Disgrace of Gijon – Kisah Paling Memalukan Dalam Sejarah Piala Dunia

Disgrace of Gijon merupakan satu kisah klasik dan menjadi kejadian paling memalukan dalam sejarah Piala Dunia dan seterusnya membawa perubahan dalam cara Piala Dunia dijalankan.

Dari insiden ini semua perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia telah dijalankan serentak dan jadual seperti ini diperkenalkan bagi mengelakkan penipuan atau pengaturan keputusan perlawanan.

FIFA memperkenalkan peraturan ini untuk Piala Dunia 1986 selepas persembahan memalukan oleh Austria dan Jerman Barat semasa Piala Dunia 1982 di mana Sepanyol menjadi tuan rumah.

Pada ketika itu Jerman Barat, Austria, Algeria dan Chile berada dalam kumpulan B dan perlawanan berlangsung di Gijon, Speanyol.

Jerman Barat menewaskan Austria 1-0 dalam perlawanan yang digelar “Nichtangriffspakt von Gijon” atau “Non-agression pact of Gijon” atau “Disgrace of Gijon” atau “Kemaluan di Gijon” dengan berkesan menyingkirkan Algeria daripada kejohanan itu.

Situasi yang membawa kepada perlawanan ini adalah luar biasa di mana Algeria, Austria dan Jerman Barat masih berpeluang untuk mara.

Algeria, yang diterajui oleh penyerang legenda Rabah Madjer, mengejutkan Jerman Barat dengan menewaskan mereka 2-1 dan seterusnya menjadi negara Afrika pertama yang menewaskan negara Eropah di Piala Dunia. Sementara itu, Austria menewaskan Chile 1-0.

Semasa perlawanan kedua peringkat kumpulan, Jerman Barat menumpaskan Chile 4-1, hasil hatrik daripada Karl-Heinz Rummenigge. Algeria tewas 2-0 kepada Austria.

Melangkah ke perlawanan terakhir, Algeria mendahului 3-0 menentang Chile sebelum tumbang pada separuh masa kedua. Mereka melepaskan dua gol tetapi bertahan dengan kemenangan 3-2 dan kelihatan selesa di tempat kedua.

Algeria vs Chile berlangsung lebih awal dan Jerman Barat dan Austria turun untuk perlawanan terakhir masing-masing selepas itu.

Perlu diingat bahawa pada ketika itu kemenangan hanya bernilai dua mata dan seri satu mata dan perbezaan gol menjadi penentu atau tie breaker apabila pasukan terikat dengan mata yang masa.

Sebelum perlawanan Austria vs Jerman Barat, kedudukan dalam kumpulan ini adalah seperti berikut:

Kedua-dua pasukan ini sedar bahawa kemenangan 1-0 atau 2-0 untuk Jerman Barat akan menyaksikan kedua-dua pasukan mara melepasi peringkat kumpulan.

Kebetulan atau tidak, selepas gol pembukaan awal oleh Horst Hrubesch, permainan seakan terhenti; kedua-dua pasukan hanya menghantar bola antara satu sama lain di bahagian tengah tanpa cuba menangkap bola atau melancarkan serangan.

Peminat dan pengulas perlawanan sangat marah dengan persembahan hambar dari kedua-dua belah pihak dan jelas aksi itu disengajakan.

Di dalam stadium, penonton Sepanyol menjerit “Fuera, fuera” (keluar, keluar), manakala beberapa peminat melambai wang kertas kepada pemain, yang memberi makna perlawanan itu telah dijual kepada Jerman Barat.

Pada satu ketika di tanah air, pengulas Jerman Eberhard Stanjek enggan mengulas permainan itu lagi. Pengulas Austria Robert Seeger meratapi tontonan itu dan telah meminta penonton supaya mematikan set televisyen mereka.

Sudah tentu, penyokong Algeria sangat marah menyaksikan Austria dan Jerman Barat mahu menyingkirkan mereka dengan cara yang kotor lagi menjijikkan.

Kontroversi di padang itu seolah-olah satu provaksi terancang yang menyebabkan penyokong Algeria yang hadir di stadium cuba menyerbu masuk ke padang dan ditahan oleh polis.

Jerman Barat mengekalkan kedudukan 1-0 dan Austria tertewas, mereka dengan jayanya berjaya menyingkirkan Algeria dengan Jerman Barat menjadi juara kumpulan.

Melihat kempem Piala Dunia mereka tamat dengan kerja kotor, Persatuan Bola Sepak Algeria membuat bantahan rasmi kepada FIFA yang menjalankan siasatan atas sebab mengatur perlawanan namun kedua-dua pasukan bebas dari tuduhan.

FIFA telah menyemak semula sistem kelayakan untuk Piala Dunia akan datang dan pada Piala Dunia 1986 perlawanan terakhir peringkat kumpulan dijalankan serentak.

Perubahan telah dilakukan bermakna keselahan telah terjadi dan FIFA telah memperbaiki kelompongan itu tetapi itu semua tidak memberi keadilan kepada Algeria.

Sementara itu, pasukan Jerman tidak melakukan apa-apa untuk membersihkan nama mereka dan langsung tidak berasa bersalah atas insiden yang memalukan itu dan bergelar naib Juara Piala Dunia 1986,

Malah, pengurus Jerman Jupp Derwall berkata: “Kami mahu mara, bukan bermain bola sepak.”

Kapten Jerman Lothar Matthäus mengulas: “Kami telah melaluinya, itu sahaja yang penting.”

Adakah permainan itu benar-benar diatur atau adakah ini hanya satu siri peristiwa malang antara dua pasukan yang tiba-tiba hilang ingatan buat seketika selepas satu gol dihasilkan.

Semua ini terjadi pada 1982, jika Disgrace of Gijon ini terjadi di zaman teknologi sekarang sudah tentu kedua-dua pasukan berkicap dimaki hamun dan pastinya FIFA akan mengambil tindakan atas desakan ramai.

BACA:  UEFA Buka Siasatan Perlawanan Jerman Menentang Hungary