Trofi Europa League Yang Dilaporkan Dicuri Di Mexico Telah Dijumpai Kembali Dalam Keadaan Baik

Impian Arsene Wenger untuk mengakhiri kariernya bersama Arsenal dengan trofi Europa League hampir tidak menjadi kenyataan selepas trofi tersebut dilaporkan telah hilang di Bandar Leon, Mexico.

Pihak berkuasa Guanajuato melaporkan melalui akaun Twitter memberitahu trofi tersebut telah dicuri ketika ia berada di Bandar Leon, tetapi telah dijumpai kembali dalam keadaan yang baik tidak lama kemudian.

Berjaya dijumpai kembali. Trofi ni pon nak disebatnya. Dasar Mexico si drug cartel

Menurut laporan tersebut, trofi tersebut telah dibawa lari dari sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan untuk menghantarnya ke satu majlis di bandar terbabit.

Pihak berkuasa juga telah memuatnaik gambar untuk menunjukkan bukti trofi Europa League dalam keadaan yang baik dan berada di tangan pihak yang betul. Tiada maklumat lebih lanjut diberikan selain dari gambar trofi dalam sebuah kotak selamat yang berbalut kain.

Laman web rasmi UEFA, badan bolasepak Eropah memberitahu mereka menyimpan trofi asli Europa League setiap masa dan hanya membenarkan kelab yang memenangi kejohanan tersebut menyimpan replika sahaja.

Akan tetapi dalam kes yang berlaku di Mexico ini, trofi yang dilaporkan telah dicuri itu merupakan trofi yang asli berdasarkan usaha pihak berkuasa yang bertungkus lumus mencari sehingga ditemui kembali.

Insiden kecurian ini hampir menyerupai kejadian kecurian trofi Piala Dunia yang pernah berlaku di London pada March 1966. Trofi yang lebih dikenali sebagai ‘Jules Rimet’ itu telah dicuri ketika ia dipamerkan dalam satu pameran di Westminster, tetapi berjaya ditemui kembali di bawah pokok di selatan London.

Trofi tersebut dijumpai oleh seekor anjing yang bernama, Pickles dan anjing tersebut menjadi anjing paling terkenal dalam sejarah bolasepak.

Sekiranya trofi Europa League itu pulang dari Mexico dalam keadaan yang baik, ia akan diserahkan kepada pemenang kejohanan tersebut selepas perlawanan akhir yang bakal berlangsung di Lyon pada 16 Mei 2018.

Belah kiri adalah trofi Piala Dunia versi lama yang pernah dicuri. Kanan pula versi baru yuang dipakai sehingga sekarang

Jika Arsene Wenger berjaya membimbing Arsenal melepasi cabaran sukar menentang Atletico Madrid di peringkat separuh akhir, mereka akan bertemu sama ada Marseille atau Red Bull Salzburg dalam perlawanan akhir.

Jika segalanya berjalan lancar, ia bakal menjadi perlawanan akhir Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal selepas menguruskan pasukan tersebut selama 22 tahun.

BACA:  Menjelang Malam Terakhirnya Di Emirates, Wenger Yakin Arsenal Akan Kembali Bersaing Di Peringkat Tertinggi