Higuain Beritahu Sebab Mengapa Pilih AC Milan Berbanding Chelsea

Pemain antarabangsa Argentina, Gonzalo Higuain mendakwa hanya Maurizio Sarri sahaja yang bersungguh untuk membawa beliau ke England, tetapi pihak pengurusan Chelsea tidak berapa bersetuju mengenai idea tersebut.

Disebabkan perkara tersebut, Higuain mengambil keputusan untuk menyertai AC Milan secara pinjaman selama semusim. Perpindahan tersebut telah disahkan kelmarin dan Higuain dijangka memikul tanggungjawab untuk mengemudi jentera serangan Milan musim ini.

Higuain bukan satu-satunya pemain yang berpindah dari Juventus ke Milan. Pemain muda Itali, Mattia Caldara menyertai Higuain berpindah ke San Siro dalam perjanjian pertukaran pemain yang menyaksikan Leonardo Bonucci pulang ke pangkuan Juventus selepas semusim bersama Milan.

Kurangnya minat dari pihak atasan Chelsea menyebabkan Higuain tawar hati untuk berpindah ke Stamford Bridge

Pertukaran pemain ini tidak melibatkan sebarang duit kerana kedua-dua pemain dinilai pada harga yang sama, iaitu sekitar £31 juta.

Menurut laporan daripada beberapa media outlet Itali, Chelsea melakukan perbincangan dengan Juventus berkenaan Higuain, tetapi minat mereka lebih terarah kepada pemain pertahanan Itali, Daniele Rugani yang menjadi sasaran utama Sarri untuk memperkuatkan bahagian pertahanan The Blues.

Melihat perkara tersebut, Higuain beranggapan Chelsea tidak bersungguh untuk mendapatkan khidmatnya dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Milan, walaupun secara pinjaman. Higuain terpaksa membawa diri kerana tempat beliau dalam kesebelasan utama Juventus kini diisi oleh Cristiano Ronaldo yang baru sahaja menyertai kelab tersebut.

AC Milan menjadi pilihan Higuain kerana kelab tersebut mempunyai ciri-ciri idaman setiap pemain. Cliche

Higuain juga percaya hanya Sarri sahaja yang berminat untuk membawa beliau ke Liga Perdana Inggeris.

“Secara jujurnya, saya amat menghormati Maurizio Sarri tetapi hanya beliau seorang sahaja yang benar-benar berminat untuk mendapatkan khidmat saya.”

“Tetapi di AC Milan, semua pihak mahukan saya. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk datang ke sini.”

“Saya telah bermain di Eropah selama 12 tahun dan AC Milan merupakan kelab yang paling memukau bagi saya. Kelab ini mempunyai segalanya yang pemain mahukan. Sejarah dan bola sepak yang ‘pure’. Ia menaikkan bulu roma anda kerana semua ini adalah istimewa.”

Leonardo Bonucci keluar dari Juventus musim lepas dan dilantik menjadi kapten Milan. Meraikan jaringannya ketika menentang Juventus musim lepas. 2018 – Kembali bersama Juventus. Pure snake

Higuain menyertai Juventus dari Napoli pada musim panas 2016 dengan nilai rekod kelab pada ketika itu tetapi tempat beliau dalam pasukan utama berada dalam ancaman berikutan ketibaan Cristiano Ronaldo.

Sebelum ketibaan Ronaldo, Higuain memegang rekod perpindahan tertinggi Itali pada harga £75.3 juta.

Higuain merupakan penyerang yang prolifik sepanjang kariernya. Beliau berjaya menjaringkan 122 gol dari 264 perlawanan untuk Real Madrid, manakala ketika bersama Napoli, beliau menjaringkan 92 gol dari 147 penampilan bersama kelab Naples tersebut.

BACA:  Thomas Tuchel Mahu Azpilicueta Kekal Bersama Chelsea