Kisah ‘Misteri’ di Sebalik Pemain Gabon Yang Lahir Empat Tahun Selepas Kematian Ibunya

Pemain tengah Gabon, Guelor Kanga, berhadapan kontroversi yang agak berat berkenaan usianya yang sebenar. Pihak Konfederasi Bola Sepak Afrika(CAF) telah pun menjalankan siasatan selepas menerima bukti mendakwa tarikh lahir Kanga adalah 4 tahun selepas tarikh kematian ibunya.

Kanga yang bermain untuk kelab Red Star Belgrade, telah bermain sebanyak 46 kali untuk skuad Gabon sejak 2012. Isu ini timbul selepas Federasi Bola Sepak Congo (FECOFA) mendakwa Kanga bermain dengan menggunakan nama dan usia palsu, dan sebenarnya dia adalah warganegara Congo.

Menurut dakwaan FECOFA, usia Kanga yang sebenar adalah 5 tahun lebih tua berbanding usianya dalam surat lahir dikeluarkan oleh Gabon dan nama sebenarnya adalah Kiaku-Kiaku Kianga.

Dalam rekod rasmi CAF, usia Kanga adalah 30 tahun dan dilahirkan pada 1 September 1990. Sesuatu yang meragukan sering terjadi di kalangan pemain Afrika.

Tetapi bagi FECOFA, Kiaku-Kiaku Kianga dilahirkan pada 5 Oktober 1985 di Kinshasa, ibu negara Republik Demokratik Congo dan ibunya meninggal dunia pada tahun 1986.

Kau jangan keliru pula. Ada dua negara yang menggunakan nama Congo di Afrika. Satu negara mengunakan nama Congo sahaja dan yang sedang ada isu dengan Gabon ini adalah Republik Demokratik Congo.

Dulu asalnya satu negara, tapi kerana ketamakan kuasa, mereka berperang sampai berpecah. Itu cerita lain, panjang kalau nak cerita.

Buat masa ini Kanga masih dibenarkan untuk bermain untuk Gabon oleh CAF walaupun kekeliruan ini timbul, tetapi FECOFA telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat rayuan dengan harapan Gabon akan disingkirkan daripada menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Mesti pelik kan, kenapa tiba-tiba Congo nak sibuk dengan Gabon pula?

Cerita dia macam ni.

Kedua-dua pasukan ini telah berada dalam kumpulan yang sama di dalam pusingan kelayakan ke Piala Negara-Negara Afrika dan berebut slot ke pusingan akhir yang akan diadakan di Cameroon pada tahun 2022 nanti. Kejohanan ini sepatunya berlangsung pada tahun ini, tetapi disebabkan masalah pandemik Covid-19, kejohanan ini terpaksa ditunda.

Dalam perlawanan pertama kedua-dua pasukan ini, mereka seri tanpa jaringan di Congo, dan dalam perlawanan di pusingan kedua, Gabon berjaya muncul pemenang dengan keputusan 3-0.

Selepas 6 perlawanan, Gambia menjuarai kumpulan tersebut dengan 10 mata. Gabon berada di tangga kedua dengan mata yang sama tetapi hanya kurang 1 gol.

Ini bermakna, kedua-dua pasukan layak secara automatik ke pusingan akhir, meninggalkan Republik Congo di tangga ketiga yang mendapat 9 mata. Sengit, kan?

Lebih menyakitkan hati Congo lagi, Kunga telah bermain dalam kesemua perlawanan tersebut untuk Gabon, bersama-sama ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang.

Isu ini masih dalam siasatan, tetapi secara umumnya pemalsuan dokumen bukanlah perkara baru di dalam dunia bola sepak Afrika.

Pada tahun 2013, 9 pemain disingkirkan daripada Kejohanan Bawah-17 Tahun Afrika selepas laporan imbasan MRI mendapati mereka adalah pemain yang terlebih usia dan pasukan Somalia disingkirkan daripada kejohanan yang sama kerana kesalahan yang sama.

Beberapa bulan kemudian, Nigeria pula kehilangan ramai pemain utama dalam Piala Dunia Bawah-17 Tahun FIFA dek menurunkan pemain yang lebih tua.

Malah, pemain terkenal dari Afrika yang bermain di Liga Perdana Inggeris juga telah didakwa menipu usia mereka. Nwankwo Kanu dikatakan menipu usia lebih muda 9 tahun, manakala Obafemi Martins membuang 7 tahun daripada usia sebenarnya.

Kau rasa pemain import dari Afrika yang bermain di Liga Malaysia tu betul ke usia diorang? Tapi siapa nak check benda-benda gitu kan?

BACA:  Permainan Dihentikan Bagi Membolehkan Pemain Berbuka Puasa Jadi Viral