Nagelsmann Dedah Sebab Kai Havertz Beraksi Di Posisi Bek Kiri

Pengurus Jerman Julian Nagelsmann percaya Kai Havertz mempunyai peluang cukup besar dan akan akan memainkan peranan penting bersama pasukan negaranya di kejohanan Euro 2024 pada musim panas akan datang. Bezanya pemain itu tidak akan beraksi di posisi yang kebiasaannya kita lihat.

Ramai yang melihat pemain berusia 24 tahun itu sebagai pemain tengah menyerang yang turut boleh beraksi sebagai penyerang sekiranya diperlukan.

Namun untuk perlawanan menentang Turki pada hujung minggu lalu, Nagelsmann menggunakan Havertz di posisi bek kiri.

Lebih mengejutkan Havertz turut berjaya menjaringkan gol pembukaan Jerman dalam perlawanan menentang Turki itu daripada posisi baharunya. Malang sekali Havertz dan Jerman tewas 3-2 perlawanan tersebut.

Salah satu perkara positif sejak pelantikan Nagelsmann untuk mengendalikan Jerman ialah bagaimana pemain Arsenal itu menyerlah beraksi di posisi bek kiri dengan cara yang cukup unik – tidak pernah dilihat sepanjang karier pemain itu sebelum ini.

Havertz beraksi sebagai bek sayap (menyerang) dan kerap kali turut meletakkan diri di bahagian tengah bersama kapten pasukan Ilkay Gundogan apabila Jerman memiliki penguasaan bola.

Havert bagaimanapun akan meletakkan diri di sebagai bek kiri ketika pasukan memerlukan dirinya untuk bertahan.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan, Nagelsmann berkata taktikal tersebut bukan sekadar perubahan ketara oleh Havertz.

Malah Nagelsmann mendedahkan bagaimana Havertz sendiri meminta untuk beraksi di posisi yang bukan kebiasannya.

“Saya tidak melihat perkara ini sebagai risiko untuk dirinya. Ia adalah peluang yang amat besar untuk dia beraksi dengan peranan sebegitu di Euro nanti,” kata Nagelsmann.

“Kai berkata dia mahu melakukannya walaupun ia adalah pertama kali dia beraksi di posisi yang bukan kebiasannya, dan dia melakukannya dengan cemerlang sekali.

Selama ini pengendali Arsenal Mikel Arteta sangat dikenali menggunakan pemain dengan taktik baharu secara kreatif untuk memerangkap lawan. Namun menggunakan Kai Havertz dengan peranan sebagai bek kiri dan pemain tengah adalah sesuatu yang berbeza.

Havertz biasanya beraksi sebagai pemain tengah untuk Arsenal, dan pemain ini juga berkemampuan beraksi sebagai pemain sayap.

Sejak menyertai The Gunners dengan nilai perpindahan £65 juta pada musim panas lalu daripada Chelsea, Havertz setakat ini hanya menjaringkan 1 gol daripada 19 penampilan – melalui sepakan penalti menentang Bournemouth.

Jerman akan turun berkai sekali lagi pada awal pagi Rabu menentang Austria dan ia pasti menarik untuk melihat sekiranya Havertz terus beraksi di posisi sama.

BACA:  "Menang Sebab Pengadil Tolong"- Peminat Bengang Kai Havertz Tak Dilayangkan Kad Merah