Al Hilal Sanggup Bayar €200 Juta Buka Pintu Untuk Mbappe Sertai Real Madrid

Al-Hilal dilaporkan menawarkan Kylian Mbappe pendapatan €200 juta setahun jika pemain itu bersetuju menyertai mereka pada musim panas ini.

Lebih menarik tawaran tersebut turut datang dengan klausa khas untuk membenarkan Mbappe berhijrah ke Real Madrid selepas setahun.

Pemain berusia 24 tahun itu kini sedang tersepit dengan kontroversi kontrak bersama kelab asalnya PSG.

Mbappe sebelum ini menulis surat kepada pengurusan PSG menyatakan niatnya untuk tidak menyambung kontrak untuk kekal bersama kelab Ligue 1 itu selepas kontrak asalnya tamat pada Jun 2024.

Ini bermakna PSG akan kehilangan pemain bintang mereka itu secara percuma selepas itu. PSG bagaimanapun berpendirian tidak akan membenarkan perkara itu berlaku dan menyenaraikan pemain itu untuk dijual kepada kelab berminat pada musim panas ini.

Malah PSG kini bertindak mengasingkan Mbappe daripada skuad Luis Enrique yang terbang ke Jepun untuk Jelajah pra musim.

Menurut wartawan Itali, Tancredi Palmeri, Al Hilal – salah sebuah kelab Saudi Pro League dimiliki Public Investment Fund – telah menyediakan dana yang besar untuk mendapatkan tandatangan Mbappe.

Palmeri mendakwa Al Hilal menawarkan kontrak €200 juta setahun untuk tempoh dua musim. Kontrak tersebut turut mempunyai klausa membenarkan Mbappe menyertai Real Madrid selepas setahun.

Malah Al Hilal turut akan menebus kontrak Mbappe dengan nilai €200 juta di PSG untuk pemain antarabangsa Perancis itu meninggalkan Parc des Princess. Ini bermakna Al Hilal sanggup membelanjakan €600 juta (kontrak dua musim dan yuran perpindahan) untuk Mbappe sahaja.

Laporan sama turut mendedahkan Mbappe kini sedang serius mempertimbangkan tawaran daripada Al Hilal yang dilihat memberikan keuntungan kepada semua pihak.

Pemain itu sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan Real Madrid, tetapi memilih untuk menandatangani kontrak baharu dengan pendapatan £650,000 seminggu selama dua tahun untuk kekal bersama PSG pada musim panas akan datang.

Mbappe tidak kisah disisihkan oleh PSG sepanjang musim akan datang sekiranya tiada persetujuan dicapai walaupun dirinya bergelar kapten skuad antarabangsa Perancis.

Beliau bagaimanapun pasti memikirkan tahap kecergasan yang diperlukannya untuk beraksi bersama pasukan negaranya di Euro 2024 pada musim panas akan datang.

BACA:  Kaka: Kita Bertuah Kerana Dapat Saksikan Mbappe Beraksi