Bekas kapten Arsenal dan England, Tony Adams mengkritik Unai Emery kerana menghasilkan impak yang sedikit sejak mengambil alih tempat Arsene Wenger sebagai pengurus Arsenal yang baru.
Adams juga mempersoalkan apa yang dilakukan Emery sepanjang pra-musim kerana didakwa tidak menyelesaikan permasalahan paling utama yang ditinggalkan rejim Arsene Wenger, iaitu bahagian pertahanan yang longgar.
Walaupun bukan calon utama untuk menggantikan Wenger, Emery dianggap calon paling ‘selamat’ untuk mengembalikan status Arsenal sebagai kelab elit Eropah berdasarkan pengalaman menguruskan pasukan sederhana seperti Sevilla pada masa lalu.
Emery tidak dikurniakan bajet perpindahan yang besar pada jendela perpindahan musim panas ini tetapi pihak atasan Arsenal meletakkan sasaran kepada Emery untuk membawa Arsenal kembali ke ‘Top 4’ selepas dua musim berturut-turut terlepas kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pertama Emery sebagai pengurus Arsenal, mereka ditundukkan Manchester City 2-0 di hadapan penyokong sendiri dan selepas melihat persembahan The Gunners dalam perlawnanan tersebut, Adams mendakwa Emery tidak membawa sebarang kemajuan kepada Arsenal.
“Ia merupakan persembahan yang sama seperti sebelum-sebelum ini. Saya sendiri agak kecewa melihat persembahan Arsenal dalam perlawanan itu.”
“Sebelum ini di bawah Arsene Wenger, Arsenal mengamalkan corak permainan menyerang yang terbuka. Apabila pengurus baru masuk, saya ingat pasukan ini akan bermain dengan lebih ketat di bahagian pertahanan.”
“Sepanjang 10 tahun lepas, Arsenal asyik melepaskan gol dengan banyak, terutamanya gol mudah ketika bermain di tempat lawan.”
“Saya mahu Emery menurunkan penjaga gol baru beliau [Bernd Leno], memperbaiki bahagian pertahanan, letakkan dua pemain tengah yang mampu melindungi pertahanan, dan mencatatkan clean sheet.”
“Saya terdesak untuk melihat perkara-perkara ini berlaku. Tetapi saya tidak dapat melihatnya. Saya rasa Emery melakukan banyak kesilapan ketika memilih kesebelasan utama Arsenal.”
“3 pemain terbaik Arsenal adalah pemain simpanan yang masuk [Alexandre Lacazette, Stephan Lichtsteiner and Lucas Torreira]. Saya tidak tahu mengapa beliau tidak memasukkan pemain-pemain ini.”
Keadaan tidak menjadi lebih mudah buat Arsenal apabila mereka bakal melalui satu lagi perlawanan sukar menentang Chelsea hujung minggu ini, dan kali ini di tempat lawan. Adams berkata beliau tidak dapat melihat sebarang perkara positif yang mampu Emery lakukan untuk membawa Arsenal kembali menjadi pencabar utama liga.
“Saya tidak dapat lihat ia akan berlaku. Saya tidak tahu apa yang berlaku di Arsenal sepanjang 6 minggu lepas.”
“Emery kerap menukar pemain-pemain beliau dan memberikan kesemua pemain peluang bermain. Arsenal berjaya mencatatkan keputusan yang baik tetapi itu hanya pra-musim.”
“Anda anda 6 minggu untuk pra-musim, go on, get on with it!”
“Semua peminat Arsenal di sini mahu Emery membawa kelab ini kembali menjadi pencabar utama liga tetapi buat masa sekarang, Arsenal masih lagi jauh untuk mencapai sasaran itu.”