Sikap Terpuji Firmino Terhadap Penyokong United Ini Sememangnya Layak Dipuji

Salah seorang penyokong Manchester United berjaya mendapatkan jersi Roberto Firmino selepas tamat aksi kekalahan memalukan pasukan kesayangannya di Old Trafford.

Suka dalam duka, itulah apa yang dilalui oleh seorang peminat yang bergembira kerana dapat miliki jersi Firmino, namun pada masa sama kecewa melihat United dibelasah 5-0 oleh seteru utama mereka.

Manchester United dibelasah tanpa belas oleh Liverpool selepas Naby Keita, Diogo Jota dan Mo Salah (3) masing-masing merobek gawang gol setan merah untuk bantu The Reds pulang membawa tiga mata berharga.

Aksi babak pertama sahaja sudah berakhir dengan United ketinggalan 4-0, dan ribuan penyokong mereka sudah mula meninggalkan stadium kerana tak sanggup melihat apa akan berlaku pada babak kedua permainan.

Kekalahan itu jelas mengecewakan para penyokong dan semua yang terlibat dengan Manchester United, tidak kira secara langsung mahupun tidak langsung.

Sir Alex Ferguson sendiri geleng kepada melihat bagaimana teruknya aksi para pemain United dan dungunya taktikal serta pendekatan yang digunakan oleh Solskjaer dalam perlawanan tersebut.

Walau ramai yang sedih dan meratap dengan keputusan itu, ada seorang penyokong Manchester United yang mungkin boleh mengukir senyuman selepas perlawanan tersebut.

Telah tular satu video yang memperlihatkan bagaimana salah seorang penyokong setan merah yang mengambil jersi Roberto Firmino selepas tamat perlawanan.

Firmino ketika itu sudah masuk ke dalam terowong untuk kembali ke bilik persalinan, namun beliau memutuskan untuk patah balik dan menyerahkan jersinya kepada penyokong United yang bertuah itu.

Penyokong tersebut juga menunjukkan reaksi muka bersalah ketika beliau memegang jersi Firmino sambil matanya memandang sekeliling, mungkin bimbang akan dikecam.

Video tersebut tular di media sosial, dengan ramai yang mempertikaikan bagaimana boleh penyokong Manchester United mendapatkan jersi pemain Liverpool, selepas melihat bagaimana sengitnya perseteruan mereka.

Peminat itu mungkin sahaja bukan penyokong Manchester United, namun melihat kepada komen-komen netizen, beliau sememangnya berdarah setan merah.

Beliau mungkin ada alasan sendiri mengapa meminta jersi Firmino, mungkin beliau mahu jual untuk dapat keuntungan, siapa tahu kan?

Jersi itu akan jadi salah satu barang sejarah dek kerana ia dipakai oleh pemain Liverpool ketika membelasah Manchester United 5-0 di Old Trafford, dan ia juga antara kekalahan terburuk setan merah.

Firmino tidak berjaya untuk menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut, namun beliau tetap mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan.

Gandingan beliau bersama Salah dan Jota berjaya mengkucar-kacirkan barisan pertahanan United, dan membuatkan Maguire dan Shaw menjadi tisu basah di atas padang.

Salah berjaya mencipta sejarah baru selepas menjadi pemain pertama yang berjaya mencatatkan hat-trick di Old Trafford dalam saingan Premier League.

Beliau juga turut berjaya memecahkan beberapa rekod lain dalam perlawanan tersebut seperti memecahkan rekod pemain Afrika paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah saingan Premier League.

Jurgen Klopp walau bagaimanapun telah memberikan pujian yang menggunung kepada Roberto Firmino atas aksi dan persembahan beliau dalam perlawanan ini.

“Mo (Salah) dapat perhatian dan dia memang berhak, tapi Firmino juga sungguh luar biasa.”

Jelas Klopp ketika temu bual selepas tamat perlawanan.

“Untuk orang yang ada ilmu bola sepak, orang akan tulis satu buku tentang bagaimana dia memainkan peranan false 9 dengan sempurna.”

“Kita tak kata dia mencetuskan peranan itu, tapi kadang kala, ia memang kelihatan seperti itu.”

Penyokong United yang menerima jersi Firmino itu mungkin dikutuk dan dikeji kerana mengkhianati pasukannya, namun tidak untuk Firmino.

Beliau selayaknya dipuji kerana sanggup patah balik, dan menyerahkan jersinya kepada penyokong Manchester United yang ketika itu sedang berduka.

Ia merupakan sikap terpuji dari bintang Liverpool dan Brazil itu dalam menaikkan semangat penyokong agar tidak terlalu sedih dengan keputusan perlawanan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Kehadiran Bintang Atletico Menyokong Liverpool Ketika Aksi Bertemu Chelsea Buat Penyokong Tak Keruan