[VIDEO]: Maafkan Onana… Kerana Suka Bersedekah

Tatkala segalanya kelihatan mulai positif buat Andre Onana, penjaga gol itu sekali lagi melakukan dua kesilapan besar yang memberikan akibat kepada Manchester United dalam perlawanan menentang Galatasaray di saingan UEFA Champions League pada awal pagi tadi.

Skuad kendalian Erik ten Hag memulakan perlawanan dengan baik apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Alejandro Garnacho dan Bruno Fernandes.

Hakim Ziyech kemudiannya mengurangkan defisit jaringan melalui sepakan percuma dari sebelah kanan yang terbias sebelum menewaskan Onana.

Onana mungkin tidak bernasib baik membenarkan sepakan itu menerjah jaringannya. Pada masa yang sama kedudukan/positioning penjaga gol itu turut boleh dipersoalkan.

Scott McTominay bagaimanapun berjaya mengembalikan kelebihan dua gol United pada babak kedua perlawanan.

Tetapi Oanana sekali lagi bersedekah dengan melakukan kesilapan besar, apabila menumbuk sepakan percuma Ziyech ke dalam gawang sendiri walaupun sepatutnya boleh menangkap bola itu dengan mudah.

Jaringan hasil kesilapan Onana tersebut kemudiannya mulai memberikan momentum kepada Galatasaray untuk terus mengasak kubu United.

Dan selepas itu kejadian sama seperti di Copenhagan berulang apabila pemain gantian, Muhamed Kerem Akturkoglu menjaringkan gol penyamaan untuk pasukannya.

Akturkoglu turut menjaringkan gol ketika perlawanan di Old Trafford sebelum ini, dan kali ini pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan gol yang cantik untuk menewaskan Onana di near post.

Sebelum sepak mula perlawanan ini dianggap sebagai perlawanan wajib menang untuk United kerana pasukan itu berada di kedudukan terbawah Kumpulan A.

Terdapat kerisauan perlawanan ini tidak dapat diteruskan sebelum sepak mula selepas hujan lebat dan memaksa keadaan padang diperiksa sebelum perlawanan bermula.

Dan selepas keputusan seri mengecewakan ini, United harus menewaskan Bayern Munich di perlawanan terakhir di Old Trafford pada 12 Disember hadapan dan berharap keputusan perlawanan di antara Compenhagen dan Galatasaray memihak kepada mereka.

BACA:  Penyokong Man United Kena Scam, Bas Yang Ditahan Dan Dipancitkan Rupanya 'Decoy' Sahaja