Zaha Tahu Bagaimana Untuk Menewaskan Manchester City

Pemain sayap lincah Crystal Palace, Wilfried Zaha mendedahkan cara bagaimana pasukannya boleh menewaskan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam ini.

Pada bulan Disember tahun lepas, Crystal Palace mencipta kejutan apabila menumpaskan Manchester City di Etihad Stadium dan beliau berazam untuk mengulangi pencapaian tersebut apabila The Citizens bertandang ke Selhurst Park malam nanti.

Jika Smalling tahu bagaimana untuk merantai pergerakan Messi, Zaha pula tahu bagaimana untuk menewaskan City. Power2

Kemenangan  Palace ke atas City dianggap antara kejutan paling besar berlaku musim ini memandangkan anak buah Pep Guardiola jarang melepaskan mata di gelanggang sendiri.

Sehingga ke saat ini, ia menjadi satu-satunya kekalahan Manchester City di tempat sendiri dan mencacatkan rekod cemerlang mereka di Etihad Stadium.

Dengan persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris memasuki fasa terakhir, sedikit kesilapan mampu mengakibatkan trofi tersebut terlepas dan Zaha sedar pasukannya mampu memberi pertolongan kepada Liverpool sekiranya Palace mampu menewaskan City malam ini.

Liverpool kini berada di tangga teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 2 mata ke atas The Citizens, tetapi mereka bermain lebih satu perlawanan dari City.

Liverpool juga berdepan tugasan sukar di halaman sendiri malam ini apabila melayan kunjungan pasukan yang bersaing untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah, iaitu Chelsea.

Palace mencipta kejutan apabila menumpaskan City 3-2 di Etihad tahun lalu

Penyokong Liverpool sudah tentu gusar dengan ancaman yang dibawa Chelsea memandangkan mereka mempunyai memori buruk ketika The Blues bertandang ke Anfield beberapa tahun yang lalu.

Insiden Steven Gerrard terjatuh lalu melepaskan bola kepada Demba Ba masih lagi segar dalam memori setiap penyokong The Kop sehingga ke hari ini. Ia merupakan perlawanan yang menjadi titik tolak kejatuhan Liverpool sehingga melepaskan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City walaupun pada suatu ketika selesa mendahului.

Namun begitu, andai kata Chelsea berjaya mencuri mata dari Liverpool malam ini, mereka mungkin boleh menarik nafas lega sekiranya Crystal Palace mampu mengulangi pencapaian mereka menumpaskan Manchester City.

Zaha yang pernah mewakili Manchester United suatu ketika dahulu, yakin Palace mampu mencuri 3 mata penuh dari Manchester City malam ini.

“Ia bakal menjadi satu perlawanan yang bagus. Sudah tentu Manchester City mahu membalas dendam selepas kami menewaskan mereka dahulu. Saya bersedia untuk bermain malam ini, sama seperti perlawanan-perlawanan lain sebelum  ini.”

Adakah pisang akan berbuah dua kali malam nanti ?

“Anda tidak boleh memberikan ruang kepada City untuk bermain permainan mereka. Kami akan bermain dengan penuh bertenaga dan cuba untuk melemaskan mereka. Selepas itu kami akan cuba sebaik mungkin untuk merobek gawang mereka.”

“Apabila menentang mana-mana pasukan hebat, anda perlu menggunakan sebaik mungkin peluang yang ada. Saya rasa dalam perlawanan menentang City sebelum ini, kami menggunakan setiap peluang dengan baik dan ia memeranjatkan mereka.”

BACA:  PGMOL Dibidas Kerana Pilih Pengadil Anak Jati Manchester Kendali Perlawanan Man City-Liverpool