Man City Sailang Pemain Sasaran Utama Man Utd

Manchester City dilihat bakal sailang pemain sasaran seteru utama mereka Manchester United pada jendela perpindahan Januari ini.

Mereka bahkan dilaporkan sudah mendapatkan persetujuan dari pemain tersebut, dan urusan perpindahan boleh dilengkapkan dalam tempoh terdekat ini.

Man City pada ketika ini sedang selesa mendahului carta saingan Premier League, dengan mereka kini 11 mata mengatasi Liverpool yang sedang berada di kedudukan kedua.

Berita baik untuk skuad kendalian Pep Guardiola itu, mereka selepas ini akan kembali mendapatkan khidmat Riyad Mahrez, selepas beliau kini sudah kembali ke England.

Mahrez kembali ke England selepas skuad kebangsaan Algeria tersingkir dari saingan AFCON 2021, dan beliau sudah boleh melapor diri untuk bersama dengan kelab.

Beliau awalnya dijangka akan pulang lebih lewat kerana Algeria merupakan antara pasukan kegemaran untuk menjuarai saingan AFCON, namun sayangnya mereka sekadar mampu beraksi dalam saingan peringkat kumpulan sahaja.

Dengan The Citizens kini sudah berjaya menjaringkan 54 gol dalam saingan liga musim ini, ramai pihak yang memuji skuad kendalian Pep Guardiola itu kerana mampu menjaringkan gol yang banyak walau tanpa pemain penyerang utama.

City bahkan menunjukkan yang mereka tidak perlu menandatangani pemain penyerang utama pada ketika ini, kerana barisan pemain tengah dan sayap sudah mampu menutup kekurangan pemain di posisi nombor sembilan.

Walau bagaimanapun juga, Man City pada ketika ini sepertinya dilihat bakal menyailang pemain sasaran utama Man Utd, Julian Alvarez dari River Plate.

Wartawan Argentina, Veronica Brunati mendakwa yang urusan perpindahan Julian Alvarez menyertai Manchester City bakal dilengkapkan dalam masa terdekat ini dengan kesemua pihak sudah mencapai kata sepakat.

Bulan lalu, terdapat laporan hangat dari media UK yang mendakwa bahawa skuad kendalian Ralf Rangnick itu sedang mempertimbangkan untuk menandatangani bintang berusia 21 tahun itu pada awal Januari ini.

Man Utd mahu segera mendapatkan khidmat beliau kerana mereka mahu membayar klausa perlepasan yang lebih rendah dan tidak mahu ada kelab lain yang cuba sailang.

Laporan terbaru pula menyatakan bahawa skuad kendalian Pep Guardiola bakal membayar £21 juta untuk pemain penyerang itu, dengan mereka turut menawarkan bonus tambahan.

Alvarez dianggap sebagai jelmaan semula Diego Maradona atas ketajaman dan kualiti penyudah yang beliau miliki.

Beliau walau bagaimanapun tidak akan segera di bawa ke Etihad dalam masa terdekat ini untuk membantu City terus mengukuhkan kedudukan di puncak saingan liga.

Beliau akan terus dipinjamkan kepada River Plate sehingga akhir musim nanti, dan beliau hanya akan di bawa ke Etihad bermula pada musim baharu nanti.

Namun begitu, ada juga laporan yang menyatakan bahawa Julian Alvarez berkemungkinan akan kekal di Argentina, atau mungkin beliau akan dipinjamkan ke pasukan lain terlebih dahulu bermula musim hadapan.

Kekal bersama River Plate sekarang bermaksud beliau akan turun beraksi memulakan saingan Copa Libertadores bersama kelab.

Dan seandainya itu berlaku, sudah tentu beliau akan meminta kelab mengizinkan beliau untuk terus kekal bersama kelab sehingga akhir tahun nanti, dalam usahanya mahu membantu River Plate memenangi pertandingan paling berprestij di bumi Amerika Selatan itu.

Alvarez melakukan debutnya bersama River Plate pada tahun 2018 yang lalu, dengan beliau berjaya menjaringkan 20 gol dari 35 penampilan dalam saingan liga sepanjang 2021.

Beliau mempunyai kualiti penyudah yang sungguh luar biasa menakjubkan dengan Alvarez boleh bermain di kesemua posisi di bahagian jentera serangan.

Manchester City sebelum ini telah melepaskan Sergio Aguero dan mereka juga turut menjual Ferran Torres kepada Barcelona.

Walau bagaimanapun, mereka masih belum menandatangani mana-mana pemain penyerang, dan mereka turut pernah dikaitkan dengan bakal menandatangani Harry Kane.

Mereka juga turut pernah dikaitkan dengan Erling Haaland dek kerana City masih belum ada pemain di posisi nombor sembilan, namun mereka tetap beraksi cemerlang dengan menggunakan pemain yang ada.

Walau bagaimanapun juga, kejayaan mereka mendapatkan Alvarez sepertinya tidak mengubah hasrat hati Man City untuk terus memburu Erling Haaland untuk ditandatangani.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemain Terbaik Pilihan Solskjaer Ketika Aksi Bertemu Tottenham Hotspur