Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengesahkan perpindahan Alexis Sanchez ke Manchester United hampir pasti akan berlaku dalam masa 24 jam, dengan Henrikh Mkhitaryan bakal berpindah ke Arsenal sebagai pertukaran.
Wenger turut meredakan keresahan mengenai permintaan gaji yang diminta Mkhitaryan dan berkata isu tersebut tidak menjadi masalah buat Arsenal.
Pengurus berasal dari Perancis ini melihat Mkhitaryan sebagai pengganti paling sesuai untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Sanchez dalam pasukan Arsenal.
“Saya telah terlibat dalam urusan perpindahan pemain selama 30 tahun dan perpindahan ini hampir pasti akan berlaku. Kecuali berlaku sesuatu yang diluar jangkaan.”
“Ini adalah lumrah pasaran perpindahan pemain, asalkan ia tidak keterlaluan. Kami juga harus belajar untuk menerima kenyataan andainya perpindahan ini gagal berlaku. Banyak perkara boleh berlaku dalam perpindahan besar sebegini .”
Apabila ditanya lagi adakah Mkhitaryan terlibat dalam perjanjian United untuk mendapatkan Sanchez, Wenger mengesahkan pemain antarabangsa Armenia ini bakal menyertai Arsenal sebagai pertukaran.
“Mengikut pemahaman saya, ya. Masalah gaji beliau yang tinggi tidak menjadi masalah. Sudah tentu saya meminati Mkhitaryan. Perpindahan ini berlaku kerana saya meminati pemain terbabit.”
“Kami kerap kali bertemu Dortmund sebelum ini ketika Mkhitaryan masih bermain dengan kelab tersebut. Beliau menghargai kualiti bolasepak pasukan kami dan corak permainan kami, jadi sebab itulah beliau meminati Arsenal.”
“Perjanjian ini adalah perjanjian pertukaran dan saya berpendapat Mkhitaryan adalah pengganti sesuai untuk Sanchez. Adakah kami akan terus aktif dalam pasaran perpindahan pemain selepas ini ? Ya.”
Dalam perkembangan lain pula, Wenger mengesahkan Mesut Ozil akan terus kekal bersama Arsenal sehingga hujung musim ini dan tidak akan berpindah bulan ini.
Sama seperti Sanchez, kontrak Ozil juga akan tamat pada penghujung musim nanti dan beliau sudah boleh melakukan perbincangan dengan kelab luar dari England yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya secara percuma musim panas nanti.
Apabila ditanya adakah Ozil akan berada di Arsenal pada bulan Februari ini, Wenger dipetik berkata:
“Ya, sudah tentu. Beliau tidak akan berpindah bulan ini.”