Jerman Pecat Hansi Flick Selepas Dimalukan Jepun

Jerman bertindak memecat Hansi Flick sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu selepas dimalukan Jepun 4-1 dalam perlawanan persahabatan pada Sabtu lalu.

Negara itu bakal menjadi tuan rumah Euro 2024 pada musim panas akan datang dan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) berpendapat langkah drastik amat diperlukan pada ketika ini.

Flick menjadi ketua jurulatih pertama Jerman yang dipecat sejak jawatan itu diwujudkan pada 1926.

Tanpa Flick, Jerman akan dikendalikan oleh bekas penyerang Rudi Voller bersama-sama Hannes Wolf dan Sandro Wagner untuk perlawanan menentang Perancis esok.

Sebelum ini Flick dibidas selepas kegagalan negara itu di Piala Dunia yang lalu apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Nasib Flick selamat pada ketika itu namun prestasi buruk Jerman berterusan selepas itu apabila gagal menang lima perlawanan sepanjang tahun ini.

Bekas pengurus Jerman itu hadir untuk mengadakan latihan pada sebelah pagi Ahad lalu, namun selepas itu dimaklumkan dirinya sudah tidak diperlukan lagi.

Jurulatih berusia 58 tahun itu meninggalkan Bayern pada Mei 2021 untuk menjadi pengganti Joachim Low dengan kontrak selama tiga tahun. Ini bermakna Flick sepatutnya mengendalikan skuad Jerman di Euro 2024 tahun hadapan.

Namun selepas melalui 25 perlawanan dan hanya merekodkan 12 kemenangan sepanjang tempoh itu, Flick dipecat.

Kekalahan pada Sabtu lalu bukan kali pertama Jerman kendalian jurulatih itu tewas kepada Jepun sejak 12 bulan lalu.

Mereka turut dikejutkan lawan yang sama dengan jaringan 2-1 di dalam saingan peringkat kumpulan Piala Dunia di Qatar.

Semuanya berjalan dengan baik untuk Flick di awal pembabitannya bersama skuad Jerman apabila merekodkan lapan kemenangan berturut-turut dalam perlawanan yang dikendalikannya.

Namun selepas itu Jerman hanya berjaya merekodkan empat kemenangan daripada 17 perlawanan – termasuk dua kali dimalukan Jepun.

DFB mengesahkan akan mencari pengganti secepat mungkin. Salah seorang calon pilihan adalah Julian Nagelsmann yang menggantikan Flick di Bayern.

Nagelsmann bagaimanapun hanya mengendalikan juara Bundesliga itu kurang dari 2 tahun dan kini tidak terikat dengan mana-mana kelab.

BACA:  Lagenda Liverpool Dakwa England Bukan Lawan Utama Jerman