Xavi Buat Tiga Permintaan Sebelum Diumumkan Sebagai Pengurus Barcelona

Barcelona akan mengumumkan Xavi sebagai pengurus baharu kelab dalam tempoh beberapa jam lagi, selepas mereka berjaya memujuk Al-Sadd untuk melepaskan legenda kelab itu.

Menurut laporan terbaru dari pelbagai sumber, Al-Sadd sudah merestui pemergian Xavi untuk kembali ke Barcelona, dengan bekas bintang Sepanyol itu kini sedang dalam perjalanan untuk ke Nou Camp.

Barcelona sebenarnya sudah lama cuba berunding dengan kelab dari Qatar itu untuk mendapatkan khidmat legenda terhebat sepanjang zaman mereka.

Ketika pihak kelab bercadang untuk memecat Ronald Koeman, nama Xavi sudah mula dikaitkan sebagai calon pengganti.

Dan sebaik saja pengurus dari Belanda itu dipecat, ramai yang percaya Xavi jelas bakal jadi pengganti yang akan menggalas tugas sebagai pengurus Barcelona.

Walau bagaimanapun, Al-Sadd pada awalnya tidak mahu melepaskan Xavi kerana mereka juga memerlukan khidmat pengurus dari Sepanyol itu.

Barcelona kemudiannya berusaha dengan gigih untuk memujuk gergasi Qatar itu agar membenarkan Xavi untuk pergi dan kembali ke pangkuan mereka.

Selepas beberapa minggu berusaha melakukan rundingan dengan Al-Sadd, Barcelona akhirnya berjaya menamatkan rundingan dan mencapai kata sepakat untuk mereka mendapatkan Xavi.

Menurut laporan dari Radio Cat, Barcelona sebenarnya sudah melakukan rundingan dengan Xavi terlebih dahulu sebelum mereka memulakan perbincangan dengan Al-Sadd.

Dek kerana Xavi sendiri sudah bersetuju untuk menerima tawaran itu, maka beliau sudah mula merancang lebih awal tentang apa yang mahu dilakukan sebaik dilantik sebagai pengurus Barca nanti.

Laporan sama turut menyatakan yang legenda terhebat sepanjang zaman Barca itu sudah menyatakan tiga permintaan beliau kepada Joan Laporta, sebagai langkah persediaan awal untuk beliau memulakan tugasnya nanti.

Satu hal yang menarik, kesemua permintaan Xavi kepada pihak kelab selain dari rancangan asal beliau sendiri, ia sebenarnya langkah yang sangat bijak untuk memajukan kelab.

Melihat kepada permintaan beliau itu, ia jelas membuktikan yang Xavi sememangnya mempunyai perancangan hebat untuk membantu Barca kembali menjadi pasukan paling digeruni.

Senarai di bawah merupakan senarai tiga permintaan yang diminta oleh Xavi kepada Barcelona sebelum beliau diumumkan secara rasmi sebagai pengurus kelab.

1. Xavi mahu kekalkan barisan kejurulatihan yang beliau ada

Legenda kelab itu meminta kepada Barcelona agar membenarkan beliau untuk mengekalkan barisan kejurulatihan yang beliau ada sekarang, untuk di bawa ke Nou Camp.

Nama seperti Oscar Hernandez dan Sergio Alegre disebut oleh Xavi sebagai pembantu jurulatih yang paling beliau percaya dan mahu dibawa bersama menyertai Barca.

Beliau juga turut mahukan David Prats, Toni Lobo dan Sergio Garcia untuk membantu beliau dalam kerja-kerja scouting di Nou Camp.

Satu keputusan bijak dari Xavi yang memutuskan untuk membawa kesemua individu yang paling beliau percaya untuk terus kekal bekerjasama dengannya.

Satu hal yang pasti, kesemua individu tersebut jelas lebih tahu apa yang perlu mereka lakukan dan apa yang Xavi mahu dari mereka.

2. Medical team perlu dirombak sepenuhnya

Perkara pertama yang Xavi mahu ubah di Nou Camp pada ketika ini adalah Xavi mahu medical team kelab dirombak sepenuhnya kerana beliau tidak mempercayai mereka.

Xavi merasakan mereka tidak melaksanakan tugas masing-masing dengan sempurna dan beliau turut kecewa melihat situasi kecederaan di Barca sekarang.

Terlalu ramai pemain yang cedera, mudah tercedera, mengambil masa terlalu lama untuk sembuh dan banyak lagi kelemahan lain yang mahu beliau ubah dalam usahanya untuk mengawal masalah kecederaan pemain.

Barcelona terlalu banyak membela pemain yang menghabiskan sisa kehidupan mereka dibilik rawatan dengan menerima gaji yang tinggi, Dembele misalnya.

Dek kerana melihatkan semua itulah Xavi memutuskan ia patut diubah dan beliau tidak mahu isu kecederaan pemain mengganggu perjalanan kelab selepas ini.

Xavi juga mahu pihak kelab memanggil semula Dr Ricard Pruna yang sebelum ini pernah berkhidmat untuk kelab, kembali berkhidmat.

3. Xavi mahu pemain sayap pada Januari ini

Ketika nama Xavi disebut-sebut sebagai calon pengurus Barca sebelum ini, terdapat banyak nama yang dikaitkan bakal ditandatangani oleh beliau.

Namun kini, Xavi hanya meminta pihak kelab untuk dapatkan seorang pemain sayap sahaja dahulu untuk beliau pada jendela perpindahan Januari nanti.

Ramai yang menganggap Barca sebenarnya lebih memerlukan pemain di posisi pertahanan, namun Xavi tegaskan yang beliau lebih memerlukan pemain sayap yang boleh digunakan sebagai pemain tetap.

Mungkin pemain yang ada tidak boleh menjayakan taktikal beliau dan kerana itulah Xavi meminta Barca untuk dapatkan pemain sayap untuk beliau gunakan.

Barcelona seperti semua sedia maklum, mereka sememangnya sedang bergelut dengan masalah kewangan yang teruk, namun mereka dilaporkan bersedia mengeluarkan dana bernilai €20 juta untuk mendapatkan pemain yang Xavi mahukan.

Antara nama yang disebut-sebut bakal ditandatangani oleh Barcelona pada ketika ini adalah Raheem Sterling, dengan Xavi sendiri turut sangat mengagumi bintang England itu.

Xavi jelas sekali sudah merencana segala yang perlu beliau lakukan untuk membantu Barcelona kembali menjadi pasukan yang digeruni lawan.

Melihat kepada permintaan beliau, jelas sekali menunjukkan yang Xavi sememangnya mahu melakukan perubahan besar di Nou Camp.

Sumber: Deadline Day

BACA:  El Clasico: 5 Bintang Yang Pernah Bermain Untuk Real Madrid dan Barcelona