Unai Emery Yakin Rashford dan Asensio Mampu Kembali ke Prestasi Terbaik

Unai Emery percaya bahawa beliau boleh mengembalikan Marcus Rashford dan Marco Asensio ke tahap terbaik mereka di Aston Villa.

Kedua-dua pemain ini menyertai Villa secara pinjaman pada jendela perpindahan baru-baru ini dengan kos yang tinggi. Kelab itu menanggung sehingga 90% gaji Rashford, bergantung kepada bonus prestasi dengan bayaran mingguan melebihi £325,000. Sementara itu, Asensio juga menerima gaji yang besar dan Villa menanggung keseluruhan bayarannya.

Namun, sejak tiba di Villa kedua-duanya masih belum memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama tetapi telah memberikan impak positif sebagai pemain gantian. Emery yakin Rashford boleh mendapatkan semula rentaknya di posisi terbaiknya iaitu di bahagian kiri serangan. Dalam perlawanan menentang Ipswich Town yang berakhir dengan keputusan 1-1, Rashford dimasukkan pada separuh masa kedua menggantikan Jacob Ramsey.

Bercakap sebelum perlawanan Villa menentang Liverpool, Emery berkata Rashford dan Asensio semakin hampir untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama. Namun, beliau mengakui kedua-duanya tidak mempunyai output serangan seperti Mohamed Salah.

“Saya harap mereka boleh mencapai tahap terbaik mereka semula,” kata Emery.

“Memulihkan tahap terbaik mereka. Salah adalah pemain yang unik. Cabaran saya ialah mendapatkan yang terbaik daripada mereka. Setiap pemain ada kelebihan tersendiri.”

“Salah adalah pemain yang kerap menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan lebih daripada sesiapa, manakala pemain yang kami ada mempunyai kualiti berbeza. Mereka bukan penjaring prolifik atau pembantu jaringan utama.”

“Mereka boleh menjaringkan gol dan membuat bantuan jaringan tetapi tahap seterusnya ialah pemain yang mampu mencatat angka berganda (10 atau lebih dalam kedua-dua aspek), yang merupakan tahap tertinggi di Liga Perdana Inggeris.”

“Salah bukan sahaja mencapai angka berganda tetapi lebih daripada 20 dan itu adalah tahap tertinggi dalam bola sepak.”

Asensio yang menyertai Villa dari Paris Saint-Germain telah dimasukkan sebagai pemain gantian selepas sejam permainan dalam 2 perlawanan setakat ini. Dia beraksi di posisi No. 10 sebelah kanan. Secara keseluruhan, Rashford dan Asensio telah menjaringkan 9 gol musim ini dan mencatat 7 bantuan. Emery yakin dia mampu membantu mereka mendapatkan semula prestasi terbaik seperti musim-musim sebelumnya.

Emery menambah: “Mereka sedang melalui proses individu untuk mencapai kecergasan optimum dan memahami idea taktikal kami.”

“Secara taktikal, kami sedang membuat sedikit perubahan dengan kehadiran mereka dan kami perlu mencubanya dalam latihan serta perlawanan.”

“Kami sudah melakukannya dalam 2 perlawanan dengan Asensio dan Rashford serta dengan (Axel) Disasi dalam perlawanan terakhir.”

“Kami bekerja setiap hari untuk mempercepatkan pemahaman mereka. Kami mengadakan beberapa pertemuan bagi menjelaskan corak permainan kepada mereka dan mereka semakin memahami serta semakin hampir untuk beraksi dalam kesebelasan utama.”

BACA:  Mourinho Kritik 4 Pemain Manchester United Kerana Tidak Cukup Matang