10 Perpindahan Pemain Yang Mungkin Ramai Terlepas Semasa Euro 2020

Walaupun terpaksa menunggu selama setahun, akhirnya kita disajikan juga dengan aksi-aksi negara yang bertanding dalam Kejohanan Eropah atau Euro 2020 dengan Itali ditabalkan sebagai juara baru Eropah.

Dengan kemeriahan aksi di padang, jendela perpindahan dilihat agak suram dan sepi kerana semua mata tertumpu kepada Euro.

Berikut adalah 10 perpindahan berprofil tinggi yang berlaku ketika Euro berlangsung.

Fikayo Tomori (Chelsea – AC Milan)

Selepas hanya diturunkan beberapa kali sepanjang tempoh lima tahun di Stamford Bridge, pertahanan tengah yang berusia 23 tahun itu telah membuktikan bahawa dia bukan calang-calang pemain ketika dipinjamkan kepada AC Milan pada bulan Januari lalu.

Malah disebabkan kecemerlangannya, kelab San Siro tersebut memilih untuk membelinya secara tetap pada bulan lalu pada harga Β£25 juta. Kalau dia terus kekal konsisten, pemain berbangsa Inggeris ini mempunyai masa depan yang cerah di Milan.

Danny Rose (Tottenham Hotspur – Watford)

Bermain 29 kali untuk England, Rose diturunkan dalam kesebelasan utama perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dua tahun lalu. Baru berusia 31 tahun, pemain bek kiri ini masih mampu menyumbangkan sesuatu kepada kelab baharunya.

Dengan kontraknya tidak disambung di Spurs, Rose memilih untuk berhijrah ke kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris, Watford, secara percuma.

Enock Mwepu (RB Salzburg – Brighton And Hove Albion)

Jangan tertukar dengan Enock Bentil bekas pemain Kelantan suatu ketika dahulu tau. Mwepu dikatakan mempunyai akal bola sepak yang cukup bagus dan pemain pasukan kebangsaan Zambia ini boleh menjadi ayam tambatan kepada pengurus Brighton, Graham Potter.

Bermain di posisi tengah, Mwepu dibeli pada harga Β£20.7 juta dari kelab Bundesliga, RB Leizig. Selain itu, dia juga mampu bermain di pelbagai posisi sekaligus boleh memudahkan Potter untuk menyusun pemain nanti.

Michael Olise (Reading – Crystal Palace)

Olise mungkin tidak dikenali, atau belum dikenali, di persada bola sepak EPL, namun pemain ini telah menggondol anugerah Pemain Muda Terbaik Sepanjang Musim oleh Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Bermain untuk Reading musim lalu, Olise telah menjaringkan tujuh gol dan menyumbangkan 12Β assist. Bos baru Palace, Patrick Vieira pasti berharap pemain yang dibeli pada harga Β£8 juta ini mampu untuk meneruskan kecemerlangan musim lalu di Selhurst Park nanti.

Omar Richards (Reading – Bayern Munich)

Seorang lagi bekas pemain Reading yang berpindah adalah Omar Richards yang berusia 23 tahun, dan menyertai Bayern Munich secara percuma.

Dengan situasi kecederaan di kalangan pemain Bayern sekarang ini, pemain tengah Inggeris ini mungkin mampu mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebaik Bundesliga bermula bulan depan.

Tapi semuanya bergantung sama ada pemain ini dapat sesuaikan diri atau tidak di Bayern, kerana dia berpindah daripada kelab divisyen dua kepada pasukan Liga Juara-Juara UEFA.

Hakan Chalhanoglu (AC Milan – Internazionale)

Pemain pasukan kebangsaan Turki ini akan masih bermain di Milan pada musim baru nanti, cuma jersinya akan berubah daripada merah hitam kepada biru hitam.

Pemain berusia 27 tahun ini menyertai pasukan Simone Inzaghi secara percuma, yang perlu memperkuatkan pasukan dengan masa depan Christian Eriksen masih samar selepas kejadian serangan jantung pada Euro lalu.

Matteo Guendouzi (Arsenal – Marseille)

Bekas bakal lagenda Arsenal ini tidak mendapat tempat di bawah Mikel Arteta lantas pemain berusia 22 tahun ini memilih untuk bermain di Marseille secara pinjaman semusim.

Difahamkan terdapat klausa pilihan untuk membeli Gouendouzi secara tetap sebaik tempoh pinjamannya berakhir, sekaligus menampakkan pengakhiran kepada kisah pemain ini di Emirates.

Rodrigo de Paul (Udinese – Atletico Madrid)

Tujuh hari yang paling indah buat pemain tengah Argentina ini. Baru sahaja memenangi Copa America bersama pasukan kebangsaan, dia kemudiannya menandatangi kontrak bersama kelab juara La Liga musim lalu, Atletico Madrid, beberapa hari selepas mencium piala terulung di Amerika Selatan.

Dalam perlawanan akhir tersebut, de Paul telah menyumbangkan satu assist kepada Di Maria untuk gol pendahuluan perlawanan. Perpindahannya ke Atletico Madrid difahamkan bernilai Β£30 juta dengan kontrak selama lima tahun.

Junior Firpo (Barcelona – Leeds United)

Dengan masalah kewangan yang melanda kelab, Barcelona kini terpaksa menjual pemain bagi meraih dana demi membayar gaji kepada pemain yang sedia ada dan peluang ini disambar oleh kelab yang semakin meningkat naik, Leeds United.

Pertahanan muda berbakat, Firpo, dibeli oleh kelab Yorkshire tersebut pada harga Β£12.8 juta – harga yang boleh dikatakan sangat munasabah dengan pemain ini sudahpun mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Juara-Juara di Nou Camp pada musim lalu. Satu penambahan positif bagi Marcelo Bielsa.

Billy Gilmour (Chelsea – Norwich City)

Pemain muda Chelsea ini mencuri tumpuan ramai apabila menjadi pemain terbaik perlawanan ketika pasukan Scotland mengikat England tanpa jaringan dalam kempen Euro. Selepas perlawanan dia sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila disahkan positif Covid-19 sekaligus mengakhiri kempen Euro buatnya.

Walaubagaimanapun, untuk belajar erti bola sepak professional dengan lebih mendalam, Chelsea telah menghantar pemain ini ke Norwich City secara pinjaman dan dia diletakkan harapan yang tinggi untuk mengelakkan pasukan Kenari tersebut daripada tersingkir dari Liga Perdana.

Sumebr : GMS

BACA:Β  Empat Pemain Remaja Yang Bakal Cipta Nama Pada Musim Baru