Guardiola: Iniesta Tidak Akan Sertai City, Nafi Dakwaan Stones Mahu Berpindah Keluar

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola telah menempelak pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai pelan perpindahan Manchester City musim panas ini, dan turut mengumumkan Andres Iniesta telah bersetuju untuk berpindah ke China.

Bekas pengurus Barcelona itu berkata Manchester City tidak mempunyai sebarang peluang untuk mendapatkan khidmat Iniesta musim hadapan kerana pemain tersebut sudah mempunyai perancangan lain.

Iniesta sudah buat keputusan dan Manchester City bukan kelab yang mahu disertainya

Dalam perkembangan terbaru, Iniesta telah mengumumkan musim ini bakal menjadi musim terakhirnya di Nou Camp selepas 22 tahun berkhidmat bersama kelab tersebut.

Terdapat laporan dari England mendakwa Guardiola berminat untuk membawa masuk Iniesta ke Manchester City, tetapi perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh tuan punya badan sebagai satu ‘penipuan’ yang sengaja direka.

Selain dikaitkan dengan Iniesta, laporan tersebut juga mendakwa pemain pertahanan Englang, John Stone bersedia untuk meninggalkan The Citizens musim panas ini kerana sering memanaskan bangku simpanan kebelakangan ini.

Ketika bercakap kepada sidang media menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham hujung minggu ini, Guardiola telah ditanya adakah beliau mempunyai perancangan untuk membawa masuk Iniesta sebagai pemain atau jurulatih ke Etihad Stadium.

Antara pemain kesayangan Pep di Barcelona dahulu

“Terdapat banyak berita palsu berkenaan pelan perpindahan Manchester City. Saya tidak memberikan komen mengenai berita palsu. Iniesta berhak membuat keputusan mengenai masa depannya dan beliau telah membuat keputusan untuk pergi ke China dan bermain di sana.”

“Beliau akan mengakhiri karier bolasepaknya di sana. Selepas itu, beliau perlu kembali ke Barcelona untuk berkhidmat dengan generasi seterusnya, untuk menjadikan kelab tersebut kekal di tahap sekarang.”

“Beliau telah membuat keputusan untuk bermain di China. Apabila Iniesta membuat keputusan untuk tidak lagi bermain dengan Barcelona, sudah tentu ianya bukan disebabkan oleh Manchester City.”

“Iniesta membuat keputusan tersebut kerana beliau telah memasuki tahun-tahun terakhir kariernya dan beliau mahu bermain di tempat lain atas sebab-sebab tertentu.”

“Tetapi jika beliau mahu terus bermain di tahap tertinggi, beliau akan kekal di Barcelona. Manchester City tidak mampu tawarkan apa yang beliau miliki di Barcelona. Iniesta mengambil keputusan tersebut bukan atas faktor bolasepak.”

Dalam perkembangan lain, masa depan bekas pemain Everton, John Stones menjadi tanda tanya selepas pemain tersebut kehilangan tempat dalam kesebelasan utama bagi separuh masa kedua musim ini.

Selagi nyawa dikandung badan, Stones kekal di Etihad.

Terdapat spekulasi mengatakan Guardiola bersedia untuk melepaskan Stones sebelum bermulanya musim hadapan, tetapi dakwaan itu telah disangkal oleh Guardiola sendiri.

“Itu satu lagi berita palsu. Saya tidak akan memberikan komen mengenai berita palsu jika ianya berkait dengan perpindahan pemain. Saya tidak tahu bagaimana orang boleh percaya kami mahu menjual John Stones.”

“Beliau masih muda dan juga pemain antarabangsa England. Beliau merupakan salah satu faktor utama kami berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini. Untuk 6 bulan yang pertama, beliau merupakan pemain yang sangat hebat untuk City, tetapi selepas bersama pasukan kebangsaan, dua kali beliau pulang dengan mengalami kecederaan.”

“Tetapi John tidak akan berpindah. Saya tidak tahu berapa lama saya akan kekal di Manchester, tetapi selagi saya berada di sini, John akan kekal menjadi pemain Manchester City.”

BACA:  VIDEO: Gol Roket Enciso Lawan Man City Terbangkan Brighton Ke Eropah