Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger menolak sebarang kemungkinan untuk mengambil alih jawatan pengurus pasukan dalam Liga Perdana Inggeris kerana ‘tidak bersedia’ untuk berdepan dengan Arsenal.
Wenger dilantik menjadi pengurus Arsenal pada tahun 1996 dan dianggap sebagai pengurus terbaik dalam sejarah kelab tersebut. Beliau mengemudi Arsenal selama 22 tahun dan berjaya memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris disamping 7 trofi Piala FA.
Apabila ditanya sama ada beliau akan terus menjadi pengurus bolasepak, Wenger berkata beliau tidak akan menerima tawaran daripada pasukan England yang lain kerana perasaan sayangnya terhadap Arsenal.
Selepas membantu Arsenal mengakhiri musim ini dengan kemenangan 1-0 ke atas Huddersfield, Wenger memberi bayangan peranan yang akan beliau ambil selepas ini tidak akan berkait dengan bolasepak England.
Wenger turut mengesahkan beliau ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga Perdana Inggeris tetapi beliau tidak sanggup untuk bertemu Arsenal sebagai pengurus pasukan lawan.
“Buat masa sekarang, saya tidak bersedia untuk menghadapi Arsenal sebagai pengurus pasukan lawan. Ia merupakan sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Saya tidak fikir ia akan berlaku.”
“Sudah tentu saya ada menerima beberapa tawaran tetapi saya belum bercakap dengan sesiapa. Sebenarnya saya menerima banyak tawaran.”
“Apabila anda baru sahaja berhenti dari satu kerja yang anda lakukan buat sekian lama, anda tidak boleh terus bekerja di tempat lain keesokan harinya. Mustahil untuk melakukan perkara tersebut.”
Wenger menamatkan karier penuh gemilangnya bersama Arsenal dengan menentang Huddersfield. Huddersfield merupakan kelab pengurus legenda Arsenal, Herbert Chapman uruskan sebelum mengambil alih jawatan pengurus di Arsenal pada tahun 1930. Wenger berkata perlawanan menentang Huddersfield merupakan penutup terbaik kepada kariernya.
“Herbert Chapman datang dari Huddersfield dan beliau adalah pengurus terbaik sepanjang zaman Arsenal. Bagi saya, untuk datang ke sini pada hari terakhir adalah sesuatu yang istimewa sekiranya anda mengetahui sejarah Arsenal.”
“Ada satu gambar dalam bilik persalinan, dimana Chapman tersenyum melihat saya kerana beliau berada dalam gambar tersebut.”
Wenger turut menzahirkan keyakinannya mengenai skuad Arsenal yang sedia ada hari ini mampu meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.
“Apabila anda mengkaji kembali musim yang diharungi Arsenal, anda dapat rasa ada sesuatu dalam skuad ini yang menunggu untuk keluar. Kami sangat hampir untuk meraih kejayaan musim ini.”
“Kami berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Carabao, mara ke separuh akhir Europa League yang mana kami sepatutnya menang, dan rekod kami cukup baik apabila beraksi di Emirates. Masalah utama pasukan ini adalah perlawanan di tempat lawan dan saya yakin Arsenal memperbaiki perkara tersebut.”