5 Pasukan Kebangsaan Yang Mempunyai Nilai Pasaran Paling Mahal di AFF Suzuki Mengikut Laman Transfermarkt

Saingan peringkat kumpulan kempen Piala AFF Suzuki 2020 sudah pun separuh jalan dengan kebanyakan pasukan sudahpun bermain sebanyak dua perlawanan.

Selain aksi di dalam padang, Piala AFF Suzuki 2020 juga dimeriahkan oleh para penyokong di atas talian, memandangkan tidak ramai yang mampu turun ke stadium dek kawalan perjalanan merentas negara yang menjadi agak sulit dek penangan virus Covid-19.

Dari segi kualiti pasukan, secara umumnya boleh dikatakan agak meningkat berbanding dalam kejohanan yang sama pada tahun-tahun sudah dan peningkatan ini berkait rapat dengan kehadiran pemain yang dikategorikan sebagai half blood dan juga naturalisasi.

Dengan hadirnya para pemain yang berpangkalan di Eropah, pernah tak terfikir, berapakah nilai keseluruhan sesebuah pasukan yang bertanding di Piala AFF ini?

Menerusi semakan di laman Transfermarkt, berikut adalah lima pasukan yang paling mahal secara keseluruhannya.

5. Filipina

Sejak kemunculan pasangan adik beradik, Phil dan James Younghusband, Filipina dilihat membuka langkah buat pasukan-pasukan di rantau Asia Tenggara untuk membawa pulang pemain yang mempunyai darah kacukan yang beraksi di pentas yang tinggi.

Walaubagaimanapun, peringkat paling tinggi yang mereka berjaya sampai dalam Piala AFF adalah separuh akhir, di mana kali terakhir mereka lakukannya pada tahun 2018.

Bienve Maranon pernha menjadi penjaring terbanyak Piala AFC. Gambar : Vocket FC

Dari segi komersial, secara keseluruhannya Filipina dinilai pada harga RM14.92 juta, dengan pemain naturalisasi dari Sepanyol, Bienve Maranon.

Penyerang yang bermain untuk kelab United FC di Liga Filipina tersebut memiliki nilai pasaran sekitar RM 1.7 juta.

4. Indonesia

Secara total, Timnas Indonesia memiliki nilai pemain secara keseluruhannya sebanyak RM20 juta. Harga ini sepatutnya akan menjadi lebih tinggi tetapi laman Transfermarkt masih tidak meletakkan harga dua pemain, Elkan Baggott yang bermain di Ipswich Town dan juga Ramai Rumakiek yang beraksi bersama Persipura Jayapura.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa Egy Maulana adalah pemain yang paling mahal memandangkan dia kini beraksi di pentas Eropah bersama FK Senica. Namun nilai Egy adalah RM 715 ribu, separuh daripada Asnawi Mangkualam, pertahanan kanan kelab Korea Selatan, Ansasn Greeners, yang dinilai pada RM1.7 juta.

3. Vietnam

Vietnam boleh dikatakan sebagai satu pasukan yang paling digeruni pada tahun ini selepas mereka telah berjaya meloloskan diri ke pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2022 peringkat Asia dan bersaing bersama pasukan-pasukan elit.

Malahan pula, mereka juga merupakan juara bertahan selepas berjaya merangkul Piala AFF pada tahun 2018 menewaskan Malaysia.

Secara keseluruhannya, nilai pasaran pasukan Vietnam adalah RM 21.84 juta, dengan tiga Nguyen – Quang Hai, Van Toan dan Tien Linh berkongsi nilai pasaran tertinggi iaitu RM 1.43 juta.

2. Malaysia

Anak buah Tan Cheng Hoe ini mempunyai nilai pasaran sekitar RM 29.23 juta, dengan Safawi Rasid dan Baddrol Bakhtiar berkongsi nilai pasaran pada harga RM 1.5 juta.

Kalau nak ikutkan, nilai ini boleh dianggap tinggi bagi seseorang pemain Asia Tenggara. Safawi Rasid memang cukup dikenali sebagai seorang pemain penyerang sayap yang lincah dan mampu memperkotak katikkan pertahanan lawan dengan mudah. Antara detik yang paling diingati adalah bila mana dia turun beraksi dalam pasukan bawah-23 Malaysia menewaskan pasukan Korea Selatan dalam Sukan Asia 2018, yang ketika itu turut menampilkan penyerang sensasi Liga Perdana Inggeris, Son Heung-Min.

Baddrol Bakhtiar, yang baru sahaja menyertai Sabah, memang cukup dikenali sebagai seorang pemain tengah yang kreatif dan bersama skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF pada tahun ini, Baddrol Bakhtiar dilihat begitu tenang menjadi arkitek tengah pasukan dan mampu membuat hantaran-hantaran tepat persis Andrea Pirlo di zaman kemuncaknya.

1.  Thailand

Berada di tangga teratas sebagai pasukan yang mempunyai nilai pasaran terkumpul paling tinggi adalah pasukan jagoan Asia Tenggara sejak zaman berzaman, Thailand.

Secara totalnya, Thailand memiliki nilai pasaran terkumpul pada harga RM 47 juta, jauh mengatasi pasukan lain di rantau ini.

Tapi kalau nak ikutkan, bukanlah satu perkara pelik kenapa nilai pasaran pemain Thailand menjadi tinggi. Sejak Piala AFF 2016, beberapa pemain Thailand telah mendapat perhatian kelab-kelab utama di Asia, terutamanya di Jepun, dan salah seorangnya adalah Chanatip Songkrasin.

Ini adalah Chanatip Songkrasin, bukan Safee Sali. Rambut je sama tau. Gambar : Khaosod

Pemain lincah yang pernah digelar sebagai Lionel Messi Thailand ini dinilai pada harga RM 7.63 juta. Beraksi bersama Hokkaido Consadole Sapporo, Chanatip bukanlah sekadar rakan latihan pemain di kelab sana.

Malah dia pernah diundi oleh rakan sepasukan sebagai pemain terbaik kelab pada tahun 2018, dan juga disenaraikan dalam kesebelasan terbaik tahunan J1 League – pemain Asia Tenggara pertama yang mampu berbuat demikian.

Sumber : Bola Okezone

BACA:  Pengurus Vietnam Cabar Indonesia Main Secara Menyerang