Walau Gagal Jaringkan Gol, Salah Cemerlang Memperbodoh-bodohkan Pertahanan Atletico Madrid

Mohamed Salah dan rakan sepasukannya sudah mengesahkan tempat untuk mara ke pusingan 16 terbaik saingan Champions League musim ini.

Mereka layak ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Atletico Madrid 2-0 di Anfield awal pagi tadi, dengan The Reds sah mara sebagai Juara kumpulan.

Liverpool sudah secara rasminya menjadi Juara kumpulan selepas kejayaan mereka mencatatkan empat kemenangan berturut-turut, termasuk dua kali bertemu Atletico Madrid.

Atletico Madrid pada awalnya dianggap lawan paling sukar untuk dihadapi oleh Liverpool, namun mereka berjaya menundukkan anak-anak buah Diego Simeone itu di Wanda Metropolitano dan juga di Anfield.

Diogo Jota dan Sadio Mane berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini pada aksi babak pertama permainan.

Perlawanan sepertinya sudah mulai perlahan selepas Atletico Madrid terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Felipe dilayangkan kad merah pada minit ke-36 permainan.

“Ketika saya lihat pasukan dalam kumpulan, saya tak rasa kami akan lalui empat perlawanan dengan kemenangan, tapi para pemain berjaya melakukannya dan mereka sangat berhak untuk itu.”

Jelas Klopp selepas tamat perlawanan kepada Sky Sports.

Perlawanan bertemu Atletico Madrid merupakan aksi pertama sejak kejayaan Liverpool menewaskan Burnley 2-0 pada Ogos lalu, yang mana Salah tidak menjaringkan sebarang gol atau mencatatkan assists.

Ia menunjukkan betapa tingginya tahap persembahan yang dipersembahkan oleh bintang Mesir itu pada ketika ini, dengan beliau akan terus menyumbang jaringan atau assists dari semua 11 perlawanan Liverpool sebelum ini.

Walaupun Salah gagal untuk menjaringkan gol atau mencatatkan assists dalam perlawanan ini, namun beliau sebenarnya telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan.

Beliau berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Atletico Madrid, dan turut beberapa kali berkesempatan untuk menjaringkan gol.

Salah mengaibkan barisan pertahanan Atletico

Salah jelas sekali berjaya menghibur para peminat dengan aksi hebat yang beliau persembahkan dalam perlawanan ini.

Telah tular satu video di media sosial, yang mana dalam video tersebut, Salah dilihat berjaya menghuru-harakan barisan pertahanan Atletico, dan turut mengaibkan mereka.

Video tersebut merupakan rangkuman aksi Salah dari minit ke-83 permainan, sehingga ke minit ke-85 yang mana beliau ketika itu mencuba untuk mengayam-ayamkan pemain Atletico.

Pemain berusia 29 tahun itu menunjukkan kemampuan beliau dalam menggelecek bola dengan Mario Hermoso merupakan mangsa yang paling teruk dikecewakan oleh Salah dalam perlawanan ini.

Kepantasan kaki Salah menyebabkan para pemain Atletico huru hara untuk mengawal beliau, apa lagi untuk mematahkan serangan yang beliau rencanakan.

Klopp mahu berjuang hingga ke perlawanan terakhir

Dengan kedudukan Liverpool sudah mara ke peringkat seterusnya, Klopp sudah tentu akan dimaafkan andai beliau menurunkan skuad muda atau tewas mudah kepada AC Milan dan Porto selepas ini.

Namun pengurus dari Jerman itu tidak mahu ambil mudah, dan menegaskan yang beliau akan tetap menurunkan skuad terbaiknya selepas ini.

“Kamu akan terima banyak duit jika kamu menang perlawanan dalam saingan Champions League.”

Tambah Klopp lagi.

“Bukan saya secara peribadi, tapi ia untuk kelab, dan ia sangat penting jadi kami akan lakukan.”

“Kita adalah Liverpool, apa boleh kita lakukan? Biarkan mereka bermain? Kemudian pergi ke Milan, saya tak pernah sampai ke sana dan kami akan sampai ke sana nanti.”

Jadi berkemungkinan besar Liverpool tidak akan menghantar skuad B sahaja untuk lengkap dua perlawanan akhir dalam peringkat kumpulan, dengan Klopp sendiri mahu memastikan anak-anak buah beliau lakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan.

Sumber: GMS

BACA:  Premier League 2020/21: Brighton & Hove Albion 1-1 Liverpool