Ulasan Sharip Dolsson: Love YoU-nited 678

Di kala musim jerebu ini, Rahim Martial memutuskan untuk memakai topeng muka menonton bola di kedai mamak.

Sambil beberapa kali juga beliau menarik topengnya ke bawah untuk membolehkan beliau memasukkan batang ke mulutnya, batang yang berwarna coklat tertulis kretek Djarum, sambil mengutuk Indonesia kerana masalah jerebu.

Seperti biasa, mana Rahim nak kalah dengan penyokong Arsenal yang sudah sejam lebih awal tiba daripada beliau. Lalu ditengkingnya mamak, “Oi, MU mana MU, Arsenal ni kelab apa? Sekumpulan budak pembaik pulih meriam ke? Minggu lepas dengan Mia Khalifa pun kena troll.”

Lalu terdengar semua orang bersorak meraikan kejayaan Rahim menukar saluran kepada pertemuan Manchester United.

Rahim menceritakan kepada rakan rakan semejanya bahawa West Ham ini bakal menjadi mangsa mereka. Astana pun boleh makan. Inikan pula kelab yang penyokongnya sentiasa meniup bebuih. “Ni United bagi korang berbuih.”

“Hanya ada 1 United sebenar di England iaitu Manchester United, yang lain tu cuma pengikut trend kitorang” jelas Rahim lagi.

Sepak mula perlawanan, penyokong Manchester United kelihatan sangat teruja dan terangsang dengan De Gea yang baru menyambung kontrak jangka panjang. Mereka menggelar De Gea sebagai United sejati, setianya tiada tandingan.

Mereka berkata, rumors De Gea ke Real Madrid dahulu hanyalah mainan media.

De Gea hanya tersenyum dalam hati mengenangkan beliau berjaya juga membuatkan Man United jadi tak keruan selepas beberapa kali tarik tali soal kontrak. Lalu bekas tertuduh kes donat itu berjaya menjadi penerima gaji lumayan sehingga £375,000 seminggu.

Di atas padang, United berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka di dalam liga. Pada sepak mula, mereka baru melepaskan tempat kegemaran mereka iaitu tangga ke-6 kepada ke-7. Tak mengapa, tamat perlawanan ini, baru kau tau di mana kedudukan kami.

Semalam lagi ramai penyokong United memaki hamun penyokong lain yang mengtroll mereka kerana kembali ke tangga ke-6. Katanya, United tak main lagi la.

Di atas padang separuh masa pertama Manchester United hanya melakukan 2 percubaan ke arah gol dan 1 on target sahaja. Itu sangat mengujakan para penyokong mereka, dan sudah cukup untuk membuatkan mereka menambah lagi pesanan makanan.

Lalu Rahim Martial membantu mengemaskini maklumat perlawanan Arsenal: “Ha, kepada dak dak Arsenal yang tak tengok live, team korang ketinggalan 1-0 dan 1 kad merah kat budak wechat korang.”

Belum pun makanan tiba di atas meja, Yarmolenko pula menjaringkan gol untuk West Ham.

Yarmolenko hanyalah menyahut seruan pengendali Twitter West Ham yang merupakan seorang wanita.

Semua penyokong United terkedu seakan-akan merasa kerugian di atas perbuatan mereka beberapa minit yang lalu.

Di atas padang, para pemain United kelihatan lega dengan kejayaan melepaskan bolos pertama itu selepas mereka sendiri gagal membolosi lawan. Jika anda tidak dapat membolosi lawan, sila dibolosi. Lebih kurang itulah pepatahnya.

Bersambung babak kedua, segalanya serba sempurna di atas padang. Pemain pertahanan harga paling Yahudi, Harry Maguire mendapat peluang di depan gol, namun gagal menyempurnakannya.

Lalu Rahim meneruskan pem-back-up-an beliau di media sosial. “Biasalah tu pertahanan tak skor. Itu pun nak kecoh.”

Di atas padang, beberapa kali Wan Bissaka tersesat ke posisi Ashley Young. Namun Rahim meneruskan usahanya mem-back-up dengan berkata: “Nampak tak betapa total footballnya Manchester United, ini hanya akan berlaku apabila Ole dekat tempat pemanduan.”

Rashford beberapa kali memperlihatkan keketuman beliau. Seperti biasa Rahim capai Iphone 11 baru beliau beli dengan loan Aeon, dan membela dengan ayat: “Biasalah tu, lawan team parking bas.”

Kemudian, Matic beberapa kali kena buli di tengah. Rahim capai fon lagi. “Biasalah tu, pemain berpengalaman ni tak tergopoh gapah.”

Status yang mendapat 10 gelakan daripada penyokong lawan  dan 300 reaksi suka daripada penyokong United.

Selepas itu giliran Ryan Giggs muda pula hampir menjaringkan gol namun dihalang oleh penjaga gol lawan.

Tanda-tanda kebangkitan Manchester United semakin ketara di mata para penyokong.

Tidak disangka-sangka, West Ham mendapat gol kedua menerusi sepakan percuma. De Gea tewas lagi. Mungkin beliau masih terfikir tentang bila gaji masuk, nak melihat angka baru di akaunnya.

Dalam hati De Gea, mujurlah pegawai HR United tak pernah tahu aku ni lemah part free kick ni. 12 kali De Gea ditewaskan daripada sepakan percuma dalam EPL, dalam UCL tu susah nak kira sebab, sekejap ada sekejap tak ada.

Dalam UEL pula beliau tak main sangat kejohanan yang meghimpunkan pasukan-pasukan susah nak disebut Ashley Cole itu.

Ole Gunnar kelihatan tenang dan gembira dengan kekalahan itu. Para pemain United jelas sekali lega dan terharu dengan kekalahan yang berjaya mereka capai ini.

Namun Rahim Martial sangat kecewa. Dia pun membuka aplikasi Premier League di hadapan Roy Mustafi.

Dalam hatinya dia yakin Arsenal pun kalah juga. 10 orang kot katanya dalam hati. Biarlah bingai sama-sama.

Sekali Arsenal menang 3-2, si Pepe pun boleh skor. Roy bertanya, kau tak nak hebahkan keputusan Arsenal.

Lalu Rahim Martial dengan egonya berkata: “Aku nak buka apps ni sebab nak tengok point fantasy aku je. Aku ada Aubameyang la.”

Tamat perlawanan Manchester United berjaya mencipta rekod, duduk dalam 3 tangga berbeza dalam masa 2 hari iaitu tempat ke-6 pada Sabtu. Ke-7 selepas sepak mula awal Ahad, dan ke-8 pada akhir perlawanan mereka dengan West Ham.

Manchester United berjaya meningkatkan kedudukan mereka kepada 2 anak tangga lagi, daripada 6 kepada 8.

Lalu Roy Mustafi tak bagi chance. Ni peluang dia nak bancuh. “Kau tau tak Mia Khalifa tu peminat West Ham.”

Roy menunjukkan gambar Mia Khalifa dengan budak SMA yang turut penyokong West Ham, yang merupakan negara pengeluar Djarum dan negara yang dikecam Rahim pada slot awal penontonan beliau.

https://twitter.com/FriyankaYudha/status/1175629868685570048

Rahim Martial berpura-pura tak kenal dan berharap pula dengan Chelsea akan menewaskan Liverpool. Rahim tahu si Hakim Firmino pasti mahu memulangkan jasa jasa beliau selepas terlebih ceria mengutuk pasukan itu yang dikalahkan Napoli minggu lalu di UCL. Dia pula berbangga dengan kejayaan menang 1-0 ke atas Astana Menanti Pasti.

Rahim meluangkan masa lebih 2 jam lagi. Dan akhirnya beliau pulang dengan penuh kekecewaan. RM30.00 habis malam itu kerana dibelanjakan untuk 2 perlawanan.

Lalu hari ini, Rahim baru memulakan perangnya ke atas Anugerah Bintang Popular dan beberapa perkembangan terkini ekonomi, sosial dan politik tanah air.

Beliau turut berkongsi tips kesihatan ketika menghadapi jerebu.

BACA:  Aksi Gelecekan Maguire Mampu Membuatkan Ronaldo Dan Messi Terduduk