagian analisis data, United mula memperluaskan kumpulan itu dengan melantik lebih ramai pakar. Dalam tempoh setahun selepas pelantikan Dominic Jordan, kelab membawa masuk 4 individu penting bagi memperkukuhkan operasi data mereka.

Chris Shumba menyertai United sebagai ketua operasi data. Sama seperti Jordan, Shumba juga datang dari N Brown Group. Andrew Davies pula diambil sebagai saintis data dengan kepakaran dalam pembelajaran mesin (machine learning).

Fokus utama Shumba dan Davies adalah dalam kejuruteraan data. Ia melibatkan pembersihan data mentah serta membina model, sistem dan proses yang sebelum ini tidak wujud di United. Mereka berperanan memastikan data yang dikumpulkan boleh digunakan secara efektif dalam analisis bola sepak.

Selain itu, Alex Kleyn yang sebelum ini merupakan ketua saintis data di Southampton dan pernah bekerja di Norwich City turut menyertai United. Max Adema pula diambil sebagai saintis data dari syarikat pembekal data bola sepak terkemuka, StatsBomb.

Untuk mempercepatkan pembangunan bahagian data mereka, United menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi DXC Technology. Syarikat ini juga merupakan penaja lengan jersi mereka. DXC membantu dalam kejuruteraan data dan membina rangka kerja yang membolehkan United mengurus serta menganalisis data pemain dengan lebih sistematik.

Pada Disember lalu, United menerbitkan satu video di laman rasmi mereka bagi mempamerkan hasil kerjasama ini. DXC juga mengeluarkan laporan yang menjelaskan bagaimana mereka membantu United membangunkan “senibina tersendiri untuk data pemain”, termasuk pelaksanaan strategi data, infrastruktur awan (cloud infrastructure), rangka kerja pengambilan data dan pemprosesan data.

Namun, meskipun terdapat penambahan tenaga kerja dan kerjasama dengan syarikat luar, pasukan analisis data United masih dianggap kecil jika dibandingkan dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang lain.

Kelab seperti Brighton & Hove Albion dan Brentford mempunyai kelebihan kerana pemilik mereka, Tony Bloom dan Matthew Benham memiliki syarikat penyelidikan perjudian sendiri iaitu Starlizard dan SmartOdds. Ia membolehkan mereka menggunakan analisis data secara lebih mendalam dalam pengambilan pemain dan strategi perlawanan.

Di United, kelab seperti Liverpool dan Manchester City dilihat sebagai penanda aras kejayaan dalam penggunaan data. Beberapa pegawai dalaman United telah mencadangkan agar bahagian analisis data dibesarkan namun sejak musim panas 2023, tiada lagi pelantikan tetap dalam kumpulan data.

Menurut sumber dalaman kelab, terdapat rancangan untuk menambah sumber dan tenaga kerja dalam bahagian data tetapi sejak pemergian Jordan, strategi ini masih dalam proses kajian.

Memandangkan skala tugas yang besar dan saiz pasukan yang terhad, United terpaksa memberikan keutamaan kepada aspek tertentu dalam operasinya. Fokus utama fasa awal ini adalah dalam bidang pengambilan pemain kerana mereka percaya bahawa penggunaan data boleh memberi impak segera dalam pasaran perpindahan.

Bahagian 4: Penggunaan Data dalam Perekrutan Pemain

Dalam usaha membangunkan bahagian analisis data mereka, Manchester United mula memanfaatkan data dalam proses pengambilan pemain. Sebelum ini, United menggunakan sistem dalaman yang dikenali sebagai TrackerMan, sebuah pangkalan data laporan pencari bakat (scout) yang dikumpulkan daripada jaringan pencari bakat mereka di seluruh dunia.

Sistem ini kaya dengan maklumat kerana melibatkan pemantauan meluas namun kelemahannya adalah kebanyakan laporan dibuat berdasarkan pemerhatian peribadi tanpa analisis mendalam menggunakan angka dan statistik. Ia bermaksud pemilihan pemain lebih bergantung pada intuisi dan pengalaman individu pencari bakat berbanding pada model data yang objektif.

Dengan pembentukan pasukan analisis data, United mula membina model statistik untuk mengenal pasti bakat melalui data sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemerhatian pencari bakat semata-mata. Data daripada penyedia seperti StatsBomb dan Opta digunakan untuk menilai prestasi pemain dengan lebih terperinci.

Sebagai contoh, dalam jendela perpindahan Januari lalu, ketiga-tiga pemain yang dibawa masuk oleh United (Patrick Dorgu, Ayden Heaven, dan Diego Leon) disokong oleh analisis data. Model yang dibina oleh pasukan analisis data membantu mengenal pasti pemain yang sesuai dengan keperluan pasukan berdasarkan faktor seperti kebolehan teknikal, gaya permainan dan potensi pembangunan masa depan.

Namun, dalam kalangan pegawai dalaman United sendiri, masih ada perdebatan mengenai keberkesanan sistem data dalam pasaran perpindahan.

Keberkesanan Data dalam Perekrutan Pemain: Berjaya atau Tidak?

Sesetengah pihak berpendapat bahawa United masih belum menunjukkan impak besar dalam pasaran perpindahan meskipun telah melabur dalam analisis data. Mereka sering membelanjakan wang yang besar untuk nama-nama besar, kadangkala dalam keadaan terdesak dan pada saat-saat akhir. Malah, beberapa pemain yang dibawa masuk oleh Erik ten Hag adalah bekas pemainnya sendiri, yang menunjukkan keputusan lebih dipengaruhi oleh hubungan peribadi berbanding analisis data.

Namun, ada juga yang percaya bahawa nilai utama analisis data di United bukan sekadar membantu mendapatkan pemain yang tepat tetapi mengelakkan pembelian yang salah. Dengan adanya model data yang lebih maju, pengurusan kelab kini mempunyai asas yang lebih kukuh untuk menilai risiko membeli pemain tertentu dan mengelakkan kesilapan besar dalam perpindahan.

Penggunaan Data Jejak Pergerakan Pemain (Tracking Data)

Salah satu aspek data bola sepak yang semakin berkembang ialah data jejak pergerakan pemain (tracking data). Tidak seperti data acara perlawanan biasa (seperti hantaran, rembatan, atau tekel), data tracking data merakam setiap pergerakan pemain di atas padang termasuk kedudukan, larian,  dan tindakan mereka pada kadar 25 bingkai per saat.

Manchester United mempunyai akses kepada data tracking data daripada sistem Second Spectrum yang digunakan oleh semua kelab Liga Perdana Inggeris. Data ini sudah digunakan untuk menilai pemain sedia ada dan menganalisis lawan mereka tetapi penggunaannya dalam pengambilan pemain masih baru bagi United.

Kini, kelab sedang berusaha membina model yang lebih canggih untuk mendapatkan nilai maksimum daripada data ini. Ia sejajar dengan kelab-kelab terkemuka yang sudah lama menggunakan teknologi ini dalam pemilihan pemain.

Namun, United masih ketinggalan dalam aspek ini. Laporan oleh firma perunding Left Field pada 2023 mendapati bahawa dua pertiga daripada 27 kelab utama Eropah telah melanggan perkhidmatan penyedia data tracking data SkillCorner tetapi United bukan salah satu daripadanya. Hanya 6 kelab dalam kajian tersebut menggunakan data ini pada tahap paling mendalam.

Keputusan United untuk tidak melanggan tracking data yang lebih terperinci sebenarnya adalah pilihan yang disengajakan. Pegawai dalaman percaya bahawa lebih baik membina asas kukuh dalam model data acara perlawanan terlebih dahulu sebelum melabur dalam tracking data yang lebih rumit.

Selain pengambilan, United juga mula menggunakan sains data dalam bidang lain seperti analisis prestasi, kesihatan pemain, dan pematuhan peraturan Kewangan Adil (Financial Fair Play, FFP). Namun, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan data benar-benar menjadi tunjang kepada semua aspek operasi bola sepak kelab.

Bahagian 5: Cabaran dalam Mengintegrasikan Data di Manchester United

Walaupun Manchester United telah mula menggunakan data dalam beberapa aspek operasi bola sepak mereka, masih ada banyak cabaran yang perlu diatasi sebelum kelab dapat mencapai tahap pasukan lain seperti Liverpool, Manchester City, Brighton atau Brentford dalam penggunaan analisis data.

Salah satu kelemahan utama ialah kekurangan platform data yang mesra pengguna. Di kelab-kelab yang lebih maju dalam bidang ini, terdapat sistem khas yang membolehkan jurulatih, pencari bakat dan pegawai kelab mengakses analisis data dengan mudah.

Di Nice (kelab milik INEOS) terdapat platform data tersendiri yang membolehkan kakitangan bola sepak mendapatkan laporan terperinci mengenai pemain dan prestasi pasukan. Tetapi di United, sistem sebegini masih belum wujud dan ini menyebabkan proses membuat keputusan berdasarkan data menjadi lebih sukar.

Namun, cabaran terbesar mungkin adalah ketidakstabilan dalam kepimpinan kelab.


Kurangnya Kepimpinan dan Arah Jelas dalam Bahagian Data

Sejak Dominic Jordan meninggalkan jawatannya sebagai Pengarah Sains Data pada Julai 2023, United masih belum melantik pengganti rasmi. Sejak itu, pelbagai individu dalam kelab telah mengambil alih tugas berkaitan data tetapi tanpa seorang pemimpin tetap, bahagian ini kehilangan arah yang jelas.

Selepas pemergian Jordan, Andy O’Boyle (timbalan pengarah bola sepak) menjadi orang tengah dalam urusan data tetapi beliau juga meninggalkan kelab hanya beberapa bulan kemudian. Ini meninggalkan kekosongan kepimpinan yang perlu diisi.

Buat masa ini, Richard Hawkins, Pengarah Wawasan dan Inovasi Bola Sepak United telah mengambil peranan sementara dalam mengawasi bahagian data. Hawkins adalah seorang pakar dalam prestasi fizikal pemain dan telah lama berkhidmat di United tetapi beliau bukan seorang pakar sains data.

United juga bekerjasama dengan Manchester Metropolitan University’s Institute of Sport, di mana pelajar PhD bekerja dengan saintis data kelab dalam projek penyelidikan dan inovasi. Walaupun ini merupakan langkah yang baik, ia tidak menggantikan keperluan untuk seorang pemimpin tetap dalam bahagian data.

Menurut sumber dalaman, kepimpinan bahagian data adalah keutamaan utama bagi United kerana tanpa hala tuju yang jelas, sukar untuk kelab membina sistem data yang benar-benar berkesan.


Bagaimana United Boleh Meningkatkan Penggunaan Data?

Dengan Sir Jim Ratcliffe dan INEOS kini mengawal operasi bola sepak United, mereka sedang mengadakan kajian semula tentang struktur data kelab dan bagaimana ia boleh dipertingkatkan.

Seorang pegawai kanan INEOS, Gary Hemingway telah diberikan peranan untuk menilai bagaimana United boleh mengoptimumkan penggunaan data mereka. Hemingway mempunyai pengalaman bekerja dengan sistem data dalam industri petrokimiantetapi seperti Hawkins, beliau bukan seorang pakar dalam analisis bola sepak.

Tugas Hemingway adalah untuk:

  1. Menentukan di mana bahagian data United boleh diperkukuhkan.
  2. Mengkaji sama ada pelaburan tambahan diperlukan untuk mengembangkan bahagian ini.
  3. Menentukan kedudukan sebenar bahagian data dalam struktur kelab.

Walaupun United sedang menghadapi tekanan untuk mengurangkan kos operasi, kepimpinan INEOS menyedari bahawa pelaburan dalam data adalah keperluan jangka panjang.

Menurut sumber dalaman, United berhasrat untuk:

  • Menambah kakitangan dalam bahagian data khususnya dalam kejuruteraan data dan pembinaan model statistik.
  • Mewujudkan platform data dalaman seperti yang digunakan di kelab-kelab lain dalam kumpulan INEOS.
  • Memastikan semua keputusan bola sepak dibuat dengan mengambil kira analisis data yang tepat.

Namun, seperti yang dinyatakan oleh Ratcliffe sendiri, “perkara ini tidak boleh diselesaikan dalam satu malam.”


Kesimpulan: United Masih Mengejar Pasukan Lain

Walaupun United telah membuat kemajuan dalam membina pasukan sains data, mereka masih jauh di belakang pesaing utama mereka dalam bidang ini.

Sejak INEOS mengambil alih pengurusan bola sepak, mereka telah:

  • Mula menggunakan data dalam pengambilan pemain.
  • Menjalankan analisis prestasi lebih mendalam.
  • Membina model statistik untuk mengelakkan kesilapan dalam perpindahan pemain.

Namun, mereka masih menghadapi masalah berikut:

  • Kekurangan platform data yang mesra pengguna.
  • Tiada pemimpin tetap dalam bahagian sains data.
  • Keputusan bola sepak masih tidak sepenuhnya berpandukan data.

Bagi United, untuk benar-benar menjadi kelab moden yang didorong oleh data, mereka perlu mengatasi cabaran ini dengan melabur dalam kepimpinan, teknologi dan tenaga kerja dalam bidang ini.

Sir Jim Ratcliffe dan INEOS telah mengakui kepentingan data tetapi mereka juga tahu bahawa ini adalah proses jangka panjang. Dalam industri bola sepak moden, di mana kelab seperti Brighton dan Brentford telah membuktikan bahawa kejayaan boleh dibina dengan analisis data yang kukuh, United tidak boleh lagi terus ketinggalan.

United kini dalam fasa mengejar pasukan lain dalam revolusi data bola sepak tetapi sama ada mereka boleh mengejar dan mengatasi pesaing mereka, hanya masa yang akan menentukan.

BACA:  Legenda Liverpool Menganjing Man Utd Kerana Ditolak Eriksen