Joachim Low Dikhabarkan Dilamar PSSI Sebagai Pengarah Teknikal

Bekas Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Jerman, Joachim Low dikhabarkan bakal menjadi Pengarah Teknikal Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang baharu.

Jauh sebelum khabar angin ini mulai tersebar, Low yang kini berusia 63 tahun pernah dimalukan oleh Shin Tae-yong apabila jurulatih skaud Garuda itu masih bergelar pengendali Korea Selatan apabila menewaskan Jerman di Kejohanan Piala Dunia 2018 di Rusia.

Perkhabaran Low bakal menyertai PSSI bermula selepas Ketua Umum PSSI, Erick Thohir terbang ke Jerman.

Selepas pulang dari Jerman Erick mendedahkan jawatan Pengarah Teknikal badan bola sepak negara jiran itu akan berasal dari Jerman.

“Kita memiliki dua jurulatih yang hebat (untuk skuad senior dan skuad B-23) maka Pengarah Teknikal nya harus berkecuali.

“Kerana itu salah satu pilihan yang cuba kita usahakan adalah mereka yang rapat dengan bola sepak Jerman. Antara PSSI dan DFB (Persatuan Bolasepak Jerman),” kata beliau di Jakarta baru-baru ini.

“Untuk itu kita sedang meilai CV untuk peranan tersebut. Kita mahu adil dan transparent. Kita ingin membangunkan tradisi yang profesional (di dalam bola sepak Indonesia.”

Kenyataan tersebut cukup untuk mencetuskan khabar angin di kalangan peminat bola sepak di negara itu Joachim Low yang berpengalaman dengan bola sepak di Jerman untuk terbang ke Indonesia.

Untuk rekod Low yang membimbing Jerman di Piala Dunia 2018 pernah dikejutkan oleh Korea Selatan yang dibimbing Shin Tae-yong yang kini bersama Indonesia dengan jaringan 2-0.

Namun sehingga pengumuman rasmi dilakukan, belum ada kepastian Low akan menyertai PSSI.

Malah Erick Thohir juga sentiasa berselindung apabila ditanya wartawan sama ada Low adalah calon utama untuk mengisi posisi Pengarah Teknikal PSSI.

“Selalu hal bola sepak, netizennya memiliki harapan luar biasa. Ini kerana bola sepak Indonesia kini semakin bagus maka harapannya tinggi.

“Jadi akan ada khabar angin. Saya sebagai Ketua Umum tidak mahu menjanjikan sesuatu tanpa bukti,” tambah Erick.

Joachim Low kini telah menganggur selama dua tahun sejak gagal mengemudi Jerman pergi jauh di Kejohanan Euro 2020.

Di kejohanan tersebut Jerman ditewaskan England 0-2 dan tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik.

BACA:  Larian Rudiger Menganjing Pemain Jepun Memakan Diri