Alfeandra Dewangga Bakal Jadi Masalah Untuk Jentera Serangan Malaysia Yang Bermasalah

Pemain pertahanan Indonesia, Alfeandra Dewangga telah mempamerkan aksi pertahanan berkelas dunia ketika beraksi bertemu Vietnam malam semalam.

Beliau dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan tersebut, selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Jentera serangan Vietnam mati kutu berusaha untuk melepasi pemain pertahanan muda itu, dengan beliau tenang mengawal barisan pertahanan skuad Garuda agar tidak dibolosi lawan.

Beliau menunjukkan kematangan aksi yang sangat dasyat dengan Dewangga tidak dinafikan lagi sememangnya antara pemain paling bersinar dalam perlawanan ini.

Beliau beberapa kali mematahkan serangan Vietnam dengan menggunakan kelebihan fizikalnya yang sangat kuat dan kebijaksanaannya membaca gerakan pemain penyerang pasukan lawan.

Alfeandra Dewangga berjaya melakukan beberapa pintasan dan hadangan dalam menggagalkan serangan bertali arus dari jentera serangan Vietnam.

Percaturan Shin Tae-yong jelas sangat berkesan dengan beliau meminta anak-anak buahnya untuk bermain secara bertahan pada aksi babak pertama dan hanya mula melancarkan serangan pada aksi babak kedua permainan.

Pada aksi babak pertama permainan, Indonesia menggunakan enam pemain di bawah dengan empat pemain pertahanan dan dua pemain midfield yang menjadi tembok pertama perlu ditembusi oleh jentera serangan Vietnam.

Jentera serangan Vietnam yang dibarisi oleh Nguyen Quang Hai, Phan Van Duc dan Nguyen Cong Phuong perlu berdepan dengan Rachmat Irianto dan Fachrudin Wahyudi Aryanto sebelum berdepan empat pemain pertahanan Indonesia.

Taktikal Shin Tae-yong jelas sangat berkesan dengan tembok tebal yang beliau bina berjaya memastikan gawang gol Indonesia sama sekali tidak dibolosi dalam perlawanan ini.

Alfeandra Dewangga dan Rizky Ridho Ramadhani merupakan nadi penting yang membantu Indonesia mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.

Mereka merupakan pemain yang paling bekerja keras dan tidak keterlaluan juga untuk menganggap kejayaan Indonesia mengikat Vietnam dalam perlawanan ini adalah hasil usaha dan kerja keras dua pemain ini.

Kerana sedar yang sukar untuk mereka tewaskan juara bertahan saingan AFF Suzuki Cup itu, Shin Tae-yong melakukan percaturan yang hebat dalam memastikan agar anak-anak buahnya setidak-tidaknya berjaya mengutip satu mata berharga dari perlawanan ini.

Untuk aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Malaysia nanti, skuad Garuda hanya perlu mencatatkan keputusan seri sahaja untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Melihat kepada corak persembahan para pemain Indonesia dalam perlawanan ini, tidak mustahil untuk mereka mencatatkan keputusan seri bertemu Malaysia nanti.

Mereka bahkan mungkin boleh mencatatkan kemenangan selesa bertemu anak-anak buah Tan Cheng Hoe nanti memandangkan para pemain Indonesia sedang berada di tahap persembahan terbaik mereka pada ketika ini.

Sama seperti ketika bertemu Laos sebelum ini, Indonesia turut mempamerkan aksi ultra defensive ketika aksi bertemu Vietnam malam semalam, dan tidak akan mengejutkan andai mereka bermain corak permainan yang sama bertemu Malaysia nanti.

Dengan jentera serangan Malaysia yang sangat tumpul seperti ketika aksi bertemu Vietnam sebelum ini, sepertinya tiada masalah untuk Ridho Ramadhani dan Alfeandra Dewangga untuk menjalankan kewajipan mereka ketika bertemu Harimau Malaya nanti.

Tugas berat menanti skuad kendalian Tan Cheng Hoe selepas ini, memandangkan pasukan lawan, Indonesia sangat bermotivasi untuk mengutip setidak-tidaknya satu mata dalam usaha mereka untuk layak ke separuh akhir.

Seandainya pemain Indonesia kekalkan tahap permainan yang sama dan skuad negara tidak menunjukkan peningkatan dalam aksi mereka selepas ini, maka semakin cerahlah harapan untuk anak-anak buah Shin Tae-yong untuk mara lebih jauh dalam pertandingan ini.

Sumber: AFF Suzuki Cup

BACA:  Sukan SEA 2021: Malaysia 1-1 Indonesia* (Pen 3-4)