Wenger Percaya Kemenangan Ke Atas Milan Mampu Naikkan Semangat Anak Buahnya

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger percaya kemenangan yang berjaya dicatatkan anak buahnya ke atas AC Milan awal pagi tadi telah menaikkan kembali semangat pasukan.

Dalam perlawanan Europa League awal pagi tadi, Arsenal berjaya mencatatkan kemenangan yang tidak dijangka ke atas AC Milan dengan jaringan 2-0.

Haters dimana-mana

Gol Arsenal dijaringkan oleh Henrikh Mkhitaryan dan Aaron Ramsey pada separuh masa pertama. Mesut Ozil turut bermain cemerlang dengan mencatatkan 2 assists dalam perlawanan tersebut.

Arsenal turun menentang Milan dengan harapan untuk mengakhiri rentetan 4 kekalahan berturut-turut yang dialami mereka sebelum ini. Dengan kemenangan tersebut, Arsenal berjaya membawa bekal yang selesa untuk dibawa balik ke Emirates dalam perlawanan timbal balik yang bakal berlangsung minggu hadapan.

Harapan Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan bergantung sepenuhnya sama ada  mereka mampu memenangi Europa League musim ini atau tidak. Arsenal kini menghuni tangga ke-6 dalam Liga Perdana Inggeris dan 13 mata memisahkan mereka dengan penghuni tangga ke-4, Tottenham Hotspurs.

AC Milan < Brighton

Dengan kelayakan melalui liga dilihat mustahil untuk dicapai Arsenal musim ini, mereka harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Europa League bagi memastikan mereka dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara musim hadapan.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Wenger berharap keputusan yang berjaya dicapai pasukannya awal pagi tadi mampu membuang segala perkara negatif yang menyelubungi pasukan.

“Kami sangat memerlukan kemenangan ini. Pada satu tahap, kami perlu bangkit dari rentetan kekalahan kami sebelum ini dan menampilkan persembahan yang bagus. Dan itulah perkara yang kami lakukan dalam perlawanan tadi.”

“Kami berjaya mencatatkan kemenangan tetapi belum lagi layak ke pusingan seterusnya. Keputusan ini akan meningkatkan keyakinan seluruh pasukan. Apabila anda tewas 3 kali dalam masa 6 hari, ia merupakan perkara yang sangat sukar.”

“Kami mahu mengekalkan tahap fokus pasukan dan memastikan Arsenal layak ke pusingan seterusnya minggu hadapan. Itu sasaran utama pasukan ketika ini.”

Pengurus kelahiran Perancis ini mengakui anak buahnya sangat terkesan dengan kekalahan kepada Manchester City dalam final Piala Carabao 2 minggu yang lalu. City sekali lagi menewaskan Arsenal di Emirates dalam Liga Perdana Inggeris beberapa hari kemudian dengan jaringan 3-0.

Minggu depan kami akan tamatkan riwayat Gattuso

Wenger turut percaya pemain Arsenal berusaha sangat keras untuk kembali mencatat kemenangan.

“Pemain saya mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengubah situasi sukar yang dihadapi pasukan ketika ini. Kami mahu membuktikan kepada peminat yang kami mahu kembali mencatat kemenangan. Pasukan ini mempunyai kekuatan mental dan kualiti yang cukup untuk bangkit.”

“Kami berjaya layak ke final Piala Carabao sebelum ini. Pihak luar mungkin sudah lupa untuk layak ke perlawanan final di England, anda perlu mempunyai kekuatan mental dan kualiti.”

“Kami kalah kepada pasukan yang sedang mendominasi bolasepak England ketika ini. Kami menerima kekalahan tersebut tetapi itu tidak bermakna pasukan Arsenal ini tidak mempunyai semangat. Kami akan menunjukkan perkara tersebut sehingga tamat musim ini.”

BACA:  Mertesacker Dikecam Kerana Tidak Menghormati Arsenal