Vieira: Wenger Berhak Tentukan Masa Depannya Bersama Arsenal

Bekas pemain Arsenal, Patrick Vieira percaya Arsene Wenger mempunyai hak untuk menentukan masa depan beliau bersama Arsenal walaupun berterusan menerima kritikan kerana prestasi buruk yang dipamerkan anak buahnya.

Kempen Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris musim ini tidak berjalan seperti yang diharapkan dan mereka sekadar menghuni tangga ke-6 ketika ini.

Gandingan yang pernah menggegar Liga Perdana Inggeris lebih sedekad yang lalu

Arsenal turut mengalami 4 kekalahan berturut-turut sebelum bangkit menewaskan AC Milan 2-0 dalam saingan Europa League minggu lalu.

Harapan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan melalui Liga Perdana Inggeris semakin tipis kerana mereka dipisahkan 13 mata dengan penghuni tangga ke-4 iaitu Tottenham Hotspurs.

Satu-satunya cara untuk Arsenal beraksi dalam kejohanan paling berprestij peringkat Eropah itu adalah dengan memenangi Europa League musim ini, seperti yang dilakukan Manchester United musim lalu.

Arsenal akan meneruskan kempen Liga Perdana Inggeris mereka dengan pertemuan menentang Watford di gelanggang sendiri malam ini.

Trofi EPL emas. Ko hado

Walaupun di atas kertas Arsenal mempunyai peluang yang cerah untuk mengakhiri rentetan kekalahan mereka, pemain-pemain Arsenal harus berjaga-jaga dan tidak terlalu selesa kerana mereka telah tumpas di tangan pasukan kerdil seperti Ostersund dan Brighton sebelum ini.

Vieira merupakan salah seorang pemain terbaik yang pernah dimiliki Arsene Wenger dan mengetuai pasukan ketika Arsenal mengharungi musim tanpa sebarang kekalahan pada musim 2003/2004.

Vieira kemudiannya dijual ke Juventus atas faktor kewangan dan sejak dari itu, mereka bergelut untuk mencari pengganti beliau di atas padang.

Walaupun telah lama meninggalkan Arsenal, Vieira masih bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas Wenger musim ini dan berpendapat beliau berhak membuat keputusan mengenai masa depannya selaku pengurus Arsenal.

“Saya rasa jika musim ini adalah pengakhiran kariernya bersama Arsenal, Wenger adalah orang pertama yang akan mengakui perkara tersebut.” Vieira dipetik berkata dalam satu temuramah bersama L’Equipe.

“Berdasarkan sumbangan beliau terhadap kelab dan trofi yang telah dimenanginya selaku pengurus Arsenal, Wenger lebih daripada berhak untuk membuat keputusan bila beliau mahu bersara.”

Sejurus meninggalkan Arsenal, Vieira berkelana ke beberapa buah kelab antaranya Juventus, Inter Milan dan Manchester City. Kini bekas pemain antarabangsa Perancis ini sedang membina kariernya selaku pengurus bolasepak di Amerika Syarikat bersama New York City FC.

Vieira memahami situasi sukar yang dihadapi Wenger ketika ini kerana beliau berkongsi perjalanan karier yang sama dengan bekas pengurusnya itu.

Vieira sedang membina kariernya di Major League Soccer bersama New York City FC

Vieira juga ingin meningatkan peminat untuk menghargai apa yang telah dilakukan Wenger untuk Arsenal, antaranya adalah menolak tawaran lumayan dari beberapa buah kelab untuk terus kekal menguruskan Arsenal kerana beliau sangat sayangkan kelab ini.

“Jika terdapat individu di luar sana yang sangat cintakan kelab dan mahu kelab ini berjaya, individu tersebut adalah Arsene Wenger.”

“Saya masih ingat lagi peristiwa dimana beliau berkali-kali menolak tawaran dari kelab besar di luar sana untuk terus kekal di Arsenal.”

“Saya tahu apa yang saya cakap kerana kelab yang sama juga telah menghubungi saya dan memberitahu sasaran utama mereka adalah untuk mendapatkan khidmat Arsene Wenger. Wenger menolak segala tawaran yang beliau terima dan hari ini, semua pihak seakan-akan sudah lupa mengenai perkara tersebut.”

BACA:  Pasukan Terburuk Eropah Kumpul Bekas Pemain Arsenal Untuk Selamatkan Musim Mereka