Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan semua pemain ternama dunia mahu bermain untuk Real Madrid selepas dikaitkan dengan perpindahan rekod dunia bagi membawa masuk bintang Paris Saint-Germain, Neymar ke Santiago Bernabeu.
Los Blancos dilaporkan bersedia untuk membawa pulang Neymar ke La Liga selepas pemain antarabangsa Brazil tersebut meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG Ogos tahun lalu dalam perjanjian rekod dunia bernilai hampir €222 juta.
Walaupun media sering mengaitkan Real Madrid dengan Neymar, Zidane enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut tetapi berkata semua pemain ternama dunia mempunyai keinginan untuk bermain dengan Real Madrid.
Dalam satu temubual Jumaat lalu, Zidane membayangkan Neymar dan Cristiano Ronaldo mampu bekerjasama dengan baik seandainya Neymar menyertai Real Madrid dalam masa terdekat ini.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi menegaskan berkali-kali Neymar bukan pemain untuk dijual dan pemain tersebut juga memberi bayangan akan kekal di Ligue 1 musim hadapan selepas memperagakan jersi baru PSG untuk saingan musim depan.
Selepas melihat anak buahnya dengan mudah membelasah Celta Vigo 6-0 di hadapan penyokong sendiri, Zidane telah ditanya soalan mengenai kemungkinan Neymar menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas yang akan datang.
Zidane memberi bayangan semua pemain ternama dunia ketika ini berminat untuk bermain dengan Real Madrid tetapi memilih untuk bercakap mengenai pemain sedia ada di Santiago Bernabeu.
“Saya berpendapat setiap pemain ternama dunia mahu bermain untuk Real Madrid, mereka mahu menyertai Real Madrid dan bermain dengan kelab ini. Perkara tersebut tidak dapat dielakkan lagi.”
“Real Madrid merupakan kelab yang besar dan antara yang terpenting, dan sejarah telah membuktikan perkara tersebut.”
“Tetapi buat masa sekarang, saya merupakan jurulatih kepada pemain Real Madrid dan saya menghargai apa yang telah mereka lakukan dan sedang lakukan sekarang. Setiap kali kami berdepan kesukaran, pemain-pemain ini telah berjuang untuk Real Madrid.”
“Kami harus menghargai setiap pemain yang kami miliki. Bagi pemain yang bermain untuk kelab luar, kami tidak mempunyai kuasa untuk mengawal mereka.”