Sejarah Warna Putih Jersi Jerman Yang Tiada Kaitan Dengan Warna Bendera

Skuad kebangsaan Jerman memiliki beberapa versi jersi yang dianggap ikonik. Namun tahukah anda mengapa warna putih menjadi warna utama jersi Jerman.

Tatkala kebanyakkan jersi pasukan negara di seluruh dunia berlatarbelakangkan warna bendera negara masing-masing, Jerman pula sebaliknya.

Seperti semua sedia maklum, warna bendera Jerman terdiri daripada tiga warna iaitu hitam, merah dan kuning. Tetapi mengapakah jersi utama Jerman berwarna putih?

Jerman sememangnya diiktiraf sebagai salah sebuah kuasa bola sepak dunia dan menjadi antara pasukan pilihan setiap kali kejohanan Piala Dunia atau Kejohanan Eropah berlangsung.

Rekod pasukan ini dalam tempoh beberapa tahun ini agak kurang memberangsangkan. Di Piala Dunia 2018 mereka gagal melepasi saingan peringkat kumpulan. Begitu juga di Piala Dunia 2022 apabila mereka tewas kepada Jepun dan gagal menewaskan Sepanyol.

Namun sebelum itu mereka berjaya melayakkan diri sehingga ke ke separuh akhir dalam beberapa edisi kejohanan. Malah sebelum itu mereka hanya gagal layak ke suku akhir sebanyak sekali sahaja iaitu pada 1978.

Di kejohanan Eropah, Jerman muncul juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1972, 1980 dan 1996.

Antara jersi yang paling diingati dan ikonik pernah disarung oleh Jerman adalah ketika Piala Dunia 1990 kerana corak unik pada jersi tersebut.

Jadi mengapakah warna utama jersi Jerman adalah berwarna putih dan bukannya hitam, merah atau pun kuning?

Sebab utama jersi utama Jerman berwarna putih adalah kerana mereka mengadaptasi warna bendera Prussia.

Prussia adalah sebuah wilayah dan negeri yang terletak di antara sempadan Rusia dan Jerman pada hari ini dan suatu ketika dahulu ia adalah sebuah wilayah yang diiktiraf dunia.

Merupakan sebahagian daripada empayar Jerman dan memiliki bendera putih, bendera Prussia pada asalnya turut memiliki tanda salin di bahagian tengah.

Bendera tersebut kemudiannya diubahsuai dengan menggantikan salib dengan imej helang berwarna hitam seperti yang ada pada logo/lencana Jerman pada hari ini.

Ketika bola sepak Jerman ditubuhkan pada 1899, mereka memutuskan untuk menggunakan jersi warna putih yang ada pada bendera Prussia.

Walaupun pentadbiran Prussia akhirnya punah pada 1932, satu dekri pada 1947 membenarkan skuad kebangsaan Jerman mengekalkan warna putih pada jersi mereka.

BACA:  Maguire Dan Pope Berkicap Dikecam Selepas Sajikan Kesilapan dan Aksi Kelakar