Gregoire Akcelrod – Scammer Yang Berjaya Dapatkan Kontrak Dari Kelab Champions League

Gregoire Akcelrod merupakan salah seorang scammer bola sepak yang telah berjaya mendapatkan kontrak lumayan selama tiga tahun dari kelab yang beraksi di Champions League.

Kisah penipuan Ali Dia merupakan kisah scammer yang terhebat dalam bola sepak yang berjaya meyakinkan Graeme Souness melalui panggilan telefon bahawa dia adalah sepupu George Weah.

Gregoire Akcelrod juga seorang penipu terbesar dalam dunia bola sepak dan lebih sukar dilakukan di zaman teknologi dan internet mula berkembang berbanding zaman Ali Dia.

Bapa Gregoire Akcelrod telah mengharamkannya bermain bola sepak diantara umur 10 sehingga ke 18 tahun kerana dia sangat teruk dan tidak berbakat serta tiada disiplin di mata bapanya.

“Saya bermain permainan pertama saya di hadapan bapa saya pada usia 10 tahun. Ia seperti final Liga Juara-Juara bagi saya. Kami bermain menentang pasukan yang bagus dan kami tewas 4-0,” katanya.

“Ketika kami berada di dalam kereta dalam perjalanan pulang dia berkata, ‘Greg, saya sangat kecewa. Awak sangat teruk. Anda sangat malas. Saya tidak mahu melihat awak lagi di padang bola sepak.”

“Saya terperanjat. Berada bersama rakan-rakan saya di padang bola sepak adalah masa terbaik dalam minggu saya.”

Di antara tahun-tahun pengharaman bola sepak oleh bapanya, Akcelrod hanya bermain bola sepak di tamannya. Pada usia 19 tahun dia bekerja di restoran makanan segera McDonald.

Penipuan Gregoire Akcelrod Bermula

Namun mungkin kerana cintakan bola sepak dan taksub untuk menjadi pemain profesional, Gregoire Akcelrod telah memilih jalan esktrem merealisasikan impiannya dengan menipu.

Pencapaian tertingginya yang sah dalam bola sepak adalah bermain untuk pasukan amatur Paris Saint-Germain di divisyen kelima bola sepak Perancis – dikatakan sebagai “liga amatur terburuk Perancis”.

Namun semua itu sudah cukup untuk otak ligat Gregoire Akcelrod memulakan penipuan terhebat dengan memutar belit kebenaran dengan cara yang luar biasa.

Di zaman perkembangan teknologi Gregoire Akcelrod memanfaatkan sepenuhnya, dia telah mencipta laman web palsu di mana ia menyatakan bahawa dia bermain untuk pasukan simpanan PSG.

Di laman web itu dia juga menyalin laporan perlawanan dari akhbar dan memuat naik laporan yang telah dimanipulasi dengan memasukkan namanya sebagai ganti termasuklah nama Nicolas Anelka.

Dia juga telah meletakkan gambar ‘rasmi’ yang berada di padang Parc des Princes dalam warna rasmi PSG selepas menyelinap ke stadium, ditambah pula dengan CV palsu menjadi satu ilusi untuk meyakinkan kelab-kelab Eropah yang bakal menjadi mangsa.

Sesi Pecubaan

Dengan laman sesawang yang meyakinkan itu, Gregoire Akcelrod memulakan langkah dengan menghantar surat kepada kelab serata Eropah untuk meminta sesi percubaan atau sesi latihan.

Chelsea, Manchester City dan Arsenal menolak bekas pekerja McDonald itu – Pada 2003, Arsenal telah membalas permohonan itu dengan tolakan selepas dia menghantar surat kepada Arsene Wenger meminta tempoh percubaan di kelab.

Arsenal terselamat kerana cara permohanan terus Gregoire Akcelrod tidak mematuhi SOP yang ditetapkan Arsenal kerana dia perlu menghubungi ketua pengesan bakat yang akan pergi menonton perlawanan dengan kelab semasa atau menonton video sebelum jemputan untuk percubaan diadakan.

Chelsea, Manchester City dan mungkin kelab EPL yang lain turut mengamalkan SOP yang sama dalam membuat tapisan bagi mengelakkan penipuan.

Tetapi Swindon Town, Norwich City, Bournemouth dan pasukan Scotland, Falkirk serta Dundee United telah terpedaya dan telah menawarkannya percubaan.

Ketika percubaan kedua bersama Swindown Town, Gregoire Akcelrod dia telah berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan dan salah satunya dengan bola lob menakjubkan.

Salah satu golnya ditunjukkan di Sky Sports dan dia juga memberi temu bual kepada media, di mana dia menggesa Swindon untuk menandatanganinya namun Swindown menolak.

Kantoi

Penipuan Gregoire Akcelrod berjalan agak lama dan kemuncaknya pada tahun 2009 selepas menolak perpindahan ke sebuah kelab dari Luxembourg kerana kelab itu terlalu kecil baginya.

Dia berada di landasan untuk penipuan teragungnya apabila pasukan Bulgaria dan yang layak ke Liga Juara-Juara, CSKA Sofia menawarkan kontrak tiga tahun bernilai £15,000 sebulan.

Namun tembelangnya pecah apabila telah dikantoikan oleh penyokong PSG yang campur tangan selepas penyokong CSKA Sofia bertanya mengenai Gregoire Akcelrod di satu forum atas talian.

Gregoire Akcelrod sendiri telah memberitahu Daily Mail:

“Saya melakukan percubaan dua hari dan pada hari Ahad jurulatih memberitahu ejen saya bahawa dia mahu menandatangani saya.”

“Mereka mengambil gambar saya dalam jersi rasmi CKSA, saya menandatangani kontrak, mereka menyiarkan di laman web CSKA yang saya sudah ditandatangan.”

“Tetapi penyokong PSG yang memusnahkan saya. Semalaman, seorang peminat CSKA Sofia menghubungi forum dalam talian PSG dan bertanya, ‘Kami akan menandatangani Greg Akcelrod, apa pendapat anda tentang dia?”

“Semua peminat PSG tidak mengenali saya. Mereka berkata saya palsu, mereka menyemak laman web saya. Tetapi sebahagian daripadanya adalah benar, contohnya video di Swindon.”

“Peminat CSKA menghubungi setiap wartawan di Sofia dan mendedahkan kelab itu akan menandatangani pemain palsu.”

CSKA Sofia itu kemudiannya berubah hati dan mengubah fikiran kerana sedar mereka telah tertipu lalu Akcelrod dihantar dan ditunjukkan jalan pulang.

Gregoire Akcelrod – Ejen Bola Sepak

Gregoire Akcelrod menikmati tempoh setahun bermain untuk Mississauga Eagles di divisyen teratas liga Kanada sebelum menggantung butnya selepas menjalani percubaan di Greece dan Kuwait.

Selepas bersara Akcelrod masih bekerja dalam bola sepak sebagai ejen, di mana dia cuba memasukkan pemain muda ke akademi dan dia juga merupakan bekas ejen Tchouameni

Akcelrod mengakui dia benar-benar menyesali berberap aspek tertentu dalam karier permainannya yang singkat dan menyatakan dia tidak pernah mencuri duit kelab kecuali masa:

“Saya tidak pernah mencuri satu sen pun daripada kelab. Saya sentiasa membayar untuk hotel dan penerbangan saya. Kelab-kelab membuang sedikit masa tetapi ia kadang-kadang seperti ini.”

“Di Perancis, kami adalah negara yang hanya menilai orang berdasarkan CV mereka. Saya menyedari bahawa walaupun saya baik dalam percubaan, saya tidak diberikan kontrak profesional.”

“Saya mahu menunjukkan bahawa anda tidak memerlukan CV – saya mahu melihat sikap dalam pemain yang saya tunjukkan.”

Gregoire Akcelrod masih merasakan dia seorang pemain yang bagus ketika dalam sesi percubaan namun tidak diberikan kontrak profesional. Gagal menipu kelab akhirnya Gregoire Akcelrod menipu diri sendiri bahawa dia seorang pemain yang bagus, cuma kelab tak tahu menilai.

BACA:  Jika Yugoslavia Masih Wujud, Mampukah Mereka Memenangi Piala Dunia?