Pengurus Paris Saint-Germain, Unai Emery berkata pasukannya berhak mendapat keputusan yang lebih bagus selepas melihat PSG tumpas di tangan Real Madrid 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi di Santiago Bernabeu.
Emery jelas tidak gembira dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan penalti kepada Los Blancos tetapi enggan memberikan PSG penalti selepas bola terkena tangan Sergio Ramos dalam kotak penalti.
Dalam perlawanan tersebut, PSG bermula baik dengan Adrien Rabiot menjaringkan gol pembukaan perlawanan selepas bola gagal dikeluarkan dengan baik dalam kotak penalti.
Ketika Real Madrid terdesak untuk mencari gol penyamaa, penalti menghadiahkan penalti kepada pasukan tuan rumah apabila pemain tengah, Toni Kross ditarik pemain PSG ketika sepakan penjuru. Pengadil tanpa ragu-ragu memberikan penalti kepada Real Madrid dan Cristiano Ronaldo berjaya menyempurnakan penalti tersebut.
Kontroversi berlaku pada awal separuh masa kedua selepas Sergio Ramos menampan bola dengan tangannya tetapi pengadil gagal menghadiahkan penalti kepada PSG. Kekecewaan PSG berterusan apabila Real Madrid berjaya menjaringkan 2 gol pada lewat perlawanan menerusi Ronaldo dan Marcelo.
Emery jelas tidak gembira dengan beberapa keputusan pengadil sepanjang perlawanan sambil mendakwa insiden bola terkena tangan Ramos harus diberikan penalti.
“Penalti Real Madrid sangat tidak jelas dan kami sepatutnya mendapat penalti apabila bola terkena tangan Ramos. Pengadil membuat keputusan yang merosakkan peluang kami untuk mara ke peringkat seterusnya.”
Walaubagaimanapun, pengurus Real Madrid Zinedine Zidane mempunyai pendapat yang berbeza dan berasa mereka berhak memenangi perlawanan tersebut.
“Kami patut berasa gembira dengan permainan kami. Kami terus berjuang sehingga saat akhir. Ini adalah keputusan yang wajar dan tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan.”
“Ia merupakan malam yang hebat dan kami berhak muncul pemenang. Semua perkara berlangsung dengan baik dengan setiap pemain memainkan peranan penting.”
“Kami gembira dengan apa yang telah dilakukan seluruh pasukan ketika berdepan pasukan hebat yang mampu membuatkan keadaan menjadi sukar. Kami sangat bangga dengan apa yang pasukan ini telah lakukan.”
PSG pastinya berharap nasib menyebelahi mereka pula apabila perlawanan timbal balik berlangsung di Paris pada 6 Mac nanti.